Sunday, February 28, 2010

Prapenyerahan SK Gong Pasir Dungun

Jika apa yang dirancang terlaksana dengan lancar,SK Gong Pasir,Dungun yang berharga RM16 juta akan mula beroperasi atau akan dibuka selewat-lewatnya 1 April 2010.
Satu lawatan dan mesyuarat prapenyerahan telah diadakan antara pegawai-pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri,PPD Dungun dengan pihak kontraktor. Menurut Pn.Hajah Wan Salmah Wan Hamat,Ketua Unit Pembangunan & Bekalan JPNT pihak kontraktor telah berjanji untuk menyelesaikan kerja-kerja pengemaskinian atau "finishing" selewat-lewatnya pada 4 Mac 2010.
Secara keseluruhan kerja-kerja utama hampir selesai cuma kerja-kerja penyudah sedang pesat dilaksanakan.Pihak TNB juga telah memberi jaminan untuk memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan serta ujian dapat dilaksanakan.

Pihak JPN telah memberi komitment untuk turun sekali lagi pada 7 Mac 2010 di samping pegawai PPD Dungun akan memantau kerja-kerja sebagaimana janji pihak terbabit untuk menyiapkan isu yang dibangkitkan pada 4 Mac 2010

Selepas dua jam rombongan JPN dan Pegawai-Pegawai PPD Dungun telah mengadakan perbincangan dengan Pegawai Pelajaran Daerah Dungun di Bilik Mesyuarat PPD Dungun. Ketua Unit Sekolah Rendah,En.Jelani Sulong berharap agar PPD Dungun dapat memberi taklimat kepada Guru Besar dan GPK SK Gong Pasir yang akan melapor diri pada 1 Mac 2010.Selain dari itu,satu mesyuarat penyelarasan anatara pengurus sekolah dengan guru-guru yang akan ke SK Gong Pasir juga perlu diadakan.

Adalah dijangkakan pihak KPM dan Konsultan Projek akan hadir untuk penyerahan pada 11 Mac 2010. Jika segalanya berjalan dengan baik penempatan guru akan dibuat 16 Mac serta sekolah bakal dibuka selepas naik cuti pertengahan penggal. Jika ada masalah 1 April dicadangkan untuk sekolah mula beroperasi.

Friday, February 26, 2010

Salam Maulidurasul

SALAM MAULIDURASUL DARI WARGA UNIT PENYELIAAN SEKOLAH RENDAH,SEKTOR PENGURUSAN SEKOLAH,JABATAN PELAJARAN TERENGGANU..

Dapatan Pemantauan Bulan Februari

 
Pada bulan Februari,Unit Penyeliaan Sekolah Rendah bersama Unit Akaun Sekolah telah mengadakan pemantauan Pengurusan Sekolah di daerah Kemaman,Dungun dan Kuala Terengganu.Tujuan utama adalah untuk membantu pengurusan sekolah mengatasi kelemahan dan mempertingkatkan tahap kecekapan pengurusan am,kurukulum,hal ehwal murid,kokurikulum ,kewangan dan pengurusan PIBG.

Kekuatan:
  1. Terdapat sekolah pengurusan asasnya sangat baik dan kemas
  2. Perjawatan sekolah mencukupi dan dimanafaatkan pengurusan secara berkesan
  3. Ada sekolah (SK Felda Neram) sistem pengurusan kewangan PIBG sangat  baik
  4. Majoriti hubungan Guru Besar,GPK dan Guru berjalan dengan baik
  5. Perancangan sekolah yang tersusun dan kemas
  6. Banyak ruang dan potensi yang belum dipugar secara optima

Kelemahan

  1. Majoriti rekod kehadiran guru dan kakitangan tidak kemas dan sempurna
  2. Pemantauan pengurusan dalam pelbagai bidang tidak dilaksana secara profesional
  3. SKPM yang menampakkan ketidakjelasan dan keyakinan pengurusan
  4. Profil sekolah yang tidak ada atau tidak lengkap
  5. Pelaporan aktiviti yang masih lemah dan belum terbudaya
  6. Perlanggaran terhadap tatacara pengurusan kewangan seperti :
          - duit kantin dibelanja sewenangnya dan dokumen perjanjian kantin tiada
          - jawatankuasa kewangan sekolah tidak berfungsi
          - belanja salah peruntukan
          - dokumen tidak cukup atau tiada
          - prosidur pembeliaan dan pembayaran tidak dipatuhi
          - audit berteguran dan berbagai lagi

Pemantauan seperti ini akan dilaksanakan setiap bulan terutama sekolah-sekolah yang dikenalpasti prestasi pengurusan yang kurang memuaskan dan mempunyai rekod audit berteguran.Bagi memudahkan pihak sekolah memahami skop dan skala pemantauan pengurusan sekolah sila ke linlk download untuk mendapatkan Borang Pemantauan Pengurusan Sekolah.

Saturday, February 20, 2010

Pemantauan Pengurusan Sekolah Berkelompok


Pemantauan Pengurusan Sekolah Rendah secara berkelompok siri 1 /2010 telah dijalankan pada 17 dan 18 Februari 2010. Daerah Dungun dan Kemaman dipilih untuk siri ini. Fokus Pemantauan Berkelompok ini ialah membantu pihak pentadbir sekolah dalam pengurusan sekolah, pengurusan kewangan, pengurusan kurikulum, hal ehwal murid, kokurikulum dan pengurusan PIBG.
Proses pemantauan ini telah diketuai oleh En. Jelani bin Sulong, Ketua Unit Penyeliaan Sekolah Rendah bersama beberapa orang pegawai dari JPNT dan PPD berkenaan. Turut serta ialah akauantan jabatan, Cik Siti Noorfaezah bt Abd. Latep, juga selaku Ketua Unit Kewangan JPNT.
Dapatan hasil daripada pemantauan berkelompok ini dibincangkan secara terbuka bersama Guru Besar sekolah berkenaan. Ketua Unit Penyeliaan Sekolah Rendah dan Ketua Unit Kewangan membentangkan hasil penelitian yang diperolehi sebagai panduan kepada Guru Besar untuk melaksanakan penambahbaikan terhadap kelemahan yang dikenalpasti. Semua Guru Besar sekolah yang dipantau diberi cadangan supaya mengambil tindakan segera terhadap cadangan yang diberi.
Pengurusan Kewangan Sekolah yang tidak mengikut prosedur yang tepat dapat dikesan di beberapa buah sekolah yang dilawati. Teguran dan peringatan telah disampaikan supaya keadaan ini tidak menjadi bertambah rumit. Sekaligus mengelakkan sekolah daripada menerima Laporan Audit Berteguran. 

Thursday, February 11, 2010

URUSAN PERTUKARAN DAN PENEMPATAN MURID SEKOLAH

DOKUMEN URUSAN PERTUKARAN MURID WARGANEGARA YANG PERLU DIKEMUKA OLEH IBUBAPA / PENJAGA KEPADA PIHAK SEKOLAH1. 1 Salinan Borang SRTATS (diisi ibubapa/penjaga)
2. 2 Salinan surat beranak
3. 2 Salinan IC ibubapa/penjaga
4. 2 Salinan surat nikah
5. 2 Surat hak jaga anak (kes cerai)
6. 2 Surat anak angkat (jika anak angkat)

7. Bil air/letrik/cukai pintu (sah alamat terkini)

DOKUMEN URUSAN
PERTUKARAN MURID WARGANEGARA YANG PIHAK SEKOLAH PROSES DAN KEMUKAKAN KEPADA PPD/JPN
1. 4 Salinan Borang P.U.(A) 275 Jadual iii (diisi pihak sekolah)
2. 2 Salinan surat beranak
3. 2 Salinan IC ibubapa/penjaga
4. 2 Salinan surat nikah
5. 2 Surat hak jaga anak (kes cerai)
6. 2 Surat anak angkat (jika anak angkat)

DOKUMEN URUSAN KEMASUKAN MURID MENGIKUT UMUR DARI SEKOLAH SWASTA /SAR/DARI LUAR NEGARA/CICIR/TAK PERNAH SEKOLAH
1. 2 Salinan Borang Permohonan - JPNT/SPS-REN/09
2. 2 Salinan surat beranak
3. 2 Salinan IC ibubapa/penjaga
4. 2 Salinan surat nikah
5. 2 Surat hak jaga anak (kes cerai)
6. 2 Surat anak angkat (jika anak angkat)


KEMASUKAN MURID TANPA SIJIL LAHIR
1. Perlu pengesahan kelahiran
2. Anak Wargenegara
3. Ada bukti kelahiran di Malaysia
4. Mengisi borang daftar lewat
5. Membuat permohonan daftar lewat di Jabatan Pendaftaran Negara
6. Membuat permohonan di JPN


URUSAN PERTUKARAN MURID PRASEKOLAH
1. Tidak ada sebarang pertukaran bagi murid prasekolah

(kerana tidak semua sekolah ada kelas prasekolah
dan ianya juga melibatkan peruntukan perkapita
khas murid yang tidak boleh dipindahkan)

URUSAN KEMASUKAN & PENEMPATAN MURID BUKAN WARGANEGARA
Semua permohonan Murid Bukan Warganegara diproses dan diluluskan Oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang berkaitan. Jika terdapat kes yang tidak dapat diselesaikan di peringkat JPN, permohonan ini akan di panjangkan ke Kementerian Pelajaran Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Mesyuarat Unit Penyeliaan Sekolah Rendah Siri 1/2010

Semalam pada 10 Februari 2010 telah diadakan Mesyuarat Bulanan Penyeliaan Pengurusan Sekolah Rendah Siri 1/2010. Mesyuarat telah diadakan di Unit Penyeliaan Sekolah Rendah pada jam 3.00 petang.

YM Tengku Anuar Tengku Dalam,Ketua Sektor Pengurusan Sekolah telah hadir sama. Dalam ucapannya Ketua Sektor Pengurusan Sekolah telah menyatakan perkara-perkara berikut:-
  • Berharap Unit Penyeliaan Sekolah Rendah dapat melaksanakan apa yang dirancang dengan baik mengikut masa,keperluaan dan keutamaan.
  • Menjaga Kerahsiaan sangat penting - terutama berkaitan pertukaran,naik pangkat,penempatan dan sebagainya
  • Sistem Semakan Surat-Menyurat supaya tidak berlaku kesilapan
  • Isu-isu yang tidak boleh diselesaikan perlu dirujuk kepada pegawai yang lebih atas
  • Kesegeraan dalam jawapan atau respone daripada mana-mana pihak yang berkepentingan
  • Hubungan yang baik antara unit dalam sektor dan di luar Sektor Pengurusan Sekolah.
Sementara itu  Ketua Unit Rendah ,En. Jelani Sulong pula menyatakan perkara-perkara berikut:
  • Mesyuarat Bulanan Unit penting untuk melihat kekuatan dan mengatasi kelemahan yang ada dan strategi penambah baik dalam kerjabuat
  • Sentiasa waspada terhadap unsur-unsur yang boleh merosakkan perpaduan dan kestabilan organisasi
  • Sentiasa menjaga nama baik ketua dan rakan-rakan dalam organisasi
  • Sangat bersetuju dengan menjaga KERAHSIAAN seperti yang dinyatakan oleh Ketua Sektor
  • Boleh memberi teguran dan menyalurkan maklumat yang sepatutnya
  • Sentiasa berhemah semasa berurusan dengan pelanggan
  • Setiap pegawai memberi laporan pelaksanaan di bawah  bidang tugas setiap kali mesyuarat
  • Terima kasih atas sokongan dan komitmen ahli organisasi selama ini.

Tuesday, February 9, 2010

Pertukaran Guru Besar / Penolong Kanan DG41(KUP) / DG44(KUP)


Bahagian Pengurusan Sumber Manusia(BPSM),Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan surat Permohonan Kelulusan Pertukaran Guru Besar / Penolong Kanan DG41(KUP) / DG44(KUP). Surat KP(PP)0063/105/1/1/Jld.13/(2) bertarikh 8 Januari 2010 akan menjadi rujukan sumber kuasa bagi membolehkan Guru Besar / Penolong Kanan pada gred berkenaan bertukar.

Berita ini pasti menggembirakan Guru Besar / Penolong Kanan terutama bagi yang telah lama bertugas di luar daerah tempat tinggal mereka. Walau bagaimanapun kebenaran bertukar hanya diluluskan bagi pergerakan Guru Besar / Penolong Kanan dari Sekolah Gred A ke Gred A, dari Sekolah Gred B ke Gred B dan dari Sekolah Gred B ke Sekolah Gred A. Manakala pertukaran dari Sekolah Gred A ke Gred B tidak dibenarkan.

Mana-mana Guru Besar / Penolong Kanan DG41 (KUP) / DG44 (KUP) yang ingin bertukar boleh mengisi Borang Permohonan yang boleh diperolehi di sini dan memanjang permohonan melalui Pegawai Pelajaran Daerah masing-masing ke Panel Jabatan di Unit Penyeliaan Sekolah Rendah.

Sunday, February 7, 2010

Perasmian Blok Baru Sektor Pengurusan Sekolah

Pada awal Januari 2010,tiga unit di bawah Sektor Pengurusan Sekolah,Jabatan Pelajaran Negeri telah berpindah ke blok bangunan baru. Unit-unit berkenaaan ialah Unit Penyelian Sekolah Rendah,Unit Perhubungan & Pendaftaran dan Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak & PraSekolah.

Hari ini telah diadakan majlis perasmian sempena dengan perpindahan ke blok baru. Yang Berbahagia,En.Razali bin Daud,Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah menyempurnakan perasmian dengan upacara memotong riben.
Majlis kemudian diikuti dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Ustaz Aswadi Amzah,Penolong Pengarah Data dan ABM dari Unit Penyeliaan Sekolah Menengah,Sektor Pengurusan Sekolah.

Majlis kemudian diteruskan dengan lawatan Timbalan Pengarah Pelajaran bersama Ketua-Ketua Sektor dan PPD/Wakil ke pejabat Unit Penyeliaan Sekolah Rendah,Unit Perhubungan & Pendaftaran dan Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak & PraSekolah. Ketua Sektor Pengurusan Sekolah,YM Tengku Anuar bin Tengku Dalam dan KKP Sektor Pengurusan Sekolah,En. Salim bin Abd. Ghani turut sama memeriahkan majlis perasmian blok baru ini.
Selepas upacara lawatan Timbalan Pengarah Pelajaran,Ketua-Ketua Sektor,PPD dan wakil serta warga Jabatan Pelajaran Negeri telah dihidangkan dengan jamuan makan istimewa.Terima kasih kepada semua warga JPN Terengganu yang turut sama memeriahkan majlis tersebut.



Saturday, February 6, 2010

Sukarnya Untuk Berubah !!!!

Pada pertengahan November 2009,Unit Penyeliaan Sekolah Rendah telah melancarkan blognya sebagai salah satu medan penyebaran info khususnya kepada pengurus dan warga sekolah rendah seluruh negeri Terengganu. Kelahirannya juga hasil dari Mesyuarat Sektor Pengurusan Sekolah yang diadakan di Seri Malaysia,Genting Higlands.

Pada awal Disember melalui "roadshow" taklimat perjawatan kepada semua guru besar negeri di setiap daerah saya mempromosi blog ini. Harapan saya agar semua sekolah tahu dan menjadikan sebahagian daripada proses komunikasi efektif yang pantas dan murah pada zaman kegawatan di antara sekolah dengan Unit Penyeliaan Sekolah Rendah. Saya beranggapan  semua sekolah mempunyai talian untuk access internet,punyai tenaga manusia (setidak-tidaknya guru ict / guru data / guru media) dan pengurusan sekolah yang kominted serta peka dengan stail dan budaya komunikasi terkini.

Justru itu pada 25 Januari 2010 saya telah post satu pengumuman penting agar semua sekolah rendah (347  buah) menghantar Jadual Guru Data 2010  pada atau sebelum 5 Febuari 2010. Sengaja saya tidak menghantar surat kepada sekolah kerana ingin menguji sejauhmana sekolah mengambil peluang atau melayari blog ini dan diberi kemudahan menghantar jadual melalui email kami.Saya juga menggunakan satu ruang khas "Maklumat Penting Untuk Guru Besar Terengganu" dengan memasukkan pelbagai maklumat dan peringatan penting. Saya menaruh sepenuh keyakinan bahawa semua sekolah tahu alamat blog ini. Bukan sahaja ia diberitahu melalui taklimat guru besar tetapi ditulis dalam siaran Pendaftaran Murid Tahun 1. Saya yakin sekolah tahu kerana blog ini dikunjugi purata tidak kurang 50 hits sehari dan hingga kini sudah menghanpiri 4,500  hits.

Tetapi harapan saya jauh meleset. Setakat catatan ini ditulis hanya 11 buah sekolah yang hantar dari 347 buah sekolah rendah. Berapa peratus ??? Atau ini jugakah sikap kita dalam banyak perkara..."ambil mudah" tiada langsung "sense of urgensi ". Untuk makluman pengurus sekolah,Unit Penyeliaan Sekolah Rendah minta dihantar jadual guru data itu adalah dengan tujuan mengumpul bukti terhadap satu aduan dari guru data kepada kementeriaan dan jabatan bahawa terdapat guru besar memberi tugas mengajar kepada mereka melebihi 12 waktu seminggu yang bercanggah dengan surat arahan KPM. Macam mana kami nak jawab dan selesai kalau sekolah tidak menghantarnya.

Selain dari itu dalam penyeliaan dan pemantauan kami ada terdapat sekolah membenarkan murid warga asing bersekolah tanpa dokumen,murid menumpang dan pelbagai kesalahan di bawah akta yang tidak sepatutnya berlaku.Jika Guru Besar,Guru Penolong Kanan atau guru-guru melayari blog Unit Penyeliaan Sekolah Rendah perkara seumpama ini tidak akan berlaku kerana ada panduan disediakan. Kita menyediakan blog dengan pelbagai info bukan untuk menunjuk-nunjuk atau menyusahkan tetapi membantu pihak sekolah memperolehi maklumat dengan mudah,cepat dan pantas bagi mempertingkatkan kualiti pengurusan sekolah.

Segala hasrat baik ini hanya berlaku jika kita sanggup berubah, proaktif dan memanafaatkan peluang yang ada sebaik mungkin.Tahniah dan terima kepada Guru Besar sebelas buah sekolah yang telah menghantar Jadual Guru Data dan kepada sekolah yang masih belum menghantarnya diharap dapat menghantar segera...


Friday, February 5, 2010

Tampar Guru- Ibu bapa Mengajar Anak Menjadi Biadap dan Kurang Ajar

Zaman sudah berubah,dahulunya kita di bangku sekolah cukup takut kepada guru,takut bukan kerana guru itu jahat,tetapi takut kerana guru cukup dihormati,hinggakan murid murid tidak terasa hati jika dimarahi atau dirotan oleh guru,paling teruk pun selepas dirotan akan merungut kerana menahan kesakitan,selepas itu kembali menegur guru yang merotan tadi seolah olah tiada apa apa yang berlaku.Walaupun berbekas dek kerana dirotan,namun tidak berbekas dihati atau mendendami guru,kerana anak anak sudah dididik supaya menghormati guru,malah ibu bapa ketika itu beranggapan  telah menyerahkan tanggung jawab mendidik anak mereka maka guru berhak merotan demi kebaikan dan mendisplinkan anak anak.

Cara mendidik anak anak pada masa sekarang jauh berbeza,Ibu Bapa zaman sekarang mengajar anak supaya tidak menghormati guru atau lebih tepat lagi tidak mengajar anak anak supaya menghormati orang yang lebih tua.

Harian Metro


Insiden itu dilaporkan berpunca daripada tindakan pelajar terbabit bersama dua rakannya memasuki sebuah kelas yang sedang diajar oleh guru wanita berkenaan di mana didapati ketiga-tiga pelajar ini tanpa menghormati guru berkenaan dan mempedulikan pelajar lain, membuat bising sebelum guru terbabit mengarahkan mereka keluar dari kelasnya.

Guru terbabit menampar pipi seorang pelajar berkenaan apabila mereka tidak mengendahkan arahan itu dan akibatnya seorang pelajar terbabit membalas balik tamparan guru itu. Malah lebih menakutkan apabila dilaporkan seorang daripada pelajar itu cuba bertindak lebih ganas dengan membaling kerusi plastik ke arah guru berkenaan.

Dalam insiden terbaru pula, dilaporkan seorang guru lelaki berusia 28 tahun ditampar ibu seorang pelajar yang marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan guru menampar anak wanita itu di sebuah sekolah menengah di Perlis.

Kejadian dilaporkan berpunca daripada masalah disiplin membabitkan pelajar lelaki tingkatan satu dari sekolah berkenaan. Walaupun pihak sekolah cuba menjernihkan semula keadaan dengan mendamaikan kedua-dua pihak namun wanita berkenaan masih tidak puas hati bertindak menampar guru terbabit di hadapan pengetua dan guru lain.

Pisau cukup bersyukur ,kerana dengan rotan,penampar dan cubitan di perut oleh guru telah mendisplinkan diri agar lebih tekun belajar,menjadi lebih berhemah dan rajin,walaupun seperti remaja lain,agak nakal,namun soal pelajaran tidak diabaikan ,balik saja dari sekolah dah kelam kabut buat homework ,takut tak siap nanti esok kena rotan atau didenda lari 10 pusingan dipadang sekolah. Secara tak langsung telah mendidik Pisau lebih berdisplin dan tekun belajar. Kalau kena rotan di sekolah,balik rumah kalau report kat mak bapak,comfirm kena makan penampar atau kena double rotan, sebabnya kalau hang baik dengar cakap guru hang takkan kena rotan atau kena denda.Hah itulah didikan ibu bapa dulu cukup berbeza.

Pisau tidak terkejut jika berlakunya kes kejadian anak tidak menghormati ibu bapa,kes anak meninggalkan ibu atau bapa ditepi jalan,ini kerana sikap ibu bapa sendiri yang terlalu protective tak bertempat.Akhirnya yang rosak adalah anak itu sendiri.

Kementerian Pelajaran harus menguatkuasakan undang undang,jika ibu bapa terlibat mencampuri urusan guru di sekolah harus diambil tindakan undang undang,malah jika anak terlalu kurang ajar dan menyerang guru,ibu bapa mereka harus dihukum,kerana tidak pandai mendidik anak menjadi kurang ajar dan tidak bermoral.

Harus diingat,didikan agama juga harus diterapkan agar tatasusila ,berakhlak mulia dan bermoral anak anak dapat dibentuk sejak dari kecil.

Apa apa pun,semuanya bermula dari rumah,elok didalam rumah tu,elok lah anak anak.


Pisau kata " anak kurang ajaq,mak bapak lagi tak boleh diajaq"
Sumber : Pisau dari blog pisau.net

SBT penanda aras baru - TPM

NUSAJAYA 4 Feb. - Penyenaraian 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang diumumkan baru-baru ini bukan sahaja untuk menaik taraf sekolah tersebut, malah ia menjadi satu penanda aras baru dalam pembangunan dan mutu pendidikan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman itu akan membolehkan semua sekolah mengetahui senarai SBT dan mereka akan berusaha gigih ke arah mencapai kriteria tersebut.

"Tetapi saya juga sedar memang ada perbezaan dan jurang dari segi taraf pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak yang daif.

"Tetapi dengan cara begini (SBT), kita harap sekolah lain akan mencapai taraf SBT. Sekolah yang di bawah pun cemerlang juga, cuma dia tidak dapat memenuhi kriteria yang ketat. Dia cemerlang tetapi di bawah dan kita harap mereka akan terus meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Stadium dan Kompleks Sukan Educity@Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi Iskandar Investment Bhd. (IIB), Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Arlida Ariff.

Beliau mengulas kebimbangan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo bahawa langkah kerajaan menyenaraikan 20 buah (SBT) akan melebarkan lagi jurang kualiti pendidikan di bandar dan luar bandar.

Mohamad Khir juga mempersoalkan tindakan kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM700,000 setahun kepada SBT, tetapi pada masa sama memotong bajet sekolah biasa sehingga menjejaskan banyak aktiviti pendidikan.

Muhyiddin berkata, mengikut Indeks Prestasi Utama (KPI) Kementerian Pelajaran, pihaknya menyasarkan 20 buah SBT, manakala 30 buah pada tahun depan sebelum jumlahnya meningkat kepada 50 buah menjelang 2012.

Beliau berkata, kementeriannya dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) menyasarkan dapat mewujudkan 100 buah SBT.

"Tetapi kita tidak mahu dengan ada SBT ini, sekolah-sekolah lain menjadi tidak penting. Hanya 20 buah SBT sedangkan kita ada kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara.

"Tumpuan masih diberikan kepada semua sekolah dan kita hendak pastikan yang mana belum cemerlang akan meningkat, manakala yang sudah cemerlang akan naik ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain SBT Kementerian Pelajaran akan mengambil langkah dengan memulakan program 'hand holding' antara Sekolah Berprestasi Rendah (SBR) dengan 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di negara ini.

Beliau menjelaskan, menerusi program itu, setiap IPGM akan mengambil sebuah sekolah yang masih berada di tahap pretasi rendah.

"Sudah pasti sekolah ini tidak akan naik ke SBT, tetapi jika dapat meningkat 20 hingga 30 peratus daripada tahap sekarang, ia merupakan satu pencapaian," katanya.

Salah satu lagi NKRA ialah insentif kepada pengetua dan guru besar yang berjaya mencapai tahap yang lebih tinggi.

"Insentif ini bukan sahaja untuk pengetua dan guru besar, malah seluruh guru di sekolah tersebut agar mereka bersama-sama berusaha untuk meningkatkan tahap sekolah," katanya.
Sumber :Utusan Online

Thursday, February 4, 2010

Data Guru,Murid dan Kelas Pada 31 Januari

 

Catatan : Jumlah Murid dan Kelas TIDAK termasuk PraSekolah dan KKBP