Friday, September 19, 2014

Dokumen Panduan dan Semakan Verifikasi Calon SKK Fasa 9

Sebagaimana yang kita sedia maklumkan bahawa proses verifikasi SKK Fasa 9 akan diadakan pada 29 September 2014 hingga 17 Oktober 2014. Oleh yang demikian bagi membantu pihak sekolah membuat persediaan dan persiapan Jawatankuasa Sekolah Kecemerlangan Negeri menyediakan pelbagai panduan.

Sila muat turun DI SINI

 


Wednesday, September 10, 2014

Peringatan Penting : Tindakan Guru Besar selaku Pegawai Pengesah bagi Permohonan Pertukaran Guru Secara ’online’ e-GTukar Sesi Januari 2015


Semua Guru Besar di negeri Terengganu hendaklah memastikan guru-guru di bawah seliaannya yang telah mengisi permohonan pertukaran secara ’online’ e-GTukar bagi Sesi Januari 2015 menyerahkan borang permohonan yang telah dicetak dan ditandatangan kepada pihak pengurusan sekolah. Tindakan tunjuk sebab boleh dikenakan oleh Guru Besar kepada guru-guru yang gagal menyerahkan borang permohonan masing-masing beserta dengan dokumen sokongan selewat-lewatnya pada 30 September 2014. Pihak pengurusan sekolah perlu melaksanakan tindakan yang berikut bagi memastikan kelicinan  pengurusan ’online’ ini berjalan lancar.

  1. Mengesahkan permohonan sama ada menyokong atau tidak menyokong beserta dengan ulasan bertaip (wajib ada) sebaik-baiknya sebelum atau pada 30 September 2014.
  2. Memastikan perakuan sama ada seseorang guru itu masih terikat dengan Perjanjian Latihan Berasaskan Sekolah* (LPBS) atau status tindakan tatatertib yang sedang dikenakan ke atas seseorang guru.
  3. Mencetak Senarai Sepadu Pengesah selepas tarikh tindakan pengesahan berakhir, iaitu bermula pada 02 Oktober 2014.
  4. Menghantar 2 salinan muka surat akhir Borang Permohonan Guru beserta dokumen-dokumen sokongan dan Senarai Sepadu Pengesah dengan mengemukakan surat iringan ke PPD berkenaan selewat-lewatnya pada 10 Oktober 2014 (U.P Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah).
Adalah diingatkan bahawa Guru Besar perlu login e-GTukar secara berasingan bagi proses Pengesahan Permohonan Guru dan mencetak Senarai Sepadu Pengesah. Ini kerana tarikh akhir pengesahan ialah pada 02 Oktober 2014. Manakala proses cetakan Senarai Sepadu Pengesah hanya boleh dibuat bermula pada 03 Oktober 2014.

*Catatan:
Hanya Guru j-QAF Ambilan Tahun 2011 yang dilantik ke jawatan tetap sebagai PPPS pada 16 Mac 2013 sahaja yang masih terikat dengan Perjanjian LPBS.
 

Tuesday, September 9, 2014

UPSR terus dikekalkan - TPM



PUTRAJAYA 9 Sept. - Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan terus dikekalkan bagi mengukur tahap kemampuan pelajar selepas enam tahun berada di sekolah rendah.

Beliau berkata, paling penting peperiksaan itu mampu menilai sejauh mana penguasaan pelajar-pelajar terhadap setiap ilmu pengetahuan yang diajar oleh para guru terutama melibatkan subjek-subjek utama.

Mengenai jumlah keseluruhan calon UPSR tahun ini beliau berkata sebanyak 472,853 pelajar terlibat di 8,299 pusat peperiksaan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau hari pertama peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (2) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Urusan Pengisian Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG32 (KUP) ke Jawatan Hakiki DG32, Tahun 2015



Semua Guru Penolong/ Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG32 (KUP) Time Based yang berkelayakan dipelawa memohon.  Pemohon yang memenuhi kriteria berikut sahaja akan dipertimbangkan:

  • Pegawai Perkhdmatan Pendidikan (PPP) Gred DG32 (KUP) sahaja dan belum dilantik untuk DG34 (KUP) atau dilantik DG41/ DG42 pada tahun 2015
  • Berminat untuk bertugas sebagai Guru Penolong Kanan/ Pengelola, 
  • Mencapai tahap prestasi yang ditetapkan berdasarkan Laporan
  • Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) tiga (3) tahun terakhir bagi tahun 2011,2012 dan 2013 
  • Mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan dan Pentadbiran sama ada sebagai Guru Penolong Kanan lantikan sekolah/ Guru Data/ Guru Disiplin/ Guru Kanan Mata Pelajaran/ Guru Penyelaras Bestari/ Guru Media/ Guru Kelas/ Penyelaras Peperiksaan
  • Bebas dari tindakan Tatatertib 
  • Telah mengistiharkan harta, 
  • Bersedia untuk ditukarkan, 
  • Diperaku oleh Ketua Jabatan.
Untuk makluman,  semua pemohon diwajibkan menggunakan Borang Khas yang disertakan bersama ini  serta  diperaku oleh Ketua Jabatan masing-masing.

Ketua Jabatan/ Pengetua/ Guru Besar hendaklah memaklumkan kepada semua guru yang berkelayakan, menyemak ketepatan maklumat pemohon, membuat perakuan dan menghantar semua borang permohonan dan dokumen sokongan yang lengkap berserta rumusan ringkas senarai pemohon ke Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing (u.p: Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah) pada atau sebelum  30 Oktober 2014.

Surat dan borang muat turun DI SINI


Monday, September 8, 2014

Program kepung SK Seri Bandi 2



Tanggal  9 September 2014 semua pelajar  Tahun Enam seluruh negara akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga 11 September 2014.  Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengarahkan semua Pegawai Perhubungan Sekolah pada peringkat JPNT, PPD dan BTPN turun padang untuk  membuat pemantauan  persediaan sekolah-sekolah menghadapi peperiksaan tersebut.

Berbagai-bagai strategi dan pendekatan yang digunakan oleh sekolah dalam usaha menimbulkan minat dan siap siaga pelajar-pelajar untuk menghadapi  UPSR melibatkan semua pihak yang terdiri dalam kalangan guru, ibu bapa dan pelajar.

Sekolah Seri Bandi 2, Kemaman telah menggunakan pendekatan menjalin kerjasama dengan TH Plantation dan sarana ibu bapa untuk sama-sama memberi sumbangan kepada pihak sekolah untuk persiapan menghadapi UPSR pada kali ini.  

SK Seri Bandi 2 telah mengadakan  Program Kepung  kepada calon-calon mereka yang akan menghadapi  UPSR dengan “mengurung” pelajar-pelajar tersebut di sekolah sehingga pukul 9.30 malam.  Berbagai-bagai  pendekatan dilaksanakan oleh para guru dalam ruang masa yang ada.  

Perkara yang menarik dan boleh dibanggakan berhubung penglibatan ibu bapa yang sama-sama turun padang ke sekolah untuk menyediakan makan tengah hari, minum petang dan makan malam kepada anak-anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan. 
  
Kerjasama yang terjalin ini mendapat reaksi positif dalam kalangan ibu bapa dan mereka berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa-sama akan datang.  Sesungguhnya  ada dalam kalangan ibu bapa yang datang setiap hari ke program tersebut  walaupun jadual bertugas disediakan.   

Diharapkan kerjasama ini menjadi  wadah dan pemangkin  kepada kejayaan sarana ibu bapa.

oleh : Zakaria bin Muda, Ketua Unit Sekolah Rendah

Saturday, September 6, 2014

Sembang Sabtu : Harapan Pemimpin dan Tip Terakhir Untuk Calon UPSR




Taklimat Memperkasakan SJKC Terengganu

KUANTAN - Bermula 4 - 6 Septemper 2014 Jabatan Pendidikan Negeri dengan kerjasama Majlis Guru Besar SJKC Terengganu telah mengadakan program di atas di BTPN Pahang, Beserah, Pahang. Perasmiannya telah disempurnakan oleh En. Ahmad Shukor bin Mansor, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Terengganu. Para peserta terdiri daripada Guru Besar dan GPK sepuluh buah SJKC Negeri Terengganu.

Antara lain tujuan taklimat berkenaan  bukan sahaja sebagai tradisi berwahana secara langsung dengan pegawai-pegawai jabatan tetapi juga untuk menyampai pelbagai perkara baru serta mencari jalan men yelesaikan pelbagai isu-isu SJKC. Antara perkara yang disentuh ialah berkaitan fungsi dan peranan Guru Besar dan GPK sebagai pemimpin instruktional sekolah, pengurusan murid, isu perjawatan kepimpinan SJKC, laluan kerjaya, sekolah kecemerlangan dan sebagainya.

Isu pengisian jawatan Guru Besar dan GPK SJKC semakin menjadi kritikal bila mana pada tahun ini dan tahun depan beberapa orang guru besar akan bersara. Syarat baru di mana calon guru besar perlu memiliki NPQEL menyebabkan tiada calon yang layak untuk mengisi jawatan itu nanti. Begitu juga kecenderungan guru-guru SJKC untuk menjadi GPK sangat rendah. Mereka lebih rela menjadi guru biasa dan menikmati urusan naik pangkat secara Time Base Berasaskan Kecemerlangan.

Kita berharap pihak KPM boleh memberi kelonggaran dan pengubahsuaian syarat seperti melantik calon yang layak terlebih dahulu kemudian memberikan mereka kursus khas NPQEL atau apa-apa kaedah yang difikirkan sesuai tanpa melanggar dasar dan kekosongan jawatan boleh diisi.

Kita juga berharap Guru Besar dan GPK SJKC dapat memberi penjelasan kepada guru mereka di sekolah tentang peluang peningkatan kerjaya dan naik pangkat khususnya melalui laluan pentadbiran agar halatuju SJKC dapat dipimpin dengan baik oleh Guru Besar dan GPK yang baru. Tanpa kesediaan dan plan sedemikian maka SJKC akan menghadapi krisis pengisian pemimpin sekolah. Jangan nanti aspirasi yang menjadi tradisi selama ini dirombak kerana sikap kita sendiri.

Kita berharap prestasi SJKC akan terus meningkat dan kita sedang menanti calon SKK dari SJKC. SJKC Kwang Hwa, Dungun misalnya hampir mempunyai ciri SKK cuma beberapa pencapaian kebitaran perlu ditingkatkan. Tiada yang mustahil kalau kita mempunyai kemahuan yang tinggi



Pecutan Akhir UPSR SK Asli Sungai Pergam

Bermacam-macam cara dan kaedah para guru gunakan bagi membuat persediaan terakhir kepada calon UPSR sekolah masing-masing. Selain kelas dan teknik menjawab soalan, program motivasi dan sembahyang hajat juga diadakan. Pihak jabatan di bawah Sektor Pengurusan Sekolah melalui Program Sekolah Angkat mengadakan program kunjungan pemantauan pegawai angkat ke sekolah angkat masing-masing.

Selain dari itu, Sektor Pengurusan Akademik mengadakan Program Singgah Sayang kepada sekolah yang dipilih kepada para pegawai JPN untuk membantu dan memberi motivasi khususnya kepada calon-calon UPSR tentang persediaan terakhir mereka. Sementara itu pihak PPD juga mengatur pelbagai program dan lawatan ke sekolah dalam daerah masing-masing.

Begitulah juga bagi Sekolah Asli seperti SK Sungai Pergam dan SK Sungai Berua, pihak sekolah juga melaksanakan berbagai aktiviti pecutan terakhir bagi membantu murid mereka yang terkenal lemah dan jarang datang ke sekolah. Kita ingin mengucapkan tahniah kepada Guru Besar, guru-guru dan para ibu bapa anak Asli khususnya SK Sungai Pergam yang sempat kami tinjau. Kerjasama yang erat itu membolehkan semua calon UPSR SK Sungai Pergam dapat mengikuti kem pecutan akhir yang diadakan di sekolah bermula awal September hingga berakhir UPSR. Di mana semua calon belajar, tinggal dan makan-minum di sekolah.

Situasi ini penting bagi membiasakan murid Asli dengan suasana peperiksaan agar mereka tidak takut dan  hadir ke sekolah pada hari peperiksaan. Program yang hampir sama telah diadakan pada tahun lepas dan membuahkan hasil di mana band SK Sungai Pergam telah meningkat. Keazaman SK Sungai Pergam mereka mensasarkan ke Band 4 tahun 2014.

Selain sembahyang hajat dan berjemaah dan kelas bimbingan suasana sekolah juga dimeriahkan dengan baner-baner semangat sumbangan dari para guru SK Sungai Pergam. Tahniah juga kepada Pegawai Linus PPD Kemaman yang turut membantu murid Tahun 6 yang lemah walaupun pada cuti hujung minggu.

Tahniah, syabas dan terima kasih kepada pegawai, para guru dan ibu  bapa yang menunjukkan sokongan dan iltizam yang tinggi. Semoga sumbangan ikhlas itu membuahkan barakah dengan kejayaan anak-anak dalam UPSR 2014.


Friday, September 5, 2014

Renungan Jumaat : Munajat Doa Untuk Anak-Anak yang bakal duduki UPSR



DOA IBU BAPA UNTUK ANAK MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Kami mohon keampunan Mu, kami mohon kerahmatan Mu, kami mohon taufik dan hidayah Mu ya Allah.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa anak anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Permudahkan urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai Mu ya Allah. Ya Allah, jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai suatu amal ibadah yang diterima Mu.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Ikhlaskan hati anak anak kami untuk mempelajari ilmu Mu. Tetapkan niat dihati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah.

Ya Allah,

Kami mohon kepada Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berada di dalam kelas. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu Mu ya Allah.

Ya Allah,

Tidak lama lagi, anak anak kami akan menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan peperiksaan-peperiksaan lain ya Allah. Kami mohon kepada Mu ya Allah, bantulah anak anak kami dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi ya Allah.

Ya Allah,

Peliharalah kesihatan anak anak kami dihari peperiksaan nanti. Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan,jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan sepertimana skema jawapan.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,

Lembutkanlah hati pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan anak kami nanti. Dorongkanlah hati dia untuk memberi markah yang lebih kepada anak anak kami. Tutuplah matanya daripada melihat kesalahan yang anak kami lakukan.

Ya Allah,

Berilah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan anak anak kami. Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi, semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan menghampirkan diri mereka kepada Mu.

Jadikanlah anak anak kami pelajar yang cemerlang ya Allah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada Mu, Kau perbaikilah akhlak anak anak kami. Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.

Ya Allah, jadikanlah anak anak kami seorang pemimpin di kalangan orang yang bertakwa.

Ya Allah,

Apa yang kami doakan ini bukan untuk diri anak anak kami sahaja, tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak anak sahabat ku ya Allah. Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Ya Allah,

Sesungguhnya, anak kami inilah harapan kami. Kami mahu mereka Berjaya ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib keluarga kami ya Allah. Berikanlah taufik dan hidayah Mu yang berkekalan ya Allah.

Ya Allah,

Jadikanlah anak kami anak yang soleh ya Allah. Yang menyejukkan mata kami memandangnya ya Allah. Jadikanlah anak kami ahli syurga ya Allah. Dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke syurga Mu ya Allah. Jauhkanlah hati mereka daripada melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke neraka Mu ya Allah. Tetapkan lah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Kau melalaikan mereka dengan perkara perkara yang tidak berfaedah ya Allah.

Ya Allah,

Kami tidak mampu untuk mengawasi anak anak kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan anak kami untuk berada dibawah penjagaan Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat tempat yang Engkau murkai.

Ya Allah,

Perkenankanlah doa doa kami ini. Kami memohon kepada Mu kerana Engkaulah tuhan kami. Kami meminta kepada Mu kerana Engkaulah yang menciptakan kami. Kami merayu kepada Mu kerana Engkaulah yang Maha Mengkabulkan doa doa kami ini. Jika Engkau tidak memakbulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya. Jika Kau tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya. Bantulah kami ya Allah. Ya Rahman. Ya Rabbul Alamin.

sumber : dari group wassapp kamilian stpm1982