Melalui Tingkap Jauhari yang mudah kita dapat menilai,bermuhasabah dan berintrospeksi tentang diri serta mengambil langkah strategik menterapikan diri sendiri supaya menjadi diri lebih baik dari yang sebelumnya. Antara empat tingkap dari Tingkap Jauhari ini saya ingin menyentuh tingkap yang ketiga iaitu “Anda Tak Tahu,Saya Tahu” atau “Tingkap Terlindung” sebagai introspeksi kita bersama.
Sememangnya kitalah yang lebih tahu tentang diri kita daripada orang lain.Kita lebih tahu diri kita terutama apa yang kita boleh lihat,yang kita alami dan yang kita rasai. Orang lain mana tahu kalau kita ada tanda dekat pangkal paha kita.Orang lain mana tahu kalau kita ada pengalaman pahit atau manis masa silam.Orang lain mana tahu kalau kita jatuh hati pada seseorang. Orang lain hanya tahu apabila kita beritahu sama ada secara lisan atau tulisan.,secara sengaja atau tidak sengaja. Orang lain tahu jika kita menunjukkan tingkahlaku “ingin” memberitahu. Apa yang orang lain tahu tidak sama dengan apa yang sebenar-benar kita tahu…tapi..
Percayakah kita kadang-kadang dan sesungguh-sungguhnya , orang lain lebih tahu tentang sesuatu perkara tentang diri kita. Sama ada kita sebenar-benarnya tidak tahu atau kita “terlindung” dalam tingkap ego dan kesombongan kita sendiri. Kita tdak tahu dan akan percaya serta boleh menerimanya dengan wajar jika ada orang mengatakan di belakang kamu ada tanda lahir. Atau ada orang mengatakan punggung kamu begitu besar. Kita mampu menerima pemberitahuan orang kerana kita mampu mengesahkan secara fizkikal bahawa apa yang diperkatakan itu sesuatu yang benar dengan pelbagai cara
Tetapi ada perkara yang orang lain tahu tentang kita yang kita tidak tahu tetapi sukar untuk orang lain beritahu dan payah untuk kita menerimanya. Kadangnya ianya membawa krisis dalam persahabatan.Misalnya jika kita biasa dengan bercakap kasar maka kita anggap perkara itu biasa bagi kita sedangkan mungkin bagi setengah orang ianya perbuatan kurang beradab dan beretika. Ataupun kalau kita seorang guru yang biasa tidak masuk kelas atau tidak buat buku rekod apabila mahu diselia oleh Guru Besar menganggap sebagai sengaja mahu mencari kesalahan walaupun ianya termaktub dalam peraturan kerja.
Begitu juga kalau spesis kaki umpat yang kehidupan umpat-keji menjadi hidangan lazat setiap hari akan menganggap perbuatan itu biasa walaupun sebenarnya ia menyebabkan permusuhan dan persengketaan. Model-model contoh yang saya sebut di atas amat sukar menerima teguran orang lain walaupun ditegur dengan cara yang cukup hikmat kerana mereka terlindung dengan sifat ego dan sombong. Dua sifat ini melindungi mereka dari melihat fitrah dan kelemahan diri. Mereka lupa bahawa spesis yang bernama manusia ini juga banyak kelemahan,perlu ditegur,dibantu dan diberitahu. Tapi kerana kejapnya katupan tingkap “Terlindung” ini mereka berbanggalah dengan hidup bodoh sombongnya. Yang selalu disebut oleh orang kita “gong”,cerdik tak boleh ditumpang,bodoh tak boleh di ajar. Ramai manusia dalam makam dan martabat “tak sedar kediri” dalam lingkungan kita.Mereka merasa mereka hebat berwibawa tapi habuk pun tarak
Manusia yang terlindung oleh tingkat ego bodoh –sombong ini kalau ditukar mereka akan protes,merayu-rayu,mengutuk-ngutuk dan guna macam-macam “kabel” untuk terus kekal dalam “gok” sedia ada.Kalau boleh biar berkubur di situ. Walaupun perbuatannya menyusahkan ketua dan pegawai atasan,mereka tidak merasakan begitu bahkah terus membina persepsi orang lain tak adil,orang lain zalim dan orang lain dengki padanya. Orang macam ni kalau dia tidak dapat sesuatu walaupun dia tidak layak dapat akan riuh sekampung.Konon dialah yang selayaknya,dialah yang terbaik.
Orang macam ini kalau berkawan akan sentiasa hendak “makan” kawan sahaja. Mereka akan menggunakan kita untuk “lompat pagar” dan “panjat pokok”. Mereka gunakan kita untuk makan “free” atau mendapatkan apa sahaja secara “free”. Orang macam ini kalau tidak mengutuk dan memperlekehkan orang tak lena tidur malam. Tapi apabila orang lain membalas kutukannya mula merah cuping telinga dan berhingus hidung. Orang macam ini kalau diberi jadi ketua,kerja dia hanya nak tunjuk bahawa dia ada kuasa dan memerintah kita lebih dasyat daripada Jepun sewaktu menjajah Tanah Melayu. Kalau dia sakitpun dia buat macam tak sakit biarpun ramai orang susah dan organisasi tidak stabil kerana tidak upayanya.Orang macam ini tidak makan oleh nasihat,tidak terhadzam oleh tunjuk ajar. Dia akan merasa dialah paling baik,paling perfect dan paling betul.
Sayang mereka tidak tahu bagaimana pandangan orang lain pada mereka. Kalaulah mereka tahu bagaimana benci dan meluatnya orang barangkali kalau dia masih ada otak pasti meraung dan taubat nasuha. Dalam pengalaman hidup, kita menemui tragedi-tragedi ini… Kalaulah dia tahu betapa ramai cikgu hendak tukar dan meluat meludah-ludah dan termuntah-muntah bila dengan cerita dia hendak ditukar sebagai Guru Baru sekolah itu. Kalaulah dia tahu semua Guru Besar tidak mahu menerima dia sebagai guru di sekolah itu. Kalaulah dia tahu semua jabatan tidak mahu dia masuk jabatan dan unit mereka. Apalah agaknya.Agak-agak dia buka atau tidak tingkap terlindungnya. Kalau tidak kita kena buat macam cerita P.Ramli iaitu “Tiga Abdul”. Kita lelong kepada umum . Kita tengok siapa yang hendak kepadanya atau dia terus berada di pentas lelongan buat selama-lamanya.
Marilah kita menjadi orang-orang yang sedar dan insaf. Bahawa kita ini manusia lemah dan biarlah sentiasa terbuka serta bersedia menerima kritikan dan teguran agar kita menjadi orang yang lebih baik dari masaa ke semasa.Bersyukurlah dengan apa yang diberi,dengan apa yang dimiliki. Keluarlah dari “lindungan” keegoan dan kesombongan jika berhasrat menjunjung piala kemuliaan insan.
No comments:
Post a Comment