Sunday, July 22, 2012

Penilaian Prestasi : Nilai benda betul dengan betul

  
Satu tahun jatuh kesannya tiga tahun...

 Bulan Julai ini proses kerja penilaian prestasi sudah bermula. Di peringkat Jabatan dan PPD proses anggota kakitangan mengemukan Sasaran Kerja Tahunan 2012 secara online melalui portal Hrmis kepada ketua jabatan masing-masing sudah dilaksanakan. Kita juga menjangkakan di peringkat sekolah proses kerja penilaian pencapaian SKT guru juga barangkali telah mula dilaksanakan oleh pengurus-pengurus sekolah. Proses menilai dan mengukur pencapaian SKT setiap anggota adalah kerja sangat penting. Ianya perlu dilakukan dengan teliti dan berhemat agar KPI yang dingini benar-benar mencapai sasaran.

Kita tidak nafikan terdapat segelintir pengurus sekolah dan warga guru sendiri melihat Nilaian Prestasi Tahunan bukan sesuatu terpenting dalam kerjaya perkhidmatan dan masa depannya. Justru itu kita dapati ada guru-guru menulis pencapaian SKT secara cincai dan melaksanakan kerjabuat perkhidmatan dan sahsiah secara sembarangan seperti cara komunikasi, kualiti kerja, kepatuhan piawaian dan peraturan yang kadang kurang sesuai dengan seorang pegawai awam. Bahkah ada setengahnya tidak merasa apa-apa jika murid yang diajar tidak mencapai target atau SKT yang ditetapkan. Namun bila orang lain naik pangkat mereka juga ingin naik pangkat seperti orang lain. Dan jika tidak dapat pelbagai tohmahan dibuat.

Begitu juga terdapat segelintir pengurus sekolah membuat penilaian tanpa piawaian dan standard yang jelas. Penilaian mereka hanya sekadar emosi dan persepsi bukan berasaskan kepada data-data dan aviden yang dikumpul melalui penyeliaan, pemerhatian dan sebagainya.  Bahkan kadangnya terlalu 'sulit" dan "tidak telus" hingga menimbulkan perasaan kurang senang dan konflik dalam organisasi setiap kali penilaian prestasi diumumkan atau anugerah APC diistiharkan. Seolah-olah suara-suara itu menggambarkan  kurang kredibaliti dan integritinya kerja GPK dan Guru Besar sebagai penilai. Mengapa berlaku demikian dan bagaimana mengatasinya ?

Kita harus faham SKT dan  Nilaian Prestasi  bukan jerat untuk menjerut kakitangan awam tetapi ianya merupakan makenisma untuk membantu ,membimbing dan meningkat performance kakitangan organisasi di bawah kawalan kita. Justru SKT guru misalnya dibincang dan ditentukan bersama pihak pentadbir. Pelaksanaan dan penilaian  secara berterusan. Jika ada masalah dibincang, dibimbing dan ditegur untuk diperbaiki. Kita harus ingat ada orang merasa mereka sudah bagus dan baik pada pandangan mereka sendiri, namun dalam pandangan orang lain belum tentu mereka baik dan bagus dan sebagai pengurus sekolah kita mesti berani dan telus memberi teguran dan bimbingan. Sewajarnya juga pencapaian komponen markah  wajar dibincang dan diberitahu kepada pegawai yang dinilai kerana jika timbul perasaan tidak puashati mereka boleh mengemuka aviden bagi mempertahankan pendapat atau pandangan masing-masing. Situasi dan amalan ini akan lebih harmoni untuk jangka masa panjang.

Dalam penilaian ini kita mahu mencari keadilan kepada penilai dan pegawai yang dinilai. Justru penilaian dibuat berasaskan perkara yang betul dan dilaksanakan dengan betul. Bagi pegawai yang dinilai mereka pasti boleh menerima jika tidak betul mereka dibukti dengan jelas oleh bos mereka. Kita tentunya tidak mahu akibat penilaian yang tidak betul tragedi seperti rajah di atas terjadi. Jika seseorang calon yang sentiasa bagus Nilaian Prestasinya tiba-tiba ada satu tahu jika "terjadi kesilapan " markah tahun itu agak rendah, kesannya akan dirasai selama tiga tahun. Begitu juga jika calon yang tidak wajar diberi markah prestasi yang tinggi implikasi mungkin dia tercalon naik pangkat. Maka kita akan bertuankan Guru Besar atau GPK yang sememangnya naif dan tidak boleh memerintah sekolah.

Kita berharap selepas ini kita akan nilai benda betul dengan betul. Bukan bermakna selama ini kita tidak laksanakan dengan betul. Bukan. Kita perlu sentiasa menambahbaik kaedah dan cara kita kerana zaman telah berubah pendekatan kita juga perlu berhemah.


5 comments:

  1. Suatu info yang menarik tapi berapa orangkah pentadbir sekolah iaitu GB atau GPK yang membaca dan seterusnya muhasabah diri terhadap kerja buat mereka berkaitan isu ini.

    Pengalaman saya yang bertugas selama 22 tahun tidak termasuk tahun 2012 ini, tiada seorang GB atau GPK negeri Terengganu yang pernah saya berkhidmat di bawah pentadbiran mereka (9 orang GB dari 4 buah sekolah), yang memaklumkan markah penilaian yang dibuat, jauh sekali untuk memaklumkan kelemahan atau kelebihan yang telah dinilai. Malah bila ditanya tentang markah yang diperolehi, ia dianggap sulit dan dipandang serong pula. Subhanaallah.

    Seingat saya, hanya sekali sahaja saya dipanggil untuk memaklumkan markah yang diperolehi iaitu semasa saya bertugas di negeri Kelantan (mula-mula diperkenalkan penilaian prestasi).

    Saya percaya, dalam hal penilaian ini pasti sudah ada piawaian yang jelas yang perlu diikuti. Bila dilihat pada borang SKT pun penilai perlu berbincang dengan pegawai yang dinilai tapi agak malang sepanjang saya berada di Terengganu tiada seorang penilai pun yang berbuat demikian.

    Mengapa keadaan ini berlaku? Adakah prosedur penilaian yang termeterai tidak cukup baik untuk diikuti. Justeru itu berlakulah ketidakpuasan dan ketidak telusan dalam perkara ini. Sudah pasti ada yang tidak kena dengan penilai-penilai ini yang perlu diberi kesedaran atau taklimat untuk memperbaiki proses penilaian ini berjalan dengan baik sebab kita selalu tekankan pegawai yang dinilai perlu menjalankan tugas dengan baik tapi begaimana dengan tugas penilai itu sendiri. Adakah ia sudah baik dan menepati seperti piawaian yang dikehendaki. Ingatlah penilaian kita ini akan juga dinilai oleh Allah s.w.t.

    Sebelum saya mengakhiri kata, penilaian ini sudah pasti bersifat subjektif (bergantung siapa penilainya, ada yang bersifat “pemurah” dan sebaliknya. Ada yang mengikut emosi dan “angin” penilai itu sendiri. Ini dapat dibuktikan bila bertukar sekolah. Walaupun tugas kerja yang lebih banyak tapi prestasinya tetap rendah berbanding dengan sekolah sebelumnya) . Justeru itu diharap pihak2 tertentu boleh mencari titik persamaan dalam pemberian markah prestasi oleh penilai2 ini supaya sifat subjektif ini dapat diminimakan dan mencapai standard antara penilai2 disetiap sekolah.

    Ini adalah pandangan pribadi berdasar pengalaman saya sahaja. Mohon maaf dan terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas pandangan Cg Azmi. Entry ini kita masukkkan agar penilaian prestasi - proses dan kaedahnya dapat ditambahbaik oleh pentadbir dan guru yang dinilai agar ianya menilai dengan tepat dan betul apa yang patut dinilai secara profesional...

    ReplyDelete
  3. Ada seorang Guru Besar yang ditempatkan di sebuah sekolah yang tak dapat CF, tiada murid, guru atau keranai, hampir setahun atau lebih. Dia dapat APC pada tahun tersebut. Ada aku heran?

    ReplyDelete
  4. Janganlah bercakap untuk Guru Besar sahaja, tanyalah mereka yang lebih atas dari Guru Besar.

    ReplyDelete
  5. Salam...bila bercakap pasal prestasi ni naik sebak,terharu,sendu dan kecewa yang berpanjangan...apa tidaknya prestasi dinilai tidak seragam setiap tahun..merit untuk mendapat markah tinggi tentu terjejas apabila tahun ke 3 markah kita rendah....bila mengisi borang kenaikan pangkat baru kita tahu nilah prestasi kerjaku selama 22 tahun dalam perkhidmatan...

    Penilaian subjektif ini, perlu ditambahbaikkan dengan kriteria yang mengikut kehendak semasa dan guru diberi penerangan secara jelas mengapa dan kenapa...apa kelemahan dan kekuatan kita untuk setanding dengan mereka yang sememangnya cemerlang dalam semua segi...

    So...sudah sampai masanya pengurus sekolah diberi taklimat dan penerangan yang sejelasnya berhubung perkara ini agar win-win situation ini berlaku di sekolah...

    ReplyDelete