Tuesday, July 10, 2012

Berani jana idea besar

Putrajaya: Penjawat awam perlu ada keberanian menjana idea besar dan bernas yang boleh dilaksana secara pantas lagi berkesan, selaras aspirasi serta harapan rakyat yang sentiasa berubah, kompleks dan pelbagai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata persekitaran hari ini jauh berbeza berbanding dulu, di mana saingan untuk sumber asli, pelaburan, tenaga kerja berkepakaran dan penguasaan pasaran teknologi kini bersifat global. “Kita (kerajaan) pula berdepan dengan rakyat yang mempunyai jangkaan dan harapan tinggi selain sikap lebih kritikal, termasuk dari segi kuantiti serta kepantasan sesuatu perkhidmatan kerajaan.

“Justeru, peningkatan daya saing dari dalam dan luar yang semakin tinggi jangkaan serta harapannya menjadikan kerja kita selaku anggota pentadbiran atau penjawat awam lebih mencabar.

“Sebagai kerajaan, kita tiada pilihan melainkan menambah baik kemampuan sedia ada supaya sistem penyampaian kita lebih berkesan, pantas dan sampai kepada kumpulan sasar,” katanya dalam ucaptama pada majlis Dialog Perdana Perkhidmatan Awam 2012 di sini, semalam.

Najib juga mengingatkan perkhidmatan awam adalah tonggak kepada usaha memastikan kelicinan pelaksanaan dasar negara bagi mencapai matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.


Katanya, Malaysia boleh berbangga kerana ketika persekitaran ekonomi negara zon Eropah berada dalam keadaan tidak menentu, kesannya tidak begitu ketara di Malaysia.

Sumber : Berita Harian online

No comments:

Post a Comment