Friday, December 31, 2010

Selamat Tahun Baru 2011

Senarai Posting KPLI Dapat Masuk Terengganu

Tahniah,syabas dan bersyukurlah kepada 16  daripada 1415  orang lepasan  KPLI yang dapat posting ke negeri Terengganu Anjung Ilmu pada 3 Jan 2011 ini. Mereka sama ada dari luar Terengganu atau anak negeri yang dapat bertugas di negeri sebagai satu rahmat yang amat besar nilainya kerana:-
  • semua sekolah negeri Terengganu kecuali SK Pulau Redang,Kuala Terengganu dan SK Pulau Perhentiaan,Besut dapat dihubungi jalan darat bertar sampai ke pintu pagar sekolah
  • berpeluang masuk walaupun jumlah guru  hampir mencapai tahap tepu walaupun beberapa opsyen masih belum mencukupi
  • semua sekolah bukan sahaja cukup guru tetapi pasukan pengurusan diisi seratus peratus
  • kemudahan pembelajaran yang mencukupi
  • program pendidikan yang mendapat sokongan padu kerajaan Negeri Terengganu
Penempatan mereka diputuskan oleh Panel Penempatan Guru mengikut daerah dan sekolah berdasarkan kepada ;-
  • keperluan jumlah perjawatan mengikut daerah
  • keperluan opsyen mengikut sekolah
    Semalam sebelum pulang dari pejabat,saya berpeluang bertemu seorang guru dari Selangor yang memohon rayuan pertukaran ke Terengganu dan masih belum diluluskan. Guru perempuan ini berkata " Beruntunglah guru-guru lepasan KPLI dapat posting balik ke negeri sedangkan kami guru anak Terengganu dah berpuluh tahun mengajar di luar dan berbelas kali minta tukar tak dapat-dapat". Terasa nak menitik air mata saya kerana bukan guru ini sahaja yang masih berharap dapat pulang malah beribu lagi yang sedang menunggu,yang terpisah antara suami dan isteri,yang terpisah antara anak dengan ibu dan ayah.

    Oleh itu kita berharap anak negeri yang ditempatkan balik ke negeri asal usahlah sombong dan mencari kabel untuk mengubah sekolah penempatan mereka. Terimalah dengan hati yang terbuka. Mereka adalah anak Terengganu dari Besut sampai Kemaman yang amat memerlukan khidmat cikgu. Tahniah Cikgu..Terima kasih Cikgu. Kepada mereka yang tersenarai masuk taklimat penempatan dan penyerahan surat penempatan akan diadakan pada 3 Januari 2011,jam 8.30 pagi,di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu,Jalan Bukit Kecil,Kuala Terengganu.

    Senarai yang berjaya masuk klik di sini

    Renungan Jumaat - Renungan Menjelang Tahun Baru

    Thursday, December 30, 2010

    Terengganu Hari Kelepasan Am pada Ahad 2 Jan 2011

    Kami baru saja terima petang ini Pekelililing Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu Bil 1 Tahun 2011 mengenai hari Ahad, 2 Jan 2011 diistihar sebagai Hari Kelepasan Am bagi negeri ini sempena Kejayaan Malaysia Menjuarai Kejohanan Bola Sepak Suzuki AFF 2010  diumumkan Y.A.B Perdana Menteri Malaysia.

    Sehubungan dengan itu semua sekolah yang sepatutnya dibuka pada 2 Jan 2011 akan mula dibuka untuk sesi persekolahan 2011 pada 3 Januari 2011. Diharapkan pihak sekolah dapat memberi makluman dan penjelasan kepada ibubapa dan penjaga murid

    Klik di sini

    SK Nyiur 7,Besut mula beroperasi 3 Jan 2011


    SK Nyiur 7, Besut menjadi sekolah kebangsaan yang ke 347  negeri ini yang akan mula beroperasi sepenuhnya pada 3 Januari depan.Jika ditambah dengan dua buah sekolah pendidikan khas maka jumlah keseluruhan sekolah rendah yang beroperasi tahun 2011 ialah sebanyak 349 buah.

    "Dengan sekolah baru,suasana baru,pengurusan baru dan guru-guru yang baru sekolah ini boleh membentuk model dan watak yang tersendiri" demikian kata Yang Berbahagia Tuan Haji Salleh bin Busu yang mewakili Pengarah Pelajaran Negeri semasa Mesyuarat Penyelarasan Pembukaan Sekolah SK Nyiur 7 hari ini.Beliau juga mengingatkan Guru Besar,GPK dan guru-guru sekolah berkenaan supaya membuat persediaan yang rapi mengenai hal ehwal persekolahan seperti jadual ,guru,buku teks,perabut dan lain-lain lagi.

    Selain itu,Tuan Haji Salleh juga berharap segala program sama ada peningkatan prestasi akedemik,kokurikulum,sukan permainan mesti dilaksanakan dengan sempurna. Beliau juga berkata sekolah ini yang mempunyai 24 bilik darjah dijangka akan penuh dalam masa setahun dua dan menjadi tumpuan ibubapa jika diurus dengan cemerlang melalui kerjasama dan pemuafakatan semua pihak.

    Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Sektor Pe ngurusan Sekolah,Pegawai Pelajaran Daerah Besut,Ketua Unit Sekolah Rendah,Pegawai dari JPN dan PPD serta staf SK Nyiur 7. Kita sangat yakin dengan iltizam,kecaknaan dan keikhlasan barisan kepimpinan sekolah serta warganya sekolah suatu hari nanti setaraf dengan SK Tengku Mahmud 1 atau lebih hebat dari itu.

    Wednesday, December 29, 2010

    SK Sultan Sulaiman 1 menuju Sekolah Berprestasi Tinggi Tahun 2012

    Begitulah misi besar yang sedang digarap kepimpinan Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Sultan Sulaiman 1.Kita sangat yakin dengan kemampuan pengurusan,komitmen semua warga sekolah apatah lagi dengan skor komposit 95% dan GPS 1.6 yang dimilikinya.Keyakinan untuk SK Sultan Sulaiman 1 mengapai Sekolah Berprestasi Tinggi turut disuarakan oleh En.Jelani Sulong,Ketua Unit Sekolah Rendah merangkap Pegawai Perhubungan sekolah ini dalam ucapan aluan Mesyuarat Staf Kali Pertama di sekolah berkenaan pada pagi ini.

    Beliau mengingatkan para guru bahawa SK Sultan Sulaiman 1 mempunyai kelasnya yang tersendiri dan semua guru harus mempertahankan status-quo itu. Oleh itu kata beliau,guru-guru di SK Sultan Sulaiman 1 perlu sentiasa menjaga integriti,reputasi dan prestasi mereka untuk terus kekal di sekolah ini.
    Talking point Ketua Unit Rendah boleh didapati di sini

    Tuesday, December 28, 2010

    Senarai Terkini Kelulusan Rayuan Masuk Pertukaran Antara Negeri

    Berikut adalah senarai rayuan masuk ke negeri Terengganu Pertukaran Guru Antara Negeri pada 1 Jan 2011.
    Mereka disenarai dan dicadangkan daerah penempatan mereka telah dilulus rayuan oleh Bahagain Pengurusan Sekolah Harian,KPM berserta dengan "transfer order" sebagai sumber kuasa untuk ditempatkan. Mana-mana guru yang mendakwa telah diluluskan rayuan masuk tetapi tiada sebarang transfer order daripada KPM kami tiada sumber kuasa untuk menempatkan mereka.

    Tahniah kepada yang berjaya dan selamat berkhidmat atau selamat kembali  ke negeri Terengganu

    Penyerahan Surat Tawaran kepada Guru Besar & GPK Baru.

    Petang tadi di Bilik Mesyuarat Alamanda,Jabatan Pelajaran Terengganu telah diadakan majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Guru Besar & GPK  Baru oleh Yang Berbahagia,En.Zakariah bin Ali,Ketua Sektor,Sektor Pengurusan Sekolah,JPN Terengganu.

    Seramai empat orang GPK telah ditawarkan pemangkuan DGA34 sebagai Guru Besar, seorang ditawarkan pemangkuan DGA32 dan duapuluh dua orang dari gred DGA32(KUP) Time Base dihakikikan sebagai Penolong Kanan pada 1 Januari 2011. Daripada 27 orang calon itu hanya seorang yang menolak sebagai GPK walaupun ditempatkan dalam daerah yang sama.

    Tahniah kepada yang sanggup dan bersedia memikul amanah semoga dengan semangat,iltizam dan keikhlasan tuan-puan pendidikan Terengganu terus lestari dan terbilang.

    SK Gong Pasir akan mula beroperasi sesi persekolahan depan

    Setelah tertangguh selama enam bulan,akhirnya SK Gong Pasir,Dungun akan mula beroperasi mulai sesi persekolahan depan. Begitulah keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Penyelarasan Pembukaan SK Gong Pasir yang berlangsung di Bilik Mesyuarat sekolah berkenaan hari ini.

    Mesyuarat yang dipegerusikan oleh Yang Berbahagia,Tuan Haji Salleh bin Busu yang menjalankan tugas Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu turut dimaklumkan bahawa sekolah telah bersiap sedia untuk memulakan operasinya. Esok 29 Disember 2010 akan diadakan sesi pendaftaran masuk murid yang telah ditetapkan oleh PPD Dungun dari beberapa sekolah sekitar ke SK Gong Pasir.

    Tuan Haji Salleh Busu dalam ucapannya berharap sekolah ini dapat memulakan operasinya dengan baik dan berharap sekolah ini akan menjadi sekolah pilihan ibubapa justru lokasi,keceriaan dan kemudahan yang ada.Beliau juga berharap pihak sekolah telah membuat persediaan cukup tentang jadual serta lain-lain keperluan asas bagi memastikan tiada sebarang isu ditimbulkan apabila ia beroperasi nanti. Beliau juga berharap segala perancangan dalam semua bidang persekolahan telah dibuat dan berharap semua warga memberi sokongan yang padu.

    Mesyuarat ini juga turut dihadiri oleh En.Zakariah bin Ali,Ketua Sektor,Sektor Pengurusan Sekolah,Ketua Unit Rendah,Pegawai dari JPN dan PPD serta pengurusan sekolah dan guru-guru sekolah berkenaan. Ketua Sektor Sekolah berharap sekolah ini akan menjadi sekolah berwatak dan berkeyakinan sekolah ini akan mencul sebagai sebuah sekolah terbilang suatu hari nanti. Jabatan dan PPD akan sentiasa memantau dan membantu pihak sekolah dari masa ke semasa.

    Unit Sekolah Rendah merakamkan syabas dan tahniah kepada Guru Besar SK Gong Pasir,Guru-Guru Penolong Kanan,para guru,ibubapa dan semua murid akan memulakan persekolahan pada 2 Januari nanti.

    Monday, December 27, 2010

    Mesyuarat Penyelarasan ABM Perjawatan 2011

    Mesyuarat berkenaan telah diadakan jam 2.00 petang tadi di Bilik Mesyaurat Alamanda,Jabatan Pelajaran Negeri.En.Salim bin Ab. Ghani ,KPP Sektor Sekolah yang juga Timbalan Ketua Sektor Sekolah telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan. Di samping Ketua Unit Rendah, pegawai lain yang turut hadir ialah pegawai-pegawai di Unit Rendah,Unit Menengah,Penolong PPD Pengurusan Guru dan Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah PPD.

    Mesyuarat juga telah menetapkan semua PPD mengedarkan sijil perjawatan bagi semua sekolah rendah dan menengah dalam PPD masing-masing sebelum sekolah dibuka pada 2 Januari depan.Sijil ini telah diselaras antara pihak JPN-JPN dengan BPSM. Tahun hanya sijil berkenaan sahaja yang diguna pakai.Bagaimanapun jika berlaku pertambahan murid atau kekurangan murid  dan keperluan kepada tambahan atau kekurangan kelas , sekolah rendah dikehendaki membuat permohonan ke Unit Sekolah Rendah dan satu salinan ke PPD masing-masing sebelum 14 Jan 2011. Selain dari itu pihak sekolah rendah dikehendaki menghantar jumlah kedudukan murid ke PPD masing-masing pada atau sebelum 9 Jan 2011.

    Bersama Ketua Sektor Sekolah yang baru

    Pagi tadi berlangsung sesi suaimesra antara Pegawai dan Staf Sektor Pengurusan Sekolah dengan En.Zakariah bin Ali,Ketua Sektor,Sektor Pengurusan Sekolah yang baru di Bilik Mesyuarat Alamada,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

    En. Zakariah bin Ali sebelum ini ialah Pegawai Pelajaran Daerah Dungun. Sebelum dilantik sebagai PPD Dungun beliau adalah pengetua beberapa buah  sekolah di daerah Dungun. Dalam ucapan ringkas sempena majlis suaimesra beliau antara lain;

    1.  Berharap semua pegawai SPS dan staf kenal diri dan bestari nilai diri kita
    2. SPS merupakan  paling penting kerana berada di “from liner”.Komunikasi kena jaga kerana ia berkait imej jabatan
    3. Keputusan hendaklah seboleh-boleh dibuat oleh pegawai   
    4. Maklumamkan kepada KS   jika ada perkara penting dan mustahak
    5. Buat kerja terbaik kerana Allah 
    6. Bekerja dalam satu "team" dalam sektor atau antara unit
    7. Dalm organisasi kita tidak perlu orang yang nagatif dan terlalu berkira dengan masa
    8. Semua ahli organisasi tidak kira di peringkat mana sekali pun amat penting kerana masing-masing punya kekuatan dan kehebatan
    9. Meminta tugas utama setiap orang dapat sediakan dalam power point
    10. Berharap dapat membina visi,misi dan slogan baru untuk SPS
    Sebelum itu  rombongan dari PPD Dungun yang diketuai oleh Tuan Haji Zulkafa bin  Zakaria,Timbalan PPD Dungun berserta pegawai-pegawai yang "menghantar" bekas Pegawai Pelajaran Daerah mereka telah dipertemukan dengan semua Pegawai dan Staf Sektor Pengurusan Sekolah yang diketuai oleh En.Salim bin Ab.Ghani,Timbalan Ketua Sektor Sekolah.

    Kami di Sektor Pengurusan Sekolah khasnya dan warga JPN Terengganu amnya merakamkan ucapan Syabas dan Tahniah kepada En.Zakariah bin Ali yang telah dilantik mengepalai Sektor Pengurusan Sekolah,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu bagi meneruskan agenda "Melestarikan Pendidikan Terbilang"


    Sunday, December 26, 2010

    Hanya guru berkelayakan ajar BM

    PUTRAJAYA 25 Dis. – Kementerian Pelajaran mengarahkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menempatkan guru yang mempunyai kelayakan sahaja untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia mulai tahun depan.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud (gambar) berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan ia selari dengan kehendak pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

    “Guru yang mengajar Bahasa Malaysia untuk Tahun Satu dan Dua di SJKC dan SJKT hendaklah terdiri daripada mereka yang boleh bertutur dalam dwibahasa dan perlu mempunyai kredit dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    “Bagi Tahun Tiga hingga Enam, guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia hendaklah mereka yang memiliki opsyen ikhtisas Pengajian Melayu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam satu pekeliling yang dipetik daripada laman web rasmi Kementerian Pelajaran, di sini hari ini.

    Abdul Ghafar berkata, bagi SJKC dan SJKT dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia hendaklah dipilih di kalangan guru berpengalaman dan boleh bertutur dwibahasa serta mempunyai kredit Bahasa Malaysia dalam SPM.

    Sehubungan itu, katanya, Jabatan Pelajaran Negeri perlu mengambil tindakan sewajarnya semasa pelaksanaan proses penempatan, pertukaran dan penempatan semula guru di SJKC dan SJKT.

    Hijrah minda pelajar luar bandar

    Cuti sekolah semakin menghampiri penutupnya. Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 yang diumumkan baru-baru ini membuktikan bahawa kejayaan adalah milik semua pelajar sama ada di bandar mahupun luar bandar. Masyarakat kini telah dapat menyaksikan bahawa pelajar luar bandar juga mempunyai kebolehan untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

    Sebelum ini, mungkin masyarakat melihat pencapaian pelajar luar bandar agak tercicir berbanding dengan pelajar yang tinggal di bandar-bandar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan pembelajaran. Buat pelajar luar bandar, kini tiada alasan bagi mereka untuk malas belajar kerana di luar bandar pada masa ini sudah ada pelbagai kemudahan.

    Kita lihat sahaja pembangunan yang berlaku di luar bandar. Segala kemudahan yang ada di bandar kini sudah dapat dimiliki oleh pelajar luar bandar seperti makmal komputer, internet, kedai buku yang besar, perpustakaan bergerak, pusat tuisyen, dan lebih penting apa yang dipelajari pelajar di bandar adalah sama dengan apa yang dipelajari pelajar di luar bandar. Mereka mempelajari kurikulum yang sama.

    Kalau kita lihat sejarah pembangunan negara di awal pasca merdeka, segala kemudahan tersebut tidak ada di kawasan luar bandar. Rasanya sudah sampai masanya untuk para pelajar luar bandar muhasabah diri terhadap apa yang telah dilakukan setakat ini. Adakah mereka sudah berpuas hati dengan apa yang didapati dan diperoleh atau mereka perlu berhijrah minda untuk menjadi lebih baik daripada apa yang ada pada hari ini?

    Generasi muda yang menjadi harapan kita sudah tentulah golongan pelajar sekolah dan mahasiswa tempatan. Pada bahu merekalah terletaknya harapan negara dan apa yang lebih penting pada masa kini adalah memastikan kelestarian perjalanan dan pelaksanaan konsep 1Malaysia. Pelajar luar bandar pada hari ini tidak boleh terus leka dengan dunia teknologi maklumat (IT) yang serba maju. Mereka sebenarnya perlu pandai memilih mana yang baik dan mana yang buruk untuk diri mereka.

    Melihat apa yang berlaku kepada remaja hari ini iaitu banyak gejala negatif dilakukan remaja Malaysia, rasanya sudah sampai masa untuk mereka menghijrahkan diri dan minda mereka. Untuk menjadi bangsa yang maju, kita perlu perubahan minda. Maksudnya kita tidak boleh berfikiran kolot dan berada di takuk lama kerana zaman sentiasa berubah dan pemikiran kita juga perlu berubah.

    Remaja kini perlu mengubah minda agar tidak ketinggalan zaman. Dalam hal ini pelajar tidak boleh lagi bersikap menjadi pak turut, tidak berfikir dan sentiasa berpuas hati dengan apa yang ada. Kita seharusnya bersikap suka mencari ilmu yang baru, melakukan sesuatu yang orang lain belum buat, kreatif, serta mencari idea-idea dan teknologi baru. Pelajar masa kini juga perlu berani keluar dari kepompong dan berani mencari tempat untuk bersama-sama dengan bangsa dan negara lain khususnya dalam usaha menyelidik ilmu-ilmu baru.

    Pelajar luar bandar hari ini perlu menjadi remaja Malaysia yang suka membaca. Dalam hal ini, mereka perlu memastikan mereka memahami dan mengetahui apa yang dibaca. Ini penting kerana kebanyakan generasi pelajar masa kini sudah banyak membaca bahan-bahan bacaan yang pelbagai dan dalam bahasa yang berbagai tetapi sejauhmanakah mereka memahami apa yang mereka telah baca dan pelajari.

    Dalam hal ini, pemahaman kita terhadap sesuatu dengan lebih mendalam sangat penting kerana ia memberikan kita keyakinan diri apabila berdepan dengan persoalan atau permasalahan. Kita ambil ini sebagai contoh, semua pelajar sekolah menengah belajar subjek Sejarah. Bolehlah kita katakan semua pelajar di Malaysia tahu tentang Sejarah penjajahan komunis di Tanah Melayu. Tetapi berapa ramai pelajar kita memahami apa itu komunis? Pelajar juga didedahkan dengan sejarah darurat di negara ini, tetapi apabila ditanyakan apa itu darurat, berapa ramai pelajar kita boleh menerangkan erti darurat secara mendalam.

    Selain itu, berapa ramai remaja hari ini memahami erti kemerdekaan? Sudah cukupkah dengan hanya mengibarkan Jalur Gemilang? Tidak ramai yang tahu di sebalik rahsia ilmu sejarah. Sebagai manusia, kita hidup dengan sejarah tidak kira negara, agama, masyarakat dan diri kita sendiri bermula dari sejarah. Sejarah sebenarnya mempunyai peranan lebih daripada memberikan pengajaran. Salah satu peranan dan sumbangan ilmu sejarah kepada kita adalah ia membolehkan kita meramalkan apa yang akan berlaku.

    Tidak ada manusia di dunia ini yang tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Tetapi dengan belajar sejarah, generasi hari ini boleh meramalkan dan boleh mengagak apakah yang akan berlaku kepada negara dan masyarakat pada masa hadapan berdasarkan apa yang telah berlaku dalam sejarah. Justeru itu, pelajar luar bandar kini tidak boleh memandang ringan subjek sejarah kerana ia mempunyai impak yang besar kepada negara dan masyarakat.

    Apa yang diharapkan pelajar luar bandar perlu didedahkan dengan pelbagai ilmu seperti ilmu sains, teknologi dan juga ilmu sejarah bagi memantapkan lagi diri mereka untuk bersaing di peringkat yang lebih global. Pelajar luar bandar hari ini sepatutnya sejak awal-awal lagi perlu membentuk visi atau wawasan apa yang ingin dicapai dalam hidupnya pada masa akan datang. Wawasan diletakkan sebagai perkara paling penting untuk menjadi cemerlang memandangkan tanpa wawasan, seseorang itu tidak tahu di mana arah dia hendak pergi.
    Justeru itu, sebelum melakukan sesuatu, tanamkan apakah wawasan anda dalam apa juga tindakan yang dilakukan. Dalam dunia pendidikan khususnya mahasiswa, berjaya dalam pelajaran sepatutnya menjadi keutamaan. Matlamat ini perlu jelas memandangkan anda akan berfikir apa aku nak jadi pada masa depan, bagaimana hendak mengubah nasib keluarga, dan bagaimana aku ingin menjadi orang terkenal pada masa depan.

    Persoalan-persoalan ini akan bermain di fikiran kita setelah kita tanamkan wawasan dalam diri kita. Keadaan ini secara tidak langsung akan memberi semangat untuk kita berusaha mencapai cita-cita tersebut.
    Di antara ciri-ciri orang cemerlang ialah berfikiran di luar kepompong tradisi dan sentiasa menerima perubahan dengan positif. Ia disebabkan oleh pembacaan mereka yang banyak dan tidak terhad kepada subjek atau topik yang diajar di dalam kelas.

    Untuk menjadi remaja dan pelajar cemerlang, pelajar luar bandar perlu mula membaca dan membuat rujukan tambahan pada hari ini juga. Tidak semestinya pelajar sains membaca bahan-bahan dan maklumat berkaitan sains sahaja dan menganggap maklumat berkaitan teknologi, sains sosial, agama, kemasyarakatan dan sebagainya tidak berkaitan.

    Harus diketahui bahawa setiap ilmu yang diperturunkan oleh Allah itu ada kaitan di antara satu sama lain dan tidak ada ilmu yang tidak ada kegunaannya. Selain itu, pelajar luar bandar pada hari ini juga perlu sentiasa berilmu, mencari ilmu dan menghayati konsep ilmu dengan sempurna. Dalam hal ini, kita mesti berlumba mencari ilmu ke tahap yang paling cemerlang dan terbaik yang pernah kita lakukan. Kita juga perlu sedar bahawa ilmu adalah pedoman hidup. Tanpa ilmu kita tidak akan ke mana-mana bak perahu yang tidak ada kemudinya. Kita juga perlu sedar bahawa ilmu itu tidak ada sempadan, tepi, tengah dan belakang.

    Konsep ilmu itu amat luas. Justeru itu, kita perlu sentiasa mencari ilmu pengetahuan tanpa henti atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil sebagai longlife learning. Sikap ini perlu kita tanamkan dalam diri kita jika kita ingin memartabatkan kedudukan kita sebagai masyarakat yang berilmu. Matlamat orang berilmu tidak mati selesai sahaja mereka bergraduat, berkerjaya dan berumahtangga. Usaha menjejaki ilmu ini perlu dilakukan bukan setakat sejauhmana yang kita boleh pergi, tetapi apa yang perlu kita tanya pada diri kita iaitu apakah kita sudah puas hati dengan ilmu yang kita ada.

    Sebagaimana yang diketahui, ilmu itu sangat luas dan tak terhingga banyaknya. Jadi, bagaimanakah seseorang yang sudah cukup tinggi ilmunya boleh mengatakan bahawa dia sudah mempunyai ilmu yang banyak. Sikap ini perlu dikikis dari diri setiap remaja atau pelajar kerana selagi kita hidup selagi itulah kita perlu sentiasa mencari ilmu. Apa yang berlaku dalam kalangan pelajar pada masa kini sama ada di bandar atau luar bandar adalah mereka suka mengehadkan bacaan mereka kepada apa yang mereka belajar sahaja iaitu membaca bahan-bahan bacaan dalam bidang mereka sahaja, luar dari bidang mereka dianggap tidak sesuai atau bukan bidang mereka. Sedangkan, membaca apa saja buku akan meluaskan minda kita dan ini secara tidak langsung akan membantu kerajaan membentuk generasi yang berfikiran kelas pertama.

    Harus diingat bahawa kita juga perlu menjadikan agama sebagai asas dalam pergaulan kita seharian. Jika para remaja menjadikan agama sebagai dasarnya maka mereka akan dapat membina hubungan dan pergaulan yang baik dan berkekalan sehingga ke akhirnya. Menjadikan agama sebagai dasar dalam pergaulan para remaja akan dapat mengelakkan berlakunya salah faham, perasaan dengki dan syak wasangka, iri hati dan sebagainya. Hasilnya, hubungan dan pergaulan kita akan membentuk rasa sayang menyayangi, kekitaan, kesatuan dan apa yang lebih penting ia mengelakkan kita daripada melakukan sesuatu di luar batasan keagamaan.

    PENULIS ialah Pensyarah Kanan
    Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
    Universiti Malaysia Pahang

    Sumber : Utusan Malaysia Online

    Friday, December 24, 2010

    Pertukaran dan Penempatan Guru Besar Dan GPK Berkuatkuasa 1 Jan 2011

    Unit Pengurusan Sekolah Rendah,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah menerima cadangan pertukaran dan penempatan baru bagi Guru Besar dan GPK daripada Panel Pertukaran dan Penempatan PPD seluruh negeri . Sehubungan itu panel Pertukaran dan Penempatan JPN Negeri telah menyokong dan meluluskan pertukaran dan penempatan Guru Besar dan GPK berkuatkuasa pada 1 Januari 2011 berasaskan justifikasi kepentingan perkhidmatan,mohon bertukar dan kedudukan ranking dalam senarai naik pangkat seperti berikut:

    GURU BESAR




























    GURU PENOLONG KANAN











































     















     













     

















    Bagi Guru Besar dan GPK yang ditanda/dicatat "Tukar Setara", mereka boleh mendapatkan surat pertukaran di PPD dengan menghubungi Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah PPD masing-masing selepas 27 Disember 2010.
    Sementara bagi Guru Besar dan GPK yang ditanda/dicatat "Tawaran Baru" diminta hadir ke satu majlis taklimat dan penyerahan surat tawaran berkenaan pada 28 Disember 2010,jam 2.30 ptg di Bilik Mesyuarat Alamanda,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

    Renungan Jumaat - Menyubur Azam Sebagai Pendidik yang bermakna

    Tabir kehidupan Tahun 2010 beransur melabuhkan tirainya dan fajar kehidupan Tahun 2011 akan mula menyinsing wajahnya.Dicelah peralihan itu kaum guru pasti menyalakan obor azam baru setidak-tidaknya mendasari untuk menjadi pendidikan yang lebih baik,lebih cemerlang dan lebih bermakna kerana guru yang cemerlang itu kerjabuat dan hasilnya mesti;

    “Pencapaian hari ini mesti lebih baik dari semalam dan esok mesti lebih baik dari hari ini”

    Pastinya sekali menjadi guru,kita mahu kekal menjadi guru yang terbaik,yang dihormati dan disegani.

    "Jadilah orang yang mencurahkan ilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang suka mendengar ilmu, atau orang yang cintakan ilmu, dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, maka kamu akan binasa." (Saidina Ali r.a)

    Secara umum berdasarkan pendapat-pendapat Gowan (1957), Ruth (1964), Stern (1963) dan Ryan (1960), bahawa guru yang bermakna ,yang hebat,yang cemerlang mesti memiliki kriteria-kriteria berikut:
    1.  Mempunyai sikap bersedia bertolak ansur dan melakukan pengubahsuaian. 
    2. Baik sangka
    3. Kepuasan hati dalam pengajaran (Enthusiasism, suka berdampingan dengan murid) 
    4. Mempunyai kualiti personality yang stabil dan disukai oleh murid dan guru
    5. Peramah, mesra, lemah lembut, mewujudkan keselamatan dan keyakinan.
    6. Tidak menyalahkan orang lain dan bertanggung jawab (accountability) 
    7. Berkebolehan mengarah, membimbing, mentadbir dan menyatukan kumpulan. 
    8. Bersedia dan sentiasa berusaha mencuba idea-idea baru, kreatif dan inovatif. 
    9. Berkemahiran dalam menyoal. 
    10. Berpengetahuan dalam mata pelajaran yang diajar. 
    11. Menggunakan ABM yang sesuai. 
    12. Melakukan refleksi kendiri (menjalankan penilaian dan penyelidikan tindakan).
    13. Mampu memperkayakan aktiviti pengajaran.
    Semoga ciri dan kreteria di atas sentiasa menjadi panduan untuk kita memperbaiki kelemahan dan mempersiapkan diri menjadi guru hebat pada persekolahan tahun depan…

    "Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya." (Surah al-Muzammil, ayat 20)

    Thursday, December 23, 2010

    1Sekolah 1Pegawai

    Mulai sesi persekolahan tahun hadapan setiap sekolah (menengah dan rendah) negeri Terengganu akan diberi seorang pegawai perhubungan melalui program "1Sekolah 1Pegawai".Semua pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah kecuali "top leader" akan diberi amanah sebagai 'Pegawai Perhubungan" untuk membantu dan memantau sekolah berkenaan sepanjang tahun.

    Sehubungan dengan itu,pihak pengurusan sekolah dan pegawai perhubungan perlu sentiasa berhubungan bukan sahaja bagi mengeratkan silaratulrahim tetapi bagi menyalur dan menyelesai apa jua isu serta masalah di sekolah berkenaan. Pihak sekolah boleh memaklum atau menjemput pegawai berkenaan untuk tujuan yang boleh membantu sekolah terbabit. Laporan berkala yang akan diberitahu dari masa ke semasa.

    Apa yang penting melalui program ini tidak ada lagi sekolah yang terpinggir dan tercicir dari pemerhatian. Kita berharap program ini akan memberi impak ke arah "Melestarikan Pendidikan Terbilang" yang kita sedang usahakan bersama.

    Senarai Pegawai Perhubungan klik di sini

    Iklan Temuduga Sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT)

    Unit Pengurusan Sekolah Rendah,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu akan mengadakan temuduga bagi pengambilan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) bagi pengisian jawatan di SKJC di seluruh negeri pada tahun 2011. Calon-calon yang mempunyai kreteria berikut dialu-alukan;
    1. Warganegara Malaysia
    2. Umur tidak melebihi 35 tahun bagi siswazah dan 30 tahun bagi bukan siswazah
    3. Mempunyai kelayakan akademik yang diiktiraf
    4. Mempunyai kepujian Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya dan mendapat kepujian dalam tiga mata pelajaran lain
    Mereka yang berkelayakan dan berminat boleh datang ke pusat temuduga berikut dengan berpakaian kemas,membawa kad pengenalan dan salinan ijazah serta sijil-sijil berkaitan;

    Tarikh Temuduga  : 29 Disember 2010
    Masa                          : 10.00 pagi - 1.00 petang
    Tempat                      : SJK(C) Chung Hwa Wei Sin,Kuala Terengganu

    Sebarang kos untuk urusan temuduga ditanggung sendiri oleh pemohon

    Wednesday, December 22, 2010

    Manager Vs Leader... Di manakah Anda ?


    Sesetengah orang kata, leader atau manager sama sahaja. Namun sebenarnya ada perbezaan di antara keduanya. Berikut adalah perbandingan antara manager dan leader.Di manakah kita berada sebenarnya?

    Managers administrator; Leaders Innovate.
    Managers ask how and when; Leaders ask what and why.
    Managers have subordinates, Leaders have followers
    Managers focus on systems; Leaders focus on people.
    Managers do things right; Leaders do the right things.
    Managers maintain; Leaders develop.
    Managers manage emergency, Leaders have a sense of urgency
    Managers rely on control; Leaders inspire trust.
    Managers have short-term perspective; Leaders have long-term perspective.
    Managers accept the status-quo; Leaders challenge the status-quo.
    Managers have an eye on the bottom line; Leaders have an eye on the horizon.
    Managers imitate; Leaders originate.
    Managers emulate the classic good soldier; Leaders are their own person.
    Managers copy; Leaders show originality.
    Managers for stability; Leaders look for a change
    Managers concern on control; Leaders empowerment
    Managers concern for competition; Leaders concern on collaboration
    Managers maintain ‘things’; Leaders maintain people & relationship
    Managers always a good speaker; Leaders is a good listener
    Managers look for uniformity; Leaders look for diversity

     
    Secara praktiknya, untuk menjadi manager mungkin mudah, tetapi untuk menjadi leader adalah sesuatu lebih mencabar dan pengalaman yang diperolehi merupakan perkara yang jauh lebih berharga daripada teori. Di dalam agama kita, manusia dilahirkan untuk menjadi khalifah yang baik atau setidak-tidaknya menjadi pengikut yang baik kepada khalifah tersebut.Orang kata ' a good leader must be a good follower' kerana  dalam situasi tertentu kita barangkali menjadi leader dan dalam situasi lain kita mungkin menjadi pengikut atau follower.
    Dalam organisasi, kita yakin bahawa kita bukan sahaja memerlukan seorang Pengurus atau ‘Manager’, tetapi juga memerlukan seorang ‘Leader’ yang mempunyai kriteria minima ‘leadership’. Kadangkala kita perlu menjadi 'Manager', kadangkala kita perlu menjadi ‘Leader’. Kita semua sebenarnya adalah leader. Sama ada ‘leader’ kepada sebuah keluarga,'leader' kepada sebuah organisasi ataupun setidak-tidaknya leader kepada ‘diri sendiri’!

    Tuesday, December 21, 2010

    Guru Bahasa Inggeris Secara Kontrak Bagi Program MBMMBI

    Sermai dua belas orang bekas guru yang telah bersara telah diberi tawaran sebagai Guru Bahasa Inggeris Secara Kontrak(Contract For Service) di bawah Program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).Mereka adalah di kalangan pesara Guru Bahasa Inggeris yang telah memohon pengisian jawatan ini dan diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.Mereka akan mula melapor diri ke sekolah yang dicadangkan mulai 3 Januari 2011.

    En.Jelani Sulong,Ketua Unit Pengurusan Sekolah Rendah,Jabatan Pelajaran Negeri semasa menyampaikan surat tawaran pelantikan kepada guru-guru terbabit berharap guru-guru yang kaya dengan pengalaman dan kemahiran ini dapat membantu sekolah di mana  mereka ditempatkan bukan sahaja dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bagi MBMMBI tetapi juga dalam pelbagai bidang kepakaran yang mereka ada serta menjadi contoh tauladan kepada guru-guru baru. Beliau juga berharap guru-guru ini dapat memberi komitmen tinggi dan bersyukur dengan nikmat yang diperolehi.

    Guru-guru yang ditawarkan jawatan ini keseluruhannya melahirkan rasa gembira kerana khidmat dan kemahiran mereka masih dihargai pihak kementeriaan.Mereka berazam akan memberi perkhidmatan terbaik bagi menjayakan program MBMMBI.Mereka yang bertuah ini ialah;
    1. En. Awang bin Ibrahim ditempatkan di SK Ayer Terjun ,Besut,Terengganu
    2. YM Tengku Hasnah bt. Tengku Long ditempatkan di SK Jabi,Besut,Terengganu
    3. Pn. Faridah bt. Baginda Zubir ditempatkan di SK Tok Motong,Besut,Terengganu
    4. En. Mohamed bin Salleh ditempatkan di SK Jabi,Besut,Terengganu
    5. En. Rozlan bin Ab. Rahman ditempatkan di SK Sultan Omar,Dungun,Terengganu
    6. En. Mohamad bin Zit ditempatkan di SK Kampung Gemuroh,Kuala Terengganu
    7. En. Zubir bin Abdul Ghafar ditempatkan di SK Kompleks Seberang Takir,Kuala Terengganu
    8. En. W.Mohamad bin W.Su ditempatkan di SK Wakaf Mempelam
    9. En. Mamat bin Embong ditempatkan di SK Seri Geliga,Kemaman
    10. En. Teo Eng Aik ditempatkan di SK Seri Geliga,Kemaman
    11. Pn. Eshah binti Osman ditempatkan di SK Simpang Rawai,Marang,Terengganu
    12. YM Tengku Adnan bin Tengku Ngah ditempatkan di SK Kuala Setiu,Setiu,Terengganu

    Monday, December 20, 2010

    Selamat Bersara,Ketua Sektor,Sektor Jaminan Kualiti

    Pagi tadi di Permai Inn,Kuala Terengganu telah diadakan acara rasmi Persaraan Ketua Sektor,Sektor Jaminan Kualiti,Yang Berbahagia Tuan Haji Ramli bin Zainal.Majlis berkenaan dihadiri oleh Pengarah Pelajaran Negeri,En.Razali bin Daud,Ketua-Ketua Sektor,Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah,Ahli Majlis Pengetua Malaysia Cawangan Terengganu,Ahli Majlis Guru Besar Negeri Terengganu,pegawai-pegawai pelbagai sektor di Jabatan Pelajaran Negeri dan Pegawai BTPN Terengganu.

    Pengarah Pelajaran Negeri dalam ucapannya menyifatkan persaraan Tuan Haji Ramli Zainal sebagai satu kehilangan tokoh pimpinan pendidikan yang hebat,berilmu dan berkemahiran tinggi serta seorang yang tenang.
    Sesungguhnya kita sangat menghormati Tuan Haji Ramli Zainal yang tenang,penyabar dan suka senyum. Kita warga pendidikan mendoakan semoga beliau akan beroleh kesihatan,kebahagian dan sentiasa memberi sumbangan kepada dunia pendidikan walaupun telah bersara.
    Selamat Bersara Tuan Haji Ramli bin Zainal !

    Sunday, December 19, 2010

    Membina Azam Kepimpinan Sekolah Terbilang


    Lebihkuarang sepuluh hari  lagi kita akan menyambut tahun baru 2011. Seringkali dan seakan sudah menjadi formaliti “tahun baru”  sentiasa diiringi dengan “azam baru” atau “niat baru”. Logiknya “azam baru” atau “niat baru” ialah melakukan tugas-tugas pengurusan persekolahan agar lebih baik dari tahun yang telah berlalu. 
    Tidak ada saya kira seorangpun pengurus sekolah yang sihat akalnya mahu melihat organisasinya mundur ke belakang atau huru-hara. Semuanya pasti mahu lebih baik dari yang sudah-sudah. Niat sebeginipun pastinya sudah beroleh kebajikan dan InsyaAllah akan dipermudahkan Allah untuk mencapaiannya.
    Mendepani tahun baru pastinya kita  juga sangat wajar menoleh jejak semalam yang kita tinggalkan untuk melihat kekuatan dan kelemahan dalam kerjabuat pengurusan kita. Muhasabah atau introspeksi adalah suatu kewajipan untuk membina kekuatan diri supaya kita matang dan bijaksana melalui cabaran dalam mengurus tugas kita.
    Kata Zig Ziglar ,”No matter how busy you’re in a day you should find at least 10 minutes of your time in solitude to make self evaluation and forward planning”
    Kita barangkali tidak mahu mengulangi tragedi yang sama dalam pengurusan kita pada tahun baru kerana kita harus sedar mengulangi kesilapan yang sama dan mengulangi stail yang sama dengan membawa musibah yang sama kita tidak boleh diklasifikasi dalam golongan “pengurus  sekolah yang cerdik”. Jika kita ada maruah dan harga diri barangkali kita tidak akan rela menerima aib sedemikian oleh perbuatan kita sendiri. 
    Kejayaan kita,pengurus sekolah rendah pada tahun ini mengekalkan pencapaian terbaik semua A,UPSR Negara selama sepuluh tahun  berturut-turut ,99% sekolah rendah kita bebas audit berteguran dan pelbagai kejayaan yang menunjukkan keupayaan dan kemampuan kita seharusnya menjadi inspirasi untuk kita lakukan yang lebih baik pada tahun ini.Kita percaya di bawah kepimpinan Jabatan Pendidikan Negeri yang baru dengan slogan “Melestarikan Pendidikan Terbilang” serta peranan aktif  Majlis Guru Besar Malaysia Cawangan Terengganu,para pengurus sekolah rendah akan lebih jelas halatuju dan mampu melakukan lonjakan besar dalam semua aspek pengurusan persekolahan.
    Pastinya permulaan kepada terzahirnya kejayaan itu tidak lain adalah melalui perancangan yang jelas dan terancang. Kita amat berharap tidak ada lagi pengurusan sekolah atau guru sekolah yang tidak tahu membezakan program,projek dan aktiviti dalam perancangan strategik sekolah. Ketidakhazaman dan ketidakjelasan inilah antara punca hasil yang diperolehi tidak sepadan dengan masa,tenaga dan wang ringgit yang dicurahkan. Alangkah ruginya kerana kita telah melakukan “pembaziran” masa,tenaga,wang ringgit dan juga potensi serta sumber kejayaan yang ada.
    Setiap pengurusan sekolah rendah  harus secara sedar dan bersengaja bahawa dalam usaha kita “Melestarikan Pendidikan Terbilang”  peranan “Pemimpin Sekolah Terbilang” adalah amat besar.Pendidikan Terbilang tidak lahir tanpa Pemimpin Sekolah Yang Terbilang. Justeru itu setiap pengurus sekolah rendah perlu mempersiapkan diri dengan ilmu,sikap dan pemikiran untuk menjelmakan diri mereka sebagai pemimpin terbilang di peringkat sekolah.Hanya Pemimpin Terbilang mampu melahirkan Murid Terbilang dan Sekolah Terbilang
    “… saya tidak pernah melihat sekolah yang baik  dipimpin oleh Guru Besar yang lemah, atau sekolah yang lemah dipimpin oleh Guru Besar yang baik. Saya telah melihat sekolah-sekolah yang tidak berjaya diubah menjadi sekolah-sekolah berjaya,Dan malangnya, sekolah-sekolah terkemuka merosot  dengan cepat. Bagi setiap kes jatuh bangunnya sekolah dengan mudah boleh dikaitkan  dengan Kualiti Guru Besar.” Fred M. Hetchinger ,President New York Times
    Kita juga di Unit Pengurusan Sekolah Rendah amat berharap Pengurus Sekolah yang baru dilantik cepat belajar. Kata mantan Pengarah Pelajaran lalu selepas 14 hari dilantik  seseorang pegawai sudah dianggap lama berkhidmat. Mereka mesti mempunyai inisiatif  untuk belajar daripada rakan-rakan pengurusan senior yang hebat,banyak membaca dan jabatan akan melaksanakan kursus kepada mereka. Kita juga berharap Majlis Guru Besar Daerah dan Negeri akan sentiasa membantu dan memantau  perkembangan Guru Besar baru atau GPK baru. Setelah diberi peluang dan kemahiran pengurusan jabatan tidak akan kompromi dengan  mana-mana pengurusan sekolah yang “sengaja melakukan salahlaku ” demi menjaga integririti dan nama baik pengurus sekolah keseluruhannya.
    Kita sangat yakin pasukan pengurusan sekolah rendah negeri Terengganu akan dapat mempertahankan rekod cemerlang dan dalam masa yang sama terus mempertingkatkan kualiti diri dan kecekapan dalam pengurusan sekolah masing-masing. Jabatan Pelajaran Negeri akan sentiasa membantu dan melalui saluran terbuka dan telus warga pendidikan boleh menyampaikan maklumat secara cepat kepada kita untuk membantu dan menyelesaikan isu-isu yang boleh membantutkan kemajuan pengurusan sekolah.
    Ingatlah dibahu kita ada harapan dan amanah kerajaan serta amanah rakyat kepada kita yang wajib kita laksanakan dengan penuh keinsafan dan kesedaran.
    “Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah, ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, KECUALI sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya”. Maksud Hadis.
    Marilah sama-sama kita realitikan slogan “Melestarikan Pendidikan Terbilang” melalui “Kepimpinan Sekolah Terbilang”.