Tuesday, July 22, 2014

Puisi : Sidang Dubuk


SIDANG DUBUK

Parlimen dubuk bersidang lagi
khabarnya sidang tergempar
dengan tiada siapapun terfikir
setelah laskar-laskar meraka yang gah
kecundang di medan perburuan

Dengan taring menyeringai
dan lelehan liur menitik geram
Perdana Menteri Dubuk
membentang usul dan solusi :
Kita mesti lenyapkan mereka dari muka bumi
Jangan tinggalkan sekelumit baka
Usah khuatir tentang senjata
Mata buasnya melirik penasihatnya, Serigala

Saya sokong Tuan Perdana Menteri
ibu mereka yang mengandung dan yang boleh mengandung
kita bunuh dan siat tulang belulang mereka
sabda sekor serigala betina berstatus menteri
sambil menyeringai taring dan membusung dada.

Saya sokong sepenuh jiwa
anak-anak mereka kita ratah mentah
kita cakar dan hirup darah
seekor anggota dubuk jantan pembangkang
menyalak sombong mengibas ekor yang kudung

Dewan sidang parlimen bergema dengan ghairah dubuk
seakan meraikan pesta kemenangan kematian
tanpa mereka sedari sasaran buruan di padang saujana
mengukuh senjata jiwa, menajam helah dan daya
beriktikad kejap di hati
berpantang ajal sebelum mati
kerana pemerintah mutlak adalah taklukan Rabbi.

Lara MN
Kuala Terengganu
21072014

No comments:

Post a Comment