Saturday, July 7, 2012

Analisa Isu : Kadangnya kita tersilap mengukur baju di badan sendiri

Pada minggu lepas satu majlis penyampaian surat tawaran pemangkuan DGA32 ke DGA34 kepada  Guru Besar dan Pengelola telah disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu. Kita pasti ramai yang tertunggu-tunggu beritanya terutama kepada mereka yang memohon dan bercita-cita untuk menjadi Guru Besar. Kami difahamkan lebih 500 orang memohonnya berbanding tawaran iklan terakhir tahun 2009 seramai 1,200 orang yang memohon. Kemerosotan ini berlaku mungkin disebabkan pembukaan satu laluan baru ke DGA34 iaitu Laluan Naik Pangkat DGA34 (KUP) Time Base berasaskan kecemerlangan. Mereka yang tidak berminat menjadi Guru Besar boleh memilih laluan ini.

Dan seperti tawaran pemangkuan sebelumnya iaitu 2010 dan 2011 bila sahaja dikeluarkan nama pemangkuan kita akan dapat berbagai perasaan tidak puas hati di kalangan mereka yang merasakan layak tetapi tidak tersenarai. Kadang mereka layak pada persepsi mereka sahaja bukan dinilai pada pandangan orang lain. Kami telah tulis isu itu di sini. Bahkan pandangan agar calon membuat persediaan mengikut panduan pemarkahan yang diberi juga dah banyak kami tulis seperti di sini. Namun sikap kita yang sedemikian rupa akan menyusahkan kita sendiri. Pada tahun 2010 dan 2011 setiap kali penyiaran tawaran penempatan ianya sentiasa hangat apatah lagi kalau yang dapat guru DGA32 (KUP)  Time Base. Walhal mereka termasuk dalam mereka yang layak memohon. Lihat analisa di bawah:

Berasaskan data di atas yang paling ramai ditawar ialah GPK tetapi yang paling ramai menolak tawaran ialah GPK juga. Harus diingat bila tawaran naik pangkat secara pemangkuan ialah naik pangkat mengisi jawatan hakiki yang ada kekosongan. Kalau waktu tawaran ada kekosongan di SK dekat Hulu Terengganu dan tiba pada ranking kita maka kita kena tawar di sanalah. Takkan hendak letak Guru Besar dua orang satu sekolah atau tukar Guru Besar itu keluar daerah dan letak kita dekat sekolah itu. Suatu ketika dahulu Pengetua Terengganu terpaksa berhijrah ke Pahang, Perak dan negeri lain untuk dapatkan jawatan hakiki. Tetapi Guru Terengganu rasanya tidak ada yang ditawar luar Terengganu untuk dapat post hakiki itu. Nasihat kita kalau sayang dan selesa nak tinggalkan kerusi sekarang tidak payah minta naik pangkat secara hakiki ini minta saja yang secara time base : naik pangkat, gaji naik tetapi kerusi dan jawatan tidak perlu berubah.

Jawatan-jawatan hakiki DGA34 ini sama ada sebagai Guru Besar atau Pengelola di PPD dan JPN sangat terhad sedangkan calon yang memohon adalah ramai. Maka hanya calon terbaik yang akan disenaraikan berdasarkan prestasi dan kreteria borang yang ditetapkan KPM. Proses pencalonan bermula dari sekolah. Kemudian panel PPD. Seterusnya panel JPN yang dipengerusikan oleh Pengarah. Seterusnya panel Lembaga Naik Pangkat KPM. Senarai yang dilulus oleh Lembaga Naik Pangkat KPM itulah baru boleh ditawarkan kepada calon yang tersenarai. Penawaran juga dibincang dan diluluskan oleh panel yang di pengerusikan  oleh Pengarah. Zaman untuk buat kerja seorang dan "ikut suka aku" nak letak siapa sudah berlalu. Kekosongan yang sedikit akan menyebabkan pertandingan yang sengit.

Permohonan naik pangkat bukan ikut logik tetapi memenuhi kreteria yang ditetapkan. Hak calon ialah mengemukakan permohonan selengkap mungkin dengan mengisi borang dan menyediakan aviden-aviden seperti sijil, kulit buku/buku, surat-surat kepujian dan sebagainya. Jangan kita terperangkap dengan hebat dalam satu bidang sahaja tetapi bidang lain yang tersenarai dalam kreteria tidak dapat kita penuhi.


Berdasarkan kreteria di atas markah prestasi walaupun dapat 100% tiga tahun hanyak dikira maksima dalam pemarkahan keseluruhan 80% sahaja. Saya percaya tiada dalam Malaysia atau dunia calon yang dapat markah penuh 80%. Paling tinggipun mungkin 78% sahaja. Sesiapa yang pernah memegang jawatan  atau sedang pegang jawatan Guru Besar SKM, GPK, GPK Petang lebih dariapada 4 tahun layak dapat markah maksima 4 markah. Di sinilah membezakan markah dengan guru DGA32(KUP) Time Base. Mereka tiada apa-apa markah di sini. Beza paling tinggi antara pemohonan berjawatan hakiki dan time base di sini hanya 4 markah sahaja.

Mana-mana GPK yang buat NPQL dapat 2 markah dan dapat diploma lain atau ijazah serta belum menerima pelantikan DG41 akan dapat 2 markah. Di sinilah kami kira ramai GPK yang senior hilang 4 markah. Dan yang selalu diwar-warkan oleh setengah kita untuk menunjukkan hebat mereka ialah sumbangan pelbagai bidang terutama dalam kegiatan sukan di peringkat negeri dan kebangsaan. Kita tidak nafikan tetapi jangan lah itu dianggap "keutamaan" yang melayak dan menghapuskan keperluan lain. Dalam kreteria tidak disebutpun . Cuma kalau sebagai penceramah/pembentang kertas/fasilitator ceramah/bengkel/kursus diberi 2 markah. Pemeriksa kertas/Panel Penggubal soalan  diberi 2 markah dan penulis buku/artikal/modul diberi 2 markah. Jika seseorang calon terlibat dengan aktiviti sukan negeri atau kebangsaan maka panel akan menggunakan pengendali kursus untuk diberi 2 markah iaitu markah maksima dalam bidang itu.

Sekali pandang memang kita rasa kurang adil tetapi Panel tidak boleh pandai-pandai membuat penilaian. Semua penilaian berasaskan panduan yang telah diwartakan. Cuma beberapa cadangan telah dikemukakan kepada Lembaga Naik Pangkat agar mengkaji kreteria dan wajaran markah. Namun setakat ini kita terikat dengan panduan yang sedia ada.

Kita berharap dengan pendedahan panduan permarkahan diharap bakal pemohon pemangkuan ke DGA34 dapat menyediakan diri dengan apa yang digariskan. Tidak perlu kita persoalkan begitu-begini kerana apabila kita hendak sesuatu dari pihak yang memberi maka kita sewajarnya mematuhi apa yang mereka perlukan. Jangan kerana kesilapan mengukur baju di badan sendiri kita hendak marahkan tukang jahit.

1 comment:

  1. Bagus sekali maklumat disediakan untuk semua guru.Terima Kasih.

    ReplyDelete