Tuesday, December 31, 2013

Kembara Puisi : Memandu Hidup



Sekolah Angkatku : Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul

Selepas banjir ini sudah tiga kali saya ke Kemaman atas pelbagai urusan kerja. Hari ini saya ke Kemaman lagi iaitu ke SK Pasir Gajah, sekolah angkat saya bagi tahun 2014. Mengapa saya diberi SK Pasir Gajah sebagai sekolah angkat 2014 saya tidak tahu. Mungkin ada justifikasi dan akspektasi tertentu daripada pimpinan JPN kut. Apapun ini adalah amanah dan tanggungjawab.

Sebelum ini seminggu selepas banjir saya telah melalui laluan lebuhraya untuk suatu urusan di PPD Kemaman. Saya melalui Kampung Air Puteh, Kg Pasir Gajah dan kampung-kampung lain dalam laluan tersebut. Perasaan sayu ada, hibapun ada bila di tepi jalan tersadai kenderaan, longgokan perabut dan pakaian yang musnah dimamah banjir. Dan hari ini berhampiran pagar masuk SK Pasir Gajah longgokan perabut dan peralatan sekolah yang musnah akibat banjir masih nyata. Suasana sekolah muram dan kusam akibat malapetaka itu. Pekerja-pekerja kebersihan memperkemaskan mana yang ada. Guru-guru yang hadir mempersiapkan mana yang patut untuk sesi persekolahan esok.

" Mujurlah kerusi meja murid cukup walaupun sebahagian besar perabut bilik khas, bahan bantu mengajar dan buku-buku Pusat Sumber hancur" ujar Cikgu Rahim, Guru Besar SK Pasir Gajah yang baru beberapa hari melapor diri bertugas. Di wajah beliau jelas tergambar kegusaran dan berulang kali menyebut agar bangunan baru dapat dibina bagi mengganti bangunan lama di SK Pasir Gajah.

Tinjauan saya memang masih banyak kerja yang perlu dilaksanakan bagi mengembalikan SK Pasir Gajah keadaan asal. Paras air yang mencecah siling tingkat satu atau melebihi 20 kaki sememangnya meranapkan semua peralatan sekolah di tingkat pertama dan yang berada dalam bangunan setingkat. Selain itu kesan lumpur masih tersisa. Mengikut Guru Besar mujur ada NGO yang sukarela membantu membersihkannya. Beliau tidak mahu sangat memberi tekanan kepada guru, ibubapa dan murid kerana mereka semua juga menjadi "mangsa" banjir. Guru Besar sendiri memberitahu air dalam rumahnya mencapai paras leher.

Tragedi petaka banjir bukan saja dirasai oleh warga SK Pasir Gajah tetapi sebilangan besar sekolah-sekolah daerah Kemaman. SK Air Puteh dan SK RKT Seberang Tayor yang juga jiran terdekat SK Pasir Gajah juga menerima nasib yang sama. Malah SK RKT Seberang Tayor dan SK Pasir Gajah menjadi mangsa banjir setiap tahun. Tahun lepas seorang GPK menghantar gambar Pusat Sumber SK RKT Seberang Tayor yang paras airnya mencecah bumbung. Tahun ini YAB Menteri Besar sendiri turun mengadakan gotong-royong di sekolah berkenaan kalau tidak silap saya....

Menilik takkul peristiwa ini saya teringat seorang rakan Facebook dari Indonesia yang menulis " Kita tidak bisa dan mampu mengubah arah dan laluan angin tetapi kita bisa mengubah dan menyesuai layar dengan arah angin tersebut".. Ya, kita tidak boleh mengubah banjir yang menjadi hukum alam di negeri kita tapi kita boleh menyesuai kaedah dan cara menghadapi dengan kebijaksanaan. Kita sepatutnya telah boleh belajar bagaimana musim monson yang ganas dan dingin menjadi pesta dan sumber ekonomi melalui "Monson Cup".

Mengapa kita tidak boleh mengubah plan bangunan sekolah kita yang kerap dilanda banjir dengan plan yang sesuai seperti tiada bilik dan kelas pada tingkat satu tetapi boleh diadakan dewan terbuka atau gelanggang permainan.Pihak KPM dan JKR boleh memulakan iniasitif pembinaan sekolah baru atau naik taraf sekolah yang kerap dilanda banjir atau berada dalam kawasan banjir dengan plan yang sedemikian.Mungkin kita perlukan kos tetapi dalam jangka panjang ia berbaloi dengan tenaga, masa, wang untuk menghadapi kemusnahan banjir saban tahun. Hanya mereka yang merasai sendiri tahu bagaimana payah dan sukarnya.

Selain dari itu, kita berharap tidak ada mana-mana pihak memberi tekanan keterlaluan kepada pihak sekolah yang menghadapi masalah ini kerana mereka bukan sahaja tertekan dengan keadaan di sekolah tetapi juga di rumah kerana mereka juga turut menjadi mangsa banjir. Kita yakin sifat keguruan yang kaya dengan keperihatinan dan kecaknaan tinggi mereka akan berusaha secara kolektif memperbaiki keadaan. Jika kita tidak mampu memberi sumbangan wang ringgit dan material, berilah sokongan dan semangat positif . Seberat-berat mata kita memandang berat lagi bahu mereka yang memikul...apalagi memikul amanah bangsa,agama dan negara.



Monday, December 30, 2013

Urusan Persediaan Calon GPK 2014

BESUT - Urusan Persediaan Calon GPK 2014 melalui kaedah penghakikian Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DGA32 (KUP) TBBK ke DGA32 hakiki telah selesai. Semua calon yang memohon telah dinilai 45% prestasi, 35% kegiatan dan sumbangan dan 20% temuduga sebagai yang dikehendaki oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Calon yang berjaya diranking berasaskan daerah dan ditawarkan jawatan GPK mulai 1 Jan 2014.

Kita merasa bersyukur di saat minat dan kecenderungan guru semakin pudar serta menurun untuk mengisi jawatan ini masih ada segelintir guru yang bersedia mencabar diri untuk memikul amanah pengurusan di peringkat sekolah. Kita tabik kerana mereka sanggup berkorban masa dan tenaga dengan Elaun Tanggung Jawab sebanyak enampuluh ringgit serta keluar dari zon selesa dari hanya sekadar menunggu DGA34 (KUP) TBBK. Apa yang paling besar dan bermakna mereka bersedia mentranformasi diri dalam tugas dan kerjaya. Tahniah.

Walaupun secara umum setiap daerah sudah ada calon untuk ditawarkan namun sesetengah daerah stok calon tidak mencukupi dan kritikal dengan bermulanya persaraan wajib 60 tahun pada 2014. Keperluan kepada penyandang GPK sangat diperlukan. Justru itu urusan permohonan dan pengambilan akan berlaku sepanjang masa. Oleh yang demikian kita menyeru kepada Guru Penolong DGA32 (KUP) TBBK yang sesuai dan berkelayakan sebagai kreteria yang dinyatakan dalam iklan boleh mengisi borang dan menghantar kepada Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah PPD masing-masing bila-bila masa untuk dinilai dan dipanggil temuduga sebagai stok calon simpanan.

Kita yakin calon DGA32 (KUP) TBBK yang sedang menyambung pelajaran dan baru tamat balajar akan mengambil peluang ini. Suatu masa nanti semua barisan kepimpinan pendidikan di sekolah akan diisi oleh guru yang ada ijazah. Ingatan kita kepada calon GPK guna peluang dan rebut peluang yang ada. Buktikan anda hebat dengan wawasan, tinggi sikap dan nilai, tinggi kemahirannya serta luas mendalam ilmunya.


Sunday, December 29, 2013

Kelengkapan Sekolah: Ibu Bapa Diingat Ukur Baju Di Badan Sendiri



gambar hiasan
 
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Dalam keterujaan menyediakan keperluan sekolah, terutama untuk si cilik yang baru melangkah ke alam persekolahan, ibu bapa di negara ini diingatkan agar melaksanakan pembelian bersandarkan 'ukur baju di badan sendiri'.

Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor berkata ini kerana, gaya hidup masa kini menyaksikan ramai ibu bapa yang bersaing sesama sendiri untuk menyediakan kelengkapan persekolahan berjenama untuk anak masing-masing meskipun kurang berkemampuan.

"Sekarang ini, kalau dilihat, bukan sahaja kanak-kanak yang teruja, ibu bapa yang terlalu teruja sehingga semua barangan persekolahan dari hujung rambut hingga hujung kaki anak-anak adalah barangan berjenama.

"Jika ibu bapa itu berkemampuan, tidak menjadi masalah, namun apa yang dibimbangi apabila ibu bapa yang kurang berkemampuan pun turut sama mahu anak mereka kelihatan mewah dan bergaya sehinggakan terpaksa menggadai keperluan rumah tangga yang lain," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menyifatkan ia adalah 'fitrah' manusia setiap kali menjelangnya sesi persekolahan tahun baharu, beliau bagaimanapun berkata sifat itu perlu dibendung agar ibu bapa tidak menghadapi kesulitan atau menanggung bebanan hutang yang banyak.

Bagi menghadapi sifat kanak-kanak yang gemar meminta-minta barangan keperluan persekolahan yang berjenama pula, Prof Mariani berkata kanak-kanak sebenarnya mampu memahami kesulitan atau bebanan kewangan ibu bapa jika diterangkan secara jelas dan berhemah.

Justeru katanya, ibu bapa perlu mengambil pendekatan menjelaskan kepada anak mengenai berapa gaji mereka, keperluan keluarga lain seperti makanan dan bil supaya kanak-kanak faham kesulitan yang dihadapi ibu bapa dan mendidik mereka untuk berjimat cermat.

"Kanak-kanak mempunyai sifat yang lembut dan mudah dilentur, jika mereka mengetahui bebanan ibu bapa, mereka pasti kasihan dan akan sedikit sebanyak beralah.

"Selain itu boleh juga ditunjukkan kepada anak-anak cerita pengajaran tentang keluarga susah yang berkongsi kasut untuk ke sekolah, cerita sebegitu akan mendidik mereka bahawa lebih ramai lagi orang yang lebih susah," katanya.

Seorang ibu, Yusni Nadia Yusoff, 28, berkata oleh kerana anak sulungnya, Ikleel Yadiy Nayyar Iznan, 4, bakal memulakan sesi persekolahan tadika Januari ini, beliau memberi peluang anaknya itu memilih barangan berdasarkan watak kartun yang digemari untuk menyuntik semangat persekolahan.

"Memandangkan Ikleel baru sahaja nak melangkah ke alam persekolahan, jadi saya belikan dia barangan yang dia minati, supaya dia rasa seronok dan semangat nak ke sekolah.

"Namun saya akan pastikan barangan itu tidak terlalu mahal dan berpada-pada mengikut kemampuan selain mahu mendidik bahawa barangan sekolah yang berjenama tidak menjamin kecemerlangan di sekolah," katanya.

Jadia Harun, 38, yang mempunyai empat anak pula berkata beliau akan membeli keperluan persekolahan yang dirasakan perlu diganti sahaja manakala barangan yang masih elok akan digunakan semula.

"Macam buku dan alat tulis baharu tu memang akan dibeli...manakala beg sekolah atau kasut sekolah jika masih elok akan diguna.

"Termasuk juga baju sekolah, saya akan beli sehelai dua untuk dipakai bergilir-gilir dengan baju sedia ada yang masih elok," katanya.

Jadia berkata beliau bersyukur kerana kesemua anaknya yang berusia 8 hingga 17 tahun tidak kisah soal jenama sebaliknya menerima seadanya asalkan keperluan itu lengkap dan tidak mengganggu proses pembelajaran.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat beli-belah di ibu kota mendapati masih ramai ibu bapa memanfaatkan saat-saat akhir membeli keperluan persekolahan anak sebelum sesi persekolahan dibuka minggu hadapan.

Rata-rata ibu bapa yang ditemui memberitahu, mereka tidak mempunyai masalah dalam soal harga memandangkan pelbagai barangan persekolahan ditawarkan mengikut harga dan kemampuan masing-masing.

-- BERNAMA

Saturday, December 28, 2013

Sembang Sabtu : Mengilas masa lalu, membugar masa depan

Beberapa hari lagi kita bakal menyambut tahun baru 2014. Tahun 2013 yang mencatat seribu satu macam peristiwa, pengalaman dan teladan bakal kita tinggalkan. Maka seringkali pertanyaan yang selalu menerpa, "Apakah azam tahun baru ?'' dan "Bagaimana azam tahun yang lalu ?" Lalu kita diajak berintrospeksi atau bermuhasabah tentang masa lalu agar menjadi panduan dan iktibar dalam mengatur perjalanan masa depan. Mengulangi kesilapan yang sama lebih dari sekali kata Nabi SAW adalah tanda orang yang tidak cerdik dan bijaksana.

Kata sang bijaksana, mereka beranalogi tentang masa lalu dan masa depan umpama memandu kereta. Cermin pandang belakang yang kecil sesekali kita kilas pandang umpama masa lalu yang tidak perlu sangat kita fokus hanya cukup sesekali kita menjengah dan mengimbaunya. Manakala cermin pandang depan yang lebar dan luas itulah umpama masa depan yang perlu kita fokus dan bergerak kehadapan. Kita perlu memandu kehadapan dengan penuh bijak, fokus, berhemah, cekap agar perjalanan sentiasa lancar dan rendah risiko kemalangan (kegagalannya) di mana destinasi yang kita tuju sampai lebih pantas dan cepat dengan selamatnya.

Kadang-kadang kerana keasyikan memandu kita terlepas fokus yang mungkin menyebabkan kemalangan atau tersesat jalan hingga membuang masa,tenaga dan wang ringgit. Inilah juga realiti dalam dunia pendidikan kita. Kita bercakap tentang pendidikan abad ke 20 namun setelah 13 tahun memasuki abad ke 20 kerjabuat dan outcome pendidikan tidak banyak berubah. Bahkan sesetengah kita para gurupun tidak berapa sedar telah 13 tahun memasuki abad ke 20. Pencapaian pelajar kita berada satupertiga di bawah. Guru opsyen Bahasa Inggeris kita hanya sekitar lima puluh peratus yang benar-benar pedagoginya mencapai piawaian standard antarabangsa. Kita lambat dalam pecutan persaingan dunia yang pantas. Kita dipintas oleh mereka yang memanafaatkan teknologi bukan yang hanya asyik dan sekadar seronok menggunakan teknologi.

Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang diperkenalkan adalah usaha strategik bagi memacu dan memecut namun jika di peringkat pelaksana (sekolah) masih kabur dan nanar usaha murni ini hanya tinggal rangka sahaja. Tinjauan penulis masih ramai guru yang kabur dan pengurus sekolah seperti Guru Besar atau Guru Penolong Kanan juga kelam samar ke arah membugarkan pelaksanaan PPPM khusus kehendak ataupun aspirasi sistem dan murid yang ingin dicapai dan dihasratkan. Berdasarkan sejarah masa lalu dalam membina  penghayatan dan kefahaman lagu "Setia" RTM mengulanginya setiap hari hingga kanak-kanak berumur tiga empat tahunpun boleh menyanyi. Justru itu jika PPPM hendak dihadzamkan dalam jiwa guru dan masyarakat PPPM mesti diulangsebut setiap masa oleh pemimpin besar dan pemimpin kecil di semua peringkat selain seminar dan bengkel serta maklumbalas pelaksanaannya dilaporkan sepanjang masa.

Sesungguhnya PPPM inilah fokus besar masa depan pendidikan kita dan pelaksanaanya sangat berkaitrapat dengan "kualiti". Seringkali kita mendengar " bahawa kualiti pendidikan sesuatu negara itu tidak lebih dari kualiti guru yang ada". Ini bermakna jika kita ingin meletakkan murid kita berada dalam kelompok satu pertiga dunia maka guru kita juga dari segi semangat, pemikiran, sikap , kemahiran dan ilmunya juga mesti bertaraf dunia. Isunya hendak melahirkan murid bertaraf dunia macam mana kalau isu-isu lapuk berpanjangan seperti penempatan, pertukaran, beban kerja guru, guru berprestasi rendah dan berbagai lagi tidak diselesaikan dengan cekap, cepat dan tegas. Kita tidak akan mampu memandu laju kehadapan kalau kerap sangat melihat cermin pandang belakang.

Selain dari itu kita juga jangan lupa kualiti pemandu  itu sendiri. Pemandu atau pemimpin sekolah bukan sahaja perlu sihat tetapi juga cekap, mahir, boleh membuat keputusan tepat, tahu keupayaan dan kekuatan. Di tangannya terletak setering selaku pusat kawalan kuasanya. Justru itu kaedah pemilihan pemimpin sekolah yang baru dialu-alukan kerana kerana kita perlukan pemandu yang benar-benar cekap, kuat dan berani untuk "speed" yang sudah jauh ketinggalan agar mampu sampai sebagaimana yang dirancang. Persoalan berapa ramai yang telah benar-benar bersedia dan memiliki lesen kelas istimewa ini atau hanya kita seronok melihat seorang pemandu ferari dan hanya membanyangkan kitalah pemandu itu. Jika ini yang terjadi sampai bilapun kita tidak akan sampai.

Sesungguhnya walau apa isu dan masalahnya, fokusnya pendidikan kita ialah membina generasi  yang seimbang jasmani,emosi,rohani dan inteleknya yang mampu memberi sumbangan dari diri, keluarga, masyarakat dan negara. Aspirasi kemenjadian waris masa depan ini kita sama-sama pugarkan melalui PPPM untuk tahun-tahun mendatang dan sesekali menoleh kebelakang dengan melihat generasi masa kini sambil kita berintrospeksi 'inilah hasil buah tangan dan didikan kita dahulu". Adakah kita berpuas hati dengan hasil didikan kita ? Jawablah dengan jiwa dan hati nurani kita yang paling dalam kerana suara hati itu tidak pernah berbohong.




Friday, December 27, 2013

Renungan Jumaat : Sepotong roti penebus dosa



Abu Burdah bin Musa Al-Asy’ari meriwayatkan, bahwa ketika menjelang wafatnya Abu Musa pernah berkata kepada puteranya: “Wahai anakku, ingatlah kamu akan cerita tentang seseorang yang mempunyai sepotong roti.”

Dahulu kala di sebuah tempat ibadah ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah kepada Allah. Ibadah yang dilakukannya itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun. Tempat ibadahnya tidak pernah ditinggalkannya, kecuali pada hari-hari yang telah dia tentukan. Akan tetapi pada suatu hari, dia digoda oleh seorang wanita sehingga dia pun tergoda dalam pujuk rayunya dan bergelimang di dalam dosa selama tujuh hari sebagaimana perkara yang dilakukan oleh pasangan suami-isteri. Setelah ia sedar, maka ia lalu bertaubat, sedangkan tempat ibadahnya itu ditinggalkannya, kemudian ia melangkahkan kakinya pergi mengembara sambil disertai dengan mengerjakan solat dan bersujud.

Akhirnya dalam pengembaraannya itu ia sampai ke sebuah pondok yang di dalamnya sudah terdapat dua belas orang fakir miskin, sedangkan lelaki itu juga bermaksud untuk menumpang bermalam di sana, kerana sudah sangat letih dari sebuah perjalanan yang sangat jauh, sehingga akhirnya dia tertidur bersama dengan lelaki fakir miskin dalam pondok itu. Rupanya berhampiran kedai tersebut hidup seorang Pendeta yang setiap malamnya selalu mengirimkan beberapa buku roti kepada fakir miskin yang menginap di pondok itu, masing-masingnya mendapat sepotong roti.

Pada waktu yang lain, datang pula orang lain yang membahagi-bahagikan roti kepada setiap fakir miskin yang berada di pondok tersebut, begitu juga dengan laki-laki yang sedang bertaubat kepada Allah itu juga mendapat bahagian, kerana disangka sebagai orang miskin.

Rupanya salah seorang di antara orang miskin itu ada yang tidak mendapat bahagian dari orang yang membahagikan roti tersebut, sehingga kepada orang yang membahagikan roti itu ia berkata: “Mengapa kamu tidak memberikan roti itu kepadaku.”

Orang yang membahagikan roti itu menjawab: “Kamu dapat melihat sendiri, roti yang aku bahagikan semuanya telah habis, dan aku tidak membahagikan kepada mereka lebih dari sepotong roti.”

Mendengar ungkapan dari orang yang membahagikan roti tersebut, maka laki-laki yang sedang bertaubat itu lalu mengambil roti yang telah diberikan kepadanya dan memberikannya kepada orang yang tidak mendapat bahagian tadi. Sedangkan keesokan harinya, orang yang bertaubat itu meninggal dunia.

Di hadapan Allah, maka ditimbanglah amal ibadah yang pernah dilakukan oleh orang yang bertaubat itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun dengan dosa yang dilakukannya selama tujuh malam. Ternyata hasil dari timbangan tersebut, amal ibadat yang dilakukan selama tujuh puluh tahun itu dikalahkan oleh kemaksiatan yang dilakukannya selama tujuh malam.

Akan tetapi ketika dosa yang dilakukannya selama tujuh malam itu ditimbang dengan sepotong roti yang pernah diberikannya kepada fakir miskin yang sangat memerlukannya, ternyata amal sepotong roti tersebut lebih berat timbangannya dibanding dengan perbuatan dosanya selama tujuh malam itu.

Kepada anaknya Abu Musa berkata: “Wahai anakku, ingatlah olehmu akan orang yang memiliki sepotong roti itu!”



Wednesday, December 25, 2013

Ikan Terdampar Di Lahad Datu Bukan Kerana Gempa Bumi - Pengarah Meteorologi Sabah





KOTA KINABALU, 25 Dis (Bernama) -- Jabatan Meteorolgi Malaysia tidak mengesan sebarang pergerakan kerak bumi di sekitar Lahad Datu, yang dikaitkan dengan fenomena ribuan ikan tamban terdampar di pantai Kampung Tambisan Tungku, pagi Selasa.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Sabah Abdul Malek Tussin berkata berdasarkan sistem amaran awal tsunami, keadaan dasar laut di kawasan berkenaan juga seperti biasa.

Bagaimanapun jabatan ini tetap memantau pergerakan kerak bumi terutama di dasar laut di kawasan terbabit, katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Datuk Rayner Stuel Galid berkata kejadian tersebut merupakan kali pertama berlaku di Sabah.

"Selalunya ikan tamban ini berada di tengah laut, jarang di tepi pantai," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menghantar pegawai ke kawasan berkenaan bagi melakukan siasatan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Mat Shamsuddin pula berkata pasukan keselamatan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana alam.

Dalam kejadian 8 hingga 9.30 pagi itu, ribuan ikan tamban seolah-olah naik ke darat dan menarik perhatian masyarakat setempat dengan ada antara mereka menganggap fenomena tersebut sebagai petanda bencana alam seperti tsunami.

-- BERNAMA


Sunday, December 22, 2013

27 Pekeliling Perkhidmatan Penambahbaikan 81 Skim Perkhidmatan

Jabatan Perkhidmatan Awam telah memuatnaik 27 Pekeliling Perkhidmatan dalam portal rasmi mereka. Untuk bacaan dan muatturun pekeliling berkenaan sila KLIK

Selain dari itu Pekeliling Perkhidmatan Bil 40/2013 ialah mengenai Penggabungan Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.

Muaturun di SINI 


Wednesday, December 18, 2013

PMR 2013 diumumkan esok



Keputusan PMR 2013 akan diumumkan esok 19 Disember 2013.  Bagi calon-calon yang telah menduduki perperiksaan PMR 2013 mereka boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi.

Bagi Ibu Bapa dan Pelajar yang hendak menyemak Secara Online dan SMS boleh ikut langkah di bawah.


SEMAKAN KEPUTUSAN PMR 2013 SECARA ONLINE DAN SMS

Taipkan
PMR (No MyKad) (Angka Giliran) dan sms ke 15888

Contoh
PMR 961021145879 BC001A040 sms ke 15888

“Perkhidmatan MySMS akan diaktifkan jam 10 pagi esok hingga 11.59 malam 25 Disember”

Tahniah kepada yang berjaya dengan cemerlang dan kepada yang kurang berjaya perbaiki pencapaian pada SPM akan datang.