Wednesday, July 4, 2012
Budaya sate melemahkan bangsa
Sate adalah antara makanan ikon Malaysia ciptaan dunia Melayu. Ia satu jenis makanan hebat hasil cetusan kreatif cita rasa Melayu yang luar biasa dan diminati ramai kerana kelazatannya yang unik. Seluruh warga Malaysia berbangga dengan sate yang kini menjadi sejenis makanan beridentiti Malaysia yang diminati semua, termasuk warga asing dan pelancong.
Selain sate sebagai makanan, pernahkah kita dengar istilah 'budaya sate' yang dikaitkan dengan budaya kerja warga Malaysia, iaitu antara amalan budaya dalam organisasi di bawah teraju Melayu khasnya?
Ia adalah satu jenis budaya yang diamalkan oleh warga kerja dalam semua konteks orang bekerja atau bertindak secara kumpulan, seumpama di pejabat atau mana-mana organisasi, sama ada formal atau tidak formal.
Tidak kira organisasi politik, universiti, sekolah, pentadbiran kerajaan, badan bisnes, organisasi agama, syarikat swasta, GLC, persatuan, NGO, atau koperasi; semuanya membentuk suatu corak budaya kerja yang mempunyai ciri dan identiti terserlah.
Tidak kira juga sama ada badan tidak formal seperti kelab pengembara motor, kelab peminat sukan, jawatankuasa menganjur kegiatan masjid, kumpulan bertindak untuk berdemonstrasi atau seumpamanya; semua kumpulan manusia atau organisasi tidak akan pernah sunyi daripada mencorakkan budaya yang mempengaruhi rentak kerja serta membawa kesan kepada penghasilan kerja dan prestasi kumpulan masing-masing.
Positif budayanya, positiflah prestasi, dan demikian juga sebaliknya. Setiap kali saya berceramah mengenai budaya kerja dan kesannya ke atas prestasi sesebuah organisasi, apabila disebut budaya sate, ramai peserta seminar atau forum akan tampil dengan respons budaya kipas-mengipas.
Setiap kali juga saya tekankan kipasmengipas atau ampu-mengampu adalah tindakan terakhir anggota kumpulan yang mengamalkan budaya sate.
Biasanya akan ada tindakan cucuk-mencucuk dan tikam-menikam mendahuluinya.
Untuk itu warga kerja akan tampil, masing-masing dengan lidi paling tajam atau pun keris paling beracun. Kerap kali juga disaksikan peristiwa tikaman dilakukan dari belakang dengan menikam sambil menyorok tangan.
Kemudian akan menyusul kumpulan yang api-mengapi. Seumpama dalam membakar sate, lebih enak kalau api sesekali disemarakkan dengan renjisan minyak supaya daging sate lebih cepat masak dan lebih sedap apabila dimakan nanti.
Keghairahan api-mengapi menyebabkan ramai pula yang akan merencahnya dengan hasutan, kadang kala dengan karya kreatif yang sengaja direka dan ditokok-tambah warna dan manisnya untuk menyedapkan kata supaya api kemarahan atau kebencian memarak menyala hingga membakar semuanya.
Budaya sate berbahaya dan merosakkan. Justeru wajib diketepikan dan dicantas dari awal lagi jika didapati berlaku dalam mana-mana kumpulan atau organisasi. Sekalipun tanggungjawab dan tugas utama terletak pada bahu pemimpin kumpulan atau organisasi mengatasinya, semua
ahli kumpulan atau organisasi mempunyai kewajipan bersama.
Paling malang sekali jika pemimpin, ketua kumpulan atau CEO pula yang sengaja meraih keuntungan peribadi daripada bisnes sate dalam organisasi dan bertindak memantapkan kedudukan dengan menyemarakkannya untuk kepentingan diri.
Ini boleh berlaku terutama dalam kalangan pemimpin dan ketua yang sarat dengan ijazah “PhD” (perangai hasad dengki), yang rendah akhlak dan tidak berjiwa besar.
Bahaya sebenar budaya sate jauh lebih mendalam dan tidak terhad cuma kepada kesan fenomena kipas-mengipas, cucuk mencucuk atau api-mengapi.
Ia boleh memecah-belah dan merosak suasana kerja dan menjejas perhubungan serta kepercayaan dan keyakinan antara sesama warga kerja.
Pada akhirnya, ia juga boleh menjangkiti dan mempengaruhi pencorakan budaya dalam masyarakat besar.
Jika dibiarkan melarat dalam organisasi, ia mematah motivasi kerja, menggugat semangat berpasukan dan memusnahkan perhubungan dan ikatan silaturahim antara warga. Jika meluas, ia membawa imej negatif kepada organisasi, sama ada dari kaca mata orang dalam mahupun pada pandangan orang luar terhadapnya.
Budaya sate, jika melimpah ke dalam masyarakat besar, juga merosak dan berpotensi memusnahkan. Paling berbahaya, budaya ini merosak jiwa dan memutuskan pegangan semua kepada tali ALLAH SWT seperti yang diperingatkan oleh Islam.
Ia menjadi punca perpecahan yang sangat payah dicantum dan dipadukan semula. Kerana dalam organisasi atau masyarakat berbudaya sate, langkah pertama, iaitu jauh sebelum berlakunya kipasmengipas, cucuk-mencucuk atau api-mengapi, akan membabitkan semua dalam kegiatan memotong dan merempahi daging untuk dijadikan bahan utama sate.
Malangnya dalam amalan budaya sate, daging yang dipotong, dirempahi dengan hasutan dan tohmahan liar yang akhirnya dihidangkan untuk santapan ramai kerap merupakan “daging-daging saudara kita sendiri,” iaitu yang sebangsa dan seumat! Inilah kerosakan paling besar budaya sate yang sangat berbahaya kepada masyarakat.
Dengan membiarkan fitnah dan hasutan serta kepalsuan dan tohmahan berleluasa semua terbabit akan akhirnya kehilangan kemuliaan akhlak, kesucian roh dan kebesaran jiwa.
Kesimpulannya, bahaya terbesar budaya sate ialah apabila semua terbabit, sama ada secara sedar atau tidak, terlibat dalam kegiatan seumpama memakan daging saudara sendiri, seperti yang dibayangkan oleh maksud salah satu hadis Rasulullah SAW terhadap orang yang gemar memfitnah dan mengumpat sesama umat.
Jika dibiarkan berleluasa, akhirnya masyarakat Melayu dan umat Islam yang akan menerima padahnya dan menanggung kerugian.
Dalam dunia persaingan global hari ini tiada tempat bagi organisasi yang mengamalkan budaya sate. Masyarakat yang organisasinya dipengaruhi budaya sate tidak akan dapat membina keupayaan bersaing.
Paling memudaratkan, organisasi dan masyarakat seperti ini tidak dapat membina kekuatan kerana tidak akan berlaku penyerahan amanah kepimpinan dan tugas pengurusan kepada orang paling berkebolehan dan ahli dalam kalangan mereka.
Sebaliknya, yang terpilih pasti mereka yang ahli dalam mengipas, mencucuk, mengapi-api, merempahi dan mencencang. Bukan sahaja organisasi dan masyarakat lemah bersaing, malah ia menjanjikan keruntuhan dan kemusnahan.
Kerana apabila amanah tidak diserahkan kepada golongan yang ahli, Islam juga memperingatkan kita supaya menantikan kehancuran sesuatu usaha. Kemungkinan kelemahan prestasi beberapa organisasi di Malaysia, khasnya di bawah teraju Melayu, berpunca daripada impak amalan budaya sate dalam organisasi masing-masing.
Adalah mustahil bangsa Melayu dan umat Islam menjadi bangsa besar, termaju dan umat terbaik (khaira ummah) seperti dijanjikan oleh agama mereka, selagi budaya sate membabitkan budaya fitnah-memfitnah, umpat-mengumpat, dendammendendam dan berhasad dengki merajai suasana.
Paling membimbangkan, yang rosak dan musnah akhirnya bukan sahaja diri pemimpin atau orang yang terlibat, atau sekadar menjejas prestasi dan reputasi organisasi. Pada akhirnya bangsa akan lemah, perpaduan ummah akan musnah dan maruah dan martabat bangsa dan agama langsung dikompromikan semuanya, semata-mata kerana nafsu dan keghairahan segelintir yang ingin melonjak ke atas dengan mengikut kaedah budaya sate!
USR Blogger Team:
Rencana ini ditulis oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan disiarkan oleh Sinar Harian bertarikh 2 Julai 2012. Banyak nilai dan filosofi yang patut kita hayati .
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment