Saturday, July 14, 2012

1MDB Umum RM20 Juta Untuk Dana PIBG


KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memperluaskan lagi program Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) melalui pengumuman peruntukan berjumlah RM20 juta untuk Dana PIBG, satu platform yang memberi bantuan kepada PIBG menjayakan aktiviti dan program di sekolah.

Pengerusi Anggota Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata dana tersebut bertujuan untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada PIBG sekolah kerajaan mahupun sekolah bantuan kerajaan menjalankan aktiviti pendidikan, kokurikulum dan infrastruktur.

"Berdasarkan penyelidikan, kami dapati antara masalah utama dihadapi PIBG adalah bagi mendapatkan dana mencukupi untuk mempertingkat kemudahan sekolah serta menjalankan kelas tambahan kepada murid yang kurang berkemampuan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif terutama bagi sekolah di luar bandar.

"Justeru Dana PIBG ini dilancarkan bagi membantu meringankan beban PIBG dalam melaksanakan aktiviti pembangunan murid dan sekolah," katanya semasa melancarkan dan menyerahkan Dana PIBG kepada 11 penerima perintis di sini.

Lodin Wok berkata sebagai permulaan dana ini diserahkan kepada PIBG sekolah yang terletak berhampiran dengan kawasan pembangunan Kuala Lumpur International Financial District (KLFID) yang merupakan projek strategik 1MDB.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment