Friday, September 11, 2015

Jaga kesihatan, elak berada di luar



KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan dan mengurangkan aktiviti luar ekoran jerebu.

"Saya di sekitar KLCC pagi tadi. Nampak keadaan jerebu meningkat, harap semua jaga kesihatan dan elak berada di luar," katanya dalam akaun Twitter dan Facebook beliau.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 114 pada pukul 5 petang tadi berbanding 92 pada tengah hari.

Secara keseluruhan, jumlah kawasan mencatat pertambahan bacaan IPU tidak sihat pada petang ini meningkat kepada 14 kawasan berbanding hanya enam tengah hari tadi.

Laman sesawang jabatan itu turut merekodkan bacaan IPU tertinggi di Samarahan (184), Sri Aman (177) di Sarawak dan Nilai (135) di Negeri Sembilan. - Bernama


Jawatankuasa Utiliti kenalpasti keperluan sekolah



KUCHING - Kementerian Pendidikan menubuhkan Jawatankuasa ‎Utiliti bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah seperti bekalan elektrik, air dan telekomunikasi di semua sekolah di Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon untuk menyenaraikan semua keperluan bagi menyediakan kemudahan tersebut.

"Anggota jawatankuasa ini terdiri daripada wakil Syarikat Sesco Bhd, Jabatan Kerja Raya (JKR), Telekom serta pihak berkuasa air untuk membantu kita melaksanakan projek utiliti contohnya bekalan elektrik, air dan sebagainya.

"Jawatankuasa ini akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh seminggu dua ini dan mereka akan menyenaraikan sekolah yang akan terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat isu-isu pembangunan sekolah bersama pegawai Jabatan Pendidikan Sarawak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata sebagai permulaan kira-kira 130 daripada 399 sekolah di Sarawak yang masih menggunakan kemudahan set generator dijangka mendapat bekalan elektrik sepenuhnya sebaik beberapa isu seperti pendawaian diselesaikan,

"Di Sarawak ada 399 sekolah yang masih menggunakan set generator dan kira-kira 130 telah dikenal pasti untuk dibekalkan dengan elektrik.

"Kita akan cuba mempercepatkan proses menukarnya tetapi sebelum itu perlu memastikan kerja pendawaian di sekolah terlibat sudah dibuat. Jawatakuasa Utiliti ini akan memastikan semua keperluan ini dapat disediakan," katanya.

Kamalanathan berkata, mesyuarat itu turut membincangkan beberapa masalah yang dihadapi sektor pendidikan negeri seperti kelewatan beberapa projek pembangunan sekolah.

"Sebagai contoh, sebuah sekolah pendidikan khas di Kuching untuk pelajar OKU penglihatan masih belum siap.

"Saya maklumkan dalam mesyuarat tadi, kementerian telah mengarahkan projek tersebut disiapkan selewat-lewatnya Disember ini," katanya.

Menjawab soalan mengenai Sekolah Kebangsaan Song dekat Kapit dan Sekolah Menengah Singai dekat Bau yang juga masih belum disiapkan, Kamalanathan berkata JKR telah mengambil alih kedua-dua projek tersebut.

"JKR akan keluarkan tender baharu. Sebaik proses tender selesai dan kontraktor dikenal pasti, JKR menjangka paling awal projek itu dapat disiapkan pada akhir tahun 2016 atau paling lewat suku ketiga 2017."

Kamalanathan berkata, kementerian juga akan memastikan kontraktor yang gagal menyiapkan projek tidak akan diberi peluang lagi untuk membida projek kementerian pada masa hadapan. - Bernama

Cuepacs mahu kerajaan timbang tiga bulan bonus



KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bonus sebanyak tiga bulan kepada penjawat awam pada pembentangan Bajet 2016 bulan depan.

Setiausaha Agung Cuepacs Datuk Lok Yim Pheng berkata, permintaan berkenaan dibuat bagi membantu meringankan beban penjawat awam yang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini.

"Kita bukanlah minta kerajaan bagi sekali gus bonus tiga bulan itu, beri secara berperingkat pun tidak mengapa kerana kita faham keadaan kerajaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata permintaan bonus itu juga adalah sebagai menghargai jasa penjawat awam yang telah menunjukkan prestasi perkhidmatan yang baik selama ini.

"Selain itu apabila mendapat bonus, mereka akan berbelanja dan sekali gus akan merancakkan lagi ekonomi negara," katanya.

Lok berkata, Cuepacs juga mahu kerajaan menyemak semula dan melakukan penambahbaikan 252 skim gaji dan elaun penjawat awam bagi mengurangkan bebanan mereka dalam keadaan ekonomi tidak menentu kini.

Beliau berkata perhatian sewajarnya perlu diberikan kerana ia merupakan harapan kepada 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

"Mana-mana skim perkhidmatan yang dianggap kritikal seperti pembantu tadbir dan badan beruniform, sudah lima hingga enam tahun tidak disemak, perlu diberi perhatian... kerajaan perlu beri keutamaan kepada mereka yang berpendapatan rendah," katanya.

Lok berkata antara penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah dengan memberi kenaikan gred berdasarkan pengalaman dan kepakaran kakitangan yang telah berkhidmat dalam tempoh yang lama.

"Walaupun mereka hanya memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia boleh diiktiraf berdasarkan pengalaman dan kepakaran bagi membolehkan mereka menerima kenaikan gred.

"Kerajaan juga mungkin perlu menyediakan lebih peruntukan untuk peluang latihan bagi meningkatkan lagi kemahiran dan kepakaran mereka," katanya. - Bernama