Thursday, July 12, 2012

Peranan Ibubapa dalam merangsang pendidikan anak-anak

MARANG - Sesetengah ibubapa mungkin bertanya-tanya apakah peranan yang mereka boleh lakukan untuk membantu pencapaian anak-anak khususnya yang bakal menduduki peperiksaan. Adakah mereka perlu mengajar anak-anak tentang subjek peperiksaan yang diambil ? Atau adakah sekadar hadir bila dijemput sekolah atau bagaimana ?

Alhamdulillah pagi tadi saya berkesempatan bersama-sama dengan Guru Tahun 6, ibubapa dan murid-murid Tahun 6, SK Tasek, Marang dalam siri wacana kecemerlangan "Ibubapa sebagai akar kecemerlangan pendidikan anak-anak".  Saya teruja dan kagum dengan komitmen,iltizam dan kesungguhan ibubapa memberi "ruang masa " kepada usaha kecemerlangan pendidikan anak-anak. Kita pasti sedia maklum para guru lebih jelas, terarah dan fokus melaksanakan perancangan dan usaha ke arah membantu anak-anak mencapai kecemerlangan. Namun kadangnya ibubapa masih terkapai-kapai apakah yang sewajarnya mereka harus lakukan ...

Pada pandangan saya sebagai seorang bapa dan seorang guru tugas paling besar ibubapa ialah " membina kesedaran, kehendak dan kemahuan anak-anak untuk mereka nampak apa yang mereka perlu dan mahu seterusnya mampu bertindak secara kendiri (tanpa perlu dipaksarela)". Bunyinya agak mudah tetapi proses melaksanakanya penuh ranjau dan duri.

Prasyarat utama untuk menjayakan usaha ini ialah ibubapa mesti menunjukkan "kesungguhan, kesabaran dan keyakinan serta istiqamah" dengan usaha yang dibuat.Antara peranan mudah yang boleh mereka mainkan :
  1. Tunjukkan kita cakna kepada pembelajaran mereka seperti bertanya belajar apa, kerja rumah, semak buku tulis dan sebagainya
  2. Tunjukkan sokongan penuh kita kepada usaha kecemerlangan mereka - hadir perjumpaan dengan sekolah, beri hadiah bila markah OTI naik/meningkat
  3. Beri dorongan dan keyakinan - ingatkan mereka tentang kebolehan mereka. Jangan lokek beri pujian. Tanamkan semangat untuk bersaing dengan rakan-rakan lain
  4. Gambarkan masa depan - cadangkan sekolah mana atau hendak jadi apa dan bandingan positif misalnya ke hospital kalau tengok doktor yang disukai anak katakan " Seronok mama kalau along atau angah jadi macam tu, dan mama yakin kalau along atau angah nak tentu boleh "
  5. Kompromi dan kerjasama - misalnya kita rela dan sanggup berkorban untuk tidak tengok cerita tv kegemaran kita. Batal program yang tidak penting kalau mereka perlukan kita seperti perasmian kem dan sebagainya.
  6. Kawal masa dan aktiviti anak-anak dengan cara seperti mereka rasa seperti kita sayangkan mereka bukannya mengongkong atau mendera mereka
  7. Berdoa dengan kuat biar mereka dengar agar menyentuh jiwa mereka bahawa kita sangat mengharapkan mereka berjaya.
Banyak lagi cara, kaedah dan peranan yang kita boleh laksanakan untuk menunjukkan kita sangat menghargaai dan menyokong perjuangan mereka menghadapi peperiksaan dan keterbilangan. Cuma tepuk dada tanya iman. Hendak seribu daya mahu seribu daya. Sesungguhnya kita sewajarnya menjadi akar tempat berpaut dan tempat mengawal untuk menjadikan mereka insan terbilang.


No comments:

Post a Comment