Sunday, September 29, 2013

Status tindakan terkini Guru Besar



Semua Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah
PPD seluruh Negeri Terengganu
Semua Guru Besar Negeri Terengganu

Assalamualaikum w.b.t.

Perkara di atas berkaitan. Bersama-sama ini saya sertakan fail statistik status tindakan GB selaku Pegawai Pengesah bagi pengurusan permohonan pertukaran guru secara online. Statistik ini menggabungkan semua jenis permohonan. Iaitu Antara Neg., Ant. Daerah dan Dalam Daerah.

2. Sukacita saya mohon tindakan segera tuan Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah untuk menghubungi pihak sekolah (GB) dalam kadar segera bagi memastikan semua pengesahan dapat dibereskan pada 30 September 2013 sebagaimana surat jabatan ini diedarkan ke semua sekolah melalui PPD tuan.Untuk makluman tuan, peringatan ini juga telah dihebahkan dalam Blog Unit Sekolah Rendah pada minggu lepas.

3. Tindakan segera tuan amat dihargai bagi memastikan semua permohonan pertukaran guru secara online ini dapat diuruskan sebaik-baiknya sebagaimana sesi-sesi yang telah lepas.

Terima kasih.

KAMAL B ABDULLAH
PP Pengurusan Guru SR
JPNT

Status terkini KLIK

 

Tuesday, September 24, 2013

Pertukaran dan Penempatan Pengelola,Guru Besar dan GPK kuatkuasa 16 September 2013

KUALA TERENGGANU - Tahniah kepada rakan-rakan yang ditawar lantikan baru Pengelola Sekolah, Guru Besar dan juga GPK. Pelantikan tuan/puan bukan sahaja berasaskan kelayakan dan kesesuaian sebagaimana ditetapkan tetapi juga satu amanah dan kepercayaan jabatan bahawa tuan/puan diharapkan dapat membangunkan sekolah-sekolah yang diamanahkan.

Sementara yang bertukar juga tahniah diucapkan . Jabatan berharap tuan/puan mampu menggunakan pengalaman sedia ada bagi membangun sekolah baru.

Senarai lengkap sebagaimana berikut:

Monday, September 23, 2013

Peringatan Penting : Tindakan Guru Besar selaku Pegawai Pengesah e-GTukar



Semua Guru Besar di negeri Terengganu hendaklah memastikan guru-guru di bawah seliaannya yang telah mengisi permohonan pertukaran secara online e-GTukar menyerahkan borang permohonan yang telah dicetak dan ditandatangan kepada pihak pengurusan sekolah. Tindakan tunjuk sebab boleh dikenakan oleh Guru Besar kepada guru-guru yang gagal menyerahkan borang permohonan masing-masing beserta dengan dokumen sokongan selewat-lewatnya pada 30 September 2013. Pihak pengurusan sekolah perlu melaksanakan tindakan berikut bagi memastikan kelicinan  pengurusan online ini berjalan lancar.

  1. Mengesahkan permohonan sama ada menyokong atau tidak menyokong beserta dengan ulasan bertaip (wajib ada) sebaik-baiknya sebelum atau pada 30 September 2013.
  2. Memastikan perakuan sama ada seseorang guru itu masih terikat dengan Perjanjian Latihan Berasaskan Sekolah (LPBS) atau status tindakan tatatertib yang sedang dikenakan ke atas seseorang guru.
  3. Mencetak Senarai Sepadu Pengesah selepas tarikh tindakan pengesahan berakhir.
  4. Menghantar 2 salinan muka surat akhir borang permohonan guru beserta dokumen-dokumen sokongan dan Senarai Sepadu Pengesah dengan mengemukakan surat iringan ke PPD berkenaan selewat-lewatnya pada 10 Oktober 2013 (U.P Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah).
Adalah dimaklumkan bahawa Guru Besar perlu login e-GTukar secara berasingan bagi proses pengesahan permohonan guru dan mencetak Senarai Sepadu Pengesah. Ini kerana tarikh akhir pengesahan ialah pada 02 Oktober 2013. Manakala proses cetakan Senarai Sepadu Pengesah hanya boleh dibuat bermula pada 03.10.2013.


Sunday, September 22, 2013

Urusan Penghakikian DGA32 (KUP) ke DGA32 Hakiki (iGPK32) Tahun 2014

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu akan melaksanakan Urusan Pengisian Pegawai Perkhidmatan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA32 (KUP) Time Base Ke Jawatan Gred DGA32 Hakiki Tahun 2014 bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat sebagaimana berikut:

  • PPLD DGA32 (KUP) yang dilantik ke DGA32 (KUP) pada tahun 2007 dan ke atas sahaja;
  • Berminat untuk bertugas sebagai GPK/Pengelola;
  • Prestasi yang baik bagi tahun 2010,2011 dan 2012
  • Berpengalaman dalam urusan pentadbiran
  • Bebas dari tindakan tatatertib
  • Lulus pengistiharan harta
Permohonan hendaklah menggunakan borang khas melalui Guru Besar / Ketua Jabatan masing-masing untuk dipanjangkan kepada PPD masing-masing pada atau sebelum 16 Oktober 2013.

Maklumat lanjut mengenai urusan ini boleh dimuaturun:
  1. Surat Siaran dan syarat permohonan
  2. Borang Permohonan Khas

Saturday, September 21, 2013

PPPM tidak tambah beban tugas guru - Muhyiddin



TANJUNG MALIM 20 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 tidak akan menambah beban tugas guru.

Sebaliknya, beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, PPPM merupakan tanggungjawab kepada guru dalam melaksana dasar pendidikan dengan lebih baik.

"Mungkin ada golongan pendidik yang menganggap PPPM ini menyebabkan mereka terpaksa menanggung lebih banyak tugasan.

"Tetapi, PPPM hanya menambah tanggungjawab golongan pendidik demi melahirkan anak bangsa yang berkualiti, jadi guru harus memahami matlamat PPPM ini," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Perjumpaan Khas dengan Warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Muhyiddin menegaskan, bagi mencapai matlamat PPPM, pihaknya hanya akan memilih kalangan bakal guru terbaik bagi memastikan setiap rancangan di bawah dasar itu yang sudah dikenal pasti dapat dilaksana sebaiknya.

"Kita akan memilih guru daripada mereka yang ada minat mengajar supaya hasilnya nanti PPPM ini akan melahirkan anak bangsa yang berkualiti," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap hasil pelaksanaan PPPM akan dapat dicapai pada tahun pertama dilaksanakan iaitu tahun ini.

Menurut beliau, satu pasukan 'task force' telah ditubuhkan sebagai badan penggerak sepenuh masa di bawah pelaksanaan PPPM.

"PPPM akan dilaksanakan dalam tiga gelombang dengan gelombang pertama memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.

"Saya berharap petunjuk prestasi utama (KPI) tahun pertama pelaksanaan PPPM ini akan dapat dicapai sepenuhnya," katanya.

sumber : Utusan Malaysia


Jawatankuasa Sekolah Kecemerlangan Negeri

KUALA TERENGGANU - Petang Khamis lepas dengan secara tersusun dan rasmi telah diujudkan Jawatankuasa Induk Sekolah Kecemerlangan Negeri, Jawatankuasa Kerja Sekolah Kecemerlangan Negeri dan Jawatankuasa Sekolah Kecemerlangan Daerah. Fokus utama ialah membantu SBT yang sedia ada sentiasa lestari, membantu SKK yang sedia akan bergerak ke arah SBT dan mengenal pasti sekolah berpotensi ke arah SKK.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, En. Zakaria Husain yang mempengerusikan mesyuarat ini menegaskan bahawa ialah adalah komitmen jabatan secara terancang, konsisten dan bersungguh-sungguh melonjak dan memperkasakan sekolah-sekolah kecemerlangan negeri Terengganu. Mesyuarat turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, semua Ketua Sektor, semua PPD dan pada mesyuarat akan datang wakil Yayasan Terengganu dan JHEAT yang terlibat dengan Imtiaz dan SABK juga akan dijemput sama.

Mesyuarat berkaitan telah membincangkan pelbagai perkara dasar dan strategik serta usaha-usaha yang sedang dan akan dilaksanakan bagi menambah bilangan SBT dan SKK negeri Terengganu melalui gerakan bersepadu semua sektor. Setakat ini negeri Terengganu mempunyai 9 buah SBT (4 SR dan 5 SM) dan 19 buah SKK ( 7 SR dan 12 SM). Sekolah-sekolah SKK inilah sebenar calon-calon SBT bagi negeri Terengganu untuk tahun-tahun akan datang sekurang-kurangnya hingga 2015.Senarai Sekolah Kecemerlangan Negeri Terengganu (SBT dan SKK) hingga kini KLIK.

Sementara itu urusetia Sekolah Kecemerlangan Negeri telah mengenal pasti sekolah-sekolah berpotensi untuk calon-calon SKK hingga 2017. Walau bagaimanapun jika sekolah-sekolah yang tercalon tidak memenuhi syarat generik utama seperti Audit Berteguran, tindakan tatatertib maka mereka akan gugur secara automatik. Dan jika ada sekolah-sekolah yang berpotensi dan memenuhi segala syarat serta keperluan tetapi tiada dalam senarai projek boleh dikemukakan kepada urusetia . Senarai calon Sekolah Kecemerlangan hingga 2017 sila KLIK.

Kita berharap dengan tertubuhnya jawatankuasa ini serta dengan gerak kerja yang lebih strategik untuk membantu sekolah-sekolah maka pihak sekolah khususnya yang terlibat perlu bertindak proaktif  dan positif memikul amanah dan cabaran ini. Kita berharap slogan Terengganu Anjung Ilmu dapat kita terjemahkan khusus dalam menambah kuantiti dan kualiti SKK dan SBT

Sembang Sabtu : Naik pangkat jangan kita keliru dan mengelirukan



Seringkali tulisan-tulisan berkaitan atau menyentuh isu naik pangkat mendapat rating yang tinggi. Tulisan terakhir bertajuk “Penyandang gred jawatan hakiki perlu lebihtinggi daripada Time Base” yang disiarkan pada Sabtu, 3 September 2013 hingga kita telah dibaca sebanyak 1252 kali. Ini menunjukkan kepada kita bahawa isu urusan naik pangkat dan perjawatan bukan perkara remeh-temeh tetapi sesuatu yang penting dan utama serta perlu difahami secara meluas dan mendalam agar tiada siapa yang layak teraniaya.

Kemunculan laluan naik pangkat secara hakiki dan time base serta laluan tertentu telah menimbul sedikit kekeliruan yang kadang sukar untuk guru-guru terlibat merujuk . Apalagi jawapan diberi kabur dan tidak berasaskan dasar, perinsip atau pekeliling yang kukuh.Kadang-kadang berdasarkan ikut rasa dan logika yang tidak boleh disandarkan sebagai aviden untuk hujjah membela diri.

Beberapa bulan dulu sewaktu ada urusan pemangkuan PPS DG44 (hakiki/KUP) ke DG48 hakiki pegawai dari Unit Naik Pangkat mengadu kepada saya ada seorang Guru Besar DG44 (KUP) ingin memohon dan apabila diberi penjelasan dia tidak boleh memohon kerana berada dalam laluan lain Guru Besar itu tetap hendak memohon juga dan sanggup hendak meletak jawatan sebagai Guru Besar. Saya hanya tersenyum. 

Petang itu sewaktu balik dari pejabat saya menerima panggil dari Guru Besar yang dianggap kontraversi itu lalu memberhentikan kereta. Guru Besar berkenaan telah memaklum kepada saya bahawa dia telah berusaha mendapat pandangan dari mereka yang urus hal naik pangkat ini tetapi jawapan yang diberi tidak memuaskan hatinya. Oleh itu dia ingin meminta pandangan saya. Saya ketawa kuat-kuat. Saya bertanya apa yang tuan hendak. Jawabnya dia mahu mohon jawatan naik pangkat hakiki DG48 kerana masa untuk pencen dah tidak lama dan takut tidak sempat.

Saya bertanya beliau lagi tolong beritahu saya dalam ABM Perjawatan Sekolah Rendah dekat mana ada jawatan DG48 hakiki. Beliau terdiam lama kemudian menyebut satu sekolah yang ada Guru Cemerlang DG48. Saya kata itu bukan DG48 hakiki . Itu DG48 KUP. Saya meneruskan “serangan” di Sekolah Rendah belum ada jawatan hakiki DG48  apalagi untuk pengurusan. Yang ada dan paling tinggi jawatan hakiki di Sekolah Rendah ialah DGA38 untuk Guru Besar SKK dan selainnya DGA34 dan DGA32. DG48 hakiki hanya untuk GPK SM, Timbalan PPD, KPP di JPN sahaja. So tuan mahu pilih yang mana tanya saya. Beliau mengeluh. Dan sebagai helah bela diri beliau berkata ‘ohh baru saya faham”. Dia mula nampak lemah.

Saya asak lagi kalau tuan hendak letak jawatan tuan kena mohon kepada BPSM melalui Pengarah Pendidikan Negeri dengan memberi justifikasi yang munasabah dan logik. Ini tentunya mengambil masa. Andainya diluluskan tuan barangkali akan diturun dari jawatan Guru Besar kepada Guru Penolong DG44 (KUP). Maka tuan mungkin lepas itu boleh memohon ke DG48 hakiki bersama calon hakiki DG44 seperti Ketua Bidang sebagainya. Dan sesuatu yang tuan perlu tahu bila “pemangkuan” permohonan tuan akan dinilai oleh pasukan panel bukan seperti Time Base hanya perlu perakuan Ketua Jabatan sahaja. Saya bertanya beliau apakah tuan yakin dengan prestasi tuan dan sumbangan serta penglibatan tuan, tuan akan diterima panel untuk mengisi jawatan hakiki DG48 ini? Beliau semakin gelabah dan kendur lulut. Saya kata jika tidak dapat tuan akan kekal sebagai Guru Penolong. Jelas beliau tidak sanggup dan faham konsep “hakiki”, konsep “KUP” konsep perjawatan.

Beliau mengucap terima kasih kerana memberi penjelasan begitu rupa dan saya berkata yakinlah dengan rezeki yang Allah tentukan.  Beliau nampak berpuashati dan saya minta beliau sampaikan penjelasan kepada rakan-rakan Guru Besar yang mungkin keliru agar tidak mengelirukan diri sendiri dan orang lain. Esoknya sampai ke pejabat saya ke Unit Pangkat dan hulurkan catatan ringkas jika ada mana-mana Guru Besar yang DG44(KUP) bertanya jawablah sebagaimana catatan ringkas itu.

Banyak lagi isu-isu yang mengelirukan seperti ada mengatakan bahawa mereka berada pada gred DG34(KUP) TBBK boleh dilantik GPK, kalau dilantik GPK DG32 hakiki tiba-tiba dapat DG34(KUP) TBBK lebih awal dari tarikh lantikan GPK boleh kekal GPK ataupun dilantik Guru Besar atau GPK kemudian datang DG41 lebih awal dari tarikh lantik Guru Besar atau GPK mereka kata boleh kekal. Begitu juga Guru Penolong Time Base DGA32 (KUP) yang dapat pemangkuan DGA34 tidak perlu ditawar dan berbagai lagi isu yang dihujah berasaskan logik bukan sumber kuasa atau dasar yang dan prinsip ditetapkan.

Satu kekeliruan dan kecelaruan besar ialah ramai tidak memahami gred naik pangkat. Bagi sesetengah pihak naik pangkat secara TBBK seperti tiada apa-apa berbanding naik pangkat secara pemangkuan sedangkan kedua-duanya adalah naik pangkat dan menikmati kemudahan gaji dan elaun naik pangkat. Yang membezakan TBBK dan Hakiki ini ialah jawatan mereka.TBBK naik pangkat tanpa jawatan. Hakiki naik pangkat dengan mengisi jawatan. Jawatan ada hubungkait dan konotasi dengan tanggungjawab dan kuasa. Sebab kalau faham konsep ini kita tidak keliru lagi. Kita faham hiraki dan kronologi. 

Misalnya seseorang yang dapat TBBK DG34 misalnya tidak layak lagi ditawar GPK kerana jawatan GPK hanyalah DGA32. Bahkan jika dilantik GPK DG32 tiba-tiba dapat lantikan TBBK DGA34 lebih awal dari tarikh lantikan GPK maka mereka mesti melepaskan jawatan kerana tarikh lantikan TBBK DGA34 tidak boleh dipinda. Begitulah juga mereka yang dilantik Guru Besar atau GPK tiba-tiba tarikh tawaran lantikan DG41 backdated lebih awal dari tarikh lantikan Guru Besar dan GPK maka diberi pilihan menerima tawaran DG41 dan melepaskan Guru Besar/ GPK atau kekal atas jawatan Guru Besar/ GPK dengan menolak tawaran DG41 dan mohon semula atau memohon pindaan tarikh tawaran pelantikan tawaran DG41 kepada SPP (jika mereka benarkan) selepas tarikh pelantikan Guru Besar/GPK.

Begitu juga guru Time Base DGA32 (KUP) yang berpotensi dan disenarai oleh Panel untuk pemangkuan DGA34 pada pandangan saya wajib ditawarkan kerana dalam syarat permohonan jelas dinyatakan selain mereka yang memegang jawatan hakiki DGA32 mereka yang berada pada gred TBBK DGA32 juga boleh memohon. Mungkin calon TBBK DGA32 yang masuk dalam senarai pemangkuan DGA34 mereka yang mempunyai keistimewaan dan skor markah penilaian keseluruhan yang tinggi . Beza markah mereka yang pegang jawatan hakiki dan TBBK hanyalah 4 markah maksima sahaja namun jika TBBK DGA32 juga ada pengalaman pernah memegang jawatan GPK mereka layak menerima markah berkenaan.

Kadang-kadang kita merasa sangat kecewa bila mana rakan Guru Besar sekolah SKM DGA32 tidak pernah masuk-masuk dalam senarai pemangkuan DGA34. Bermacam tohmahan dan tuduhan dibuat. Bila kita semak memang prestasi mereka baik tetapi prestasi hanyalah 80% dari keseluruhan markah. 20% lagi pengalaman dan pengetahuan yang perlu dilengkap di dalam borang permohonan dan disertakan bukti (aviden). Ramai kalangan mereka ini menghantar borang dengan ruangan “kosong”. Ada juga kes lain seperti tarikh pengistiharan harta tamat tempoh. Tidak cukup dengan title Guru Besar SKM dan prestasi sahaja untuk masuk dalam senarai pemangkuan DGA34. 80% prestasi bermakna dalam masa tiga tahun seseorang itu memperolehi 100% setiap tahun. Adakah Guru Besar SKM yang dapat seperti itu? Atas nama Guru Besar SKM maksima boleh dapat 4 markah .Cuba kaji garis panduan pemarkahan ini.

Berdasarkan pekeliling penurunan kuasa pertukaran kepada Pengarah  Pendidikan Negeri bahawa Pertukaran dalam daerah dan negeri bagi semua kategori Guru Besar, GPK dan Guru Cemerlang diputuskan Pengarah Negeri kecuali urusan antara negeri hendaklah melalui BPSM. Begitu juga pertukaran TBBK DG34 hanya setara dalam grednya bukan ke gred jawatan naik pangkat hakiki DGA34. Ini jelas menunjukkan belum ada dasar untuk menghakiki TBBK DGA34.

Dan apa yang menarik berdasarkan maklumat dan penerangan terkini peluang naik pangkat TBBK juga bukan lagi secara automatik. Ada makanisma penilaian prestasi dan prinsip kecemerlangan yang dinilai. Jika calon tidak mencapai standard minima prestasi 78% atau 80% mengikut kategori mereka tidak akan layak untuk dinilai bahagian kecemerlangan dan seterusnya tidak layak untuk naik pangkat TBBK. Komponen penilaian aspek Nilaian Prestasi vatage  80% dan bidang kecemerlangan 20%. Maklumat boleh diperolehi melalui web JPN Terengganu.

Apa yang penting ingin kami tegaskan dalam urusan naik pangkat jangan buat andaian dan keputusan berasaskan logik semata-mata. Semua urusan naik pangkat ada dasar, peraturan dan prosidur. Rujuklah kepada pegawai atau rakan-rakan kesatuan guru yang banyak didedahkan dengan maklumat ini. Platform seperti Majlis Bersama Jabatan adalah saluran yang sangat praktikal untuk dikemukakan isu bagi mendapat penjelasan tentang sesuatu yang kabur dan kurang jelas. Jangan kita jadi keliru dan mengelirukan terhadap isu-isu naik pangkat yang sangat jelas dan nyata.