Saturday, June 18, 2016

Guru tidak capai prestasi baik ditukar



KUALA LUMPUR 13 Jun – Guru yang sudah berkhidmat lima hingga 10 tahun di sesebuah sekolah namun tidak menunjukkan prestasi baik akan ditukarkan jika perlu bagi memastikan mereka mencapai standard yang ditetapkan

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan (gambar) berkata, kementerian sentiasa memantau guru yang tidak menunjukkan prestasi baik menerusi penilaian yang dilakukan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, pemantauan dinilai oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) selain menerusi laporan prestasi yang dikemukakan oleh pihak pengurusan sekolah.

“Sekiranya guru itu tidak mencapai prestasi yang di­tetapkan, maka kementerian juga boleh mengambil tindakan dalam proses penukaran guru berkenaan,” katanya mengenai saranan Senator Datuk Abdullah Mat Yasin pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Abdullah mencadangkan agar guru yang berkhidmat antara lima hingga 10 tahun di sesebuah sekolah dan tidak lagi menunjukkan pres­tasi baik perlu ditukarkan ke sekolah lain.

Dalam hal itu Kamalanathan membe­ritahu, kementerian mendapati hampir keseluruhan guru di negara ini melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik setakat ini.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berhubung masalah penempatan guru di Sabah dan Sarawak pula katanya, setakat ini lebih 80 peratus guru yang berkhidmat di kedua-dua negeri itu berasal dari sana.

“Kita mahu menjelang 2020 lebih 90 peratus guru yang ber­khidmat di kedua-dua negeri itu berasal dari sana, maka masalah penempatan guru yang dibangkitkan ini akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

- sumber : utusan.com.my

Monday, May 16, 2016

Berkerusi Roda Ketika Mengajar, Guru Tidak Pernah MC, Cuti Khas

HULU TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) -- Meskipun terpaksa menggunakan kerusi roda ke sekolah dan menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu, seorang guru tetap bersemangat mengajar dan tidak pernah mengambil cuti sakit (MC) mahupun Cuti Rehat Khas (CRK).

Zarina Abdullah, 50, guru bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Peroh, di sini berpengalaman mengajar selama 27 tahun, namun terpaksa menggunakan kerusi roda sejak dua tahun lalu setelah kedua-dua ligamen lututnya putus dan cedera akibat terjatuh.

"Mula-mula saya terjatuh di rumah dan ligamen lutut saya sebelah kiri putus. Sejak dari itu saya menggunakan tongkat ke sekolah, tetapi tidak sampai empat bulan saya menggunakan tongkat, saya sekali lagi terjatuh di hadapan kelas hingga menyebabkan ligamen lutut sebelah kanan turut putus dan saya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda.

"Sepatutnya pembedahan boleh dibuat supaya saya dapat berjalan semula, tetapi atas nasihat doktor saya tidak menjalankan pembedahan kerana risikonya tinggi sebab saya turut mengidap penyakit buah pinggang sejak 15 tahun lalu dan penyakit jantung sejak 10 tahun lalu," katanya ketika ditemui Bernama di sekolahnya di sini hari ini.

Zarina berkata akibat penyakit buah pinggang, sebaik sahaja waktu persekolahan setiap hari Ahad, Selasa dan Khamis, beliau terpaksa bergegas ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk menjalani rawatan dialisis.

"Pukul 2.30 petang saya akan ke HSNZ untuk menjalani rawatan dialisis yang mana setiap kali rawatan akan memakan masa selama empat jam dan pada setiap Isnin, saya turut menjalani rawatan fisioterapi di hospital tersebut.

"Memang kalau diikutkan agak penat dan letih bila terpaksa pulang lewat malam selepas menjalani rawatan dan keesokan harinya terpaksa datang ke sekolah untuk mengajar, tetapi saya tidak menganggap ianya sebagai penghalang dan saya tetap akan datang ke sekolah demi mendidik anak-anak murid saya," katanya dalam nada sebak.

Zarina berkata beliau turut menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur setiap empat bulan bergantung kepada keadaan kesihatannya.

"Saya juga turut menjalani tiga pembedahan untuk memasukkan 'stent' atau besi pada injap jantung pada tahun 2006, 2010 dan 2012 dan sekarang ini saya masih menjalani rawatan susulan," katanya.

Setiap hari, ibu kepada dua anak ini dihantar suaminya, Mohd Sukri Hamzah yang juga merupakan seorang guru di SK Felda Bukit Bading untuk ke sekolah dan beliau turut diberikan sebuah bilik khas untuk kemudahan pembelajaran dan pengajaran dilakukan.

"Saya memang tak dapat berdiri lama dan tak boleh memandu, suami saya yang menghantar saya ke sekolah setiap hari dan di sekolah guru-guru lain banyak membantu saya.

"Saya rasa satu kepuasan bila dapat tengok anak murid saya pandai membaca dan dapat ikut apa yang saya ajar dalam kelas...apa yang menyentuh dan menguatkan hati saya adalah bila waktu habis kelas, anak murid akan bersalam dan memeluk saya sambil ucap 'I love you, teacher' (saya sayangkan cikgu)...saya tak pernah ajar mereka (untuk ucapkan ayat itu), tapi itulah reaksi mereka.

"Apabila waktu kelas dah nak habis, ada yang suruh saya mengajar sampai habis waktu persekolahan...mungkin mereka suka cara saya mengajar," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Peroh Siti Zainun Ismail berkata Zarina merupakan seorang guru yang sangat komited dalam kerjayanya sebagai seorang pendidik dan beliau yang mengenali guru tersebut lebih satu tahun menganggap beliau seorang guru yang sangat kental.

"Saya bertukar ke sekolah ini tahun lalu dan sepanjang mengenalinya, beliau tidak pernah mengambil MC ataupun CRK, malah bila saya tanya guru-guru lain, memang sebelum ini pun Zarina tidak pernah sewenang-wenangnya mengambil cuti.

"Kalau orang lain, dalam keadaan tidak sihat dan sering menjalani dialisis mestilah mereka mengambil cuti untuk berehat kerana letih, tetapi Zarina memang seorang guru yang sangat tabah dan kental, beliau tak pernah mengambil kesempatan atas kekurangannya," katanya.

Siti Zainun berkata sifat keibuan dan penyayang yang ada pada Zarina membuatkan guru tersebut disukai dan disayangi murid-murid di sekolah tersebut.

"Kalau Teacher Zarina mengajar, memang murid-murid akan dengar cakapnya dan murid-murid memang sangat sayang padanya," katanya.

Sementara itu, murid tahun satu, Nurul Amirah Ahmad Firdaus berkata beliau sangat menyayangi guru tersebut yang banyak membantunya dalam subjek bahasa Inggeris.

"Saya tak pandai sangat subjek bahasa Inggeris, tapi saya rasa seronok bila waktu kelas bahasa Inggeris...bila loceng berbunyi, kami akan cepat-cepat beratur untuk ke bilik 'teacher'.

"Teacher sangat baik, walaupun sakit beliau tetap akan datang ke sekolah untuk mengajar," katanya sambil tersenyum.

-- BERNAMA

Sunday, April 17, 2016

Tahniah, seratus peratus Sekolah Band 1 Terengganu berjaya mengisi Annex 2.0



Wednesday, April 13, 2016

Status Terkini Pengisian Annex 2.0 bagi Terengganu


Tahniah kepada semua sekolah Band 1 yang telah mengisi Annex dan berstatus kuning. Ini bermakna proses pengisian dan penghantaran berjalan dengan sempurna. Walau bagaimanapun terdapat sekolah-sekolah yang berstatus HIJAU. Status ini menggambarkan pengisian dan penghantaran masih belum lengkap. Pihak sekolah perlu memastikan tiada ruang yang tertinggal tidak diisi. Jika tidak berkaitan mungkin perlu ditulis TIADA atau sebagainya dan hantar.

Pengisian instrumen ini akan berakhir pada 15 April 2016, jam 11.59 malam dan seterusnya portal akan ditutup
 
Mohon kerjasama tuan/puan untuk memaklumkan kepada sekolah-sekolah yang masih berstatus "Merah" dan "Kuning" untuk:
(a) melengkapkan pengisian mereka; dan/atau
(b) memastikan butang "simpan" diklik pada SETIAP muka surat instrumen ini

 

Monday, April 11, 2016

Status Pengisian Annex bagi Sekolah Band 1 di Portal NKRA pada 10 April 2016

Assalammualaikum & Salam Sejahtera,

Bersama-sama ini disertakan status Pengisian Instrumen Annex SBT 2.0 di dalam Portal NKRA.

Pengisian instrumen ini akan berakhir pada 15 April 2016, jam 11.59 malam dan seterusnya portal akan ditutup.

Mohon kerjasama tuan/puan untuk memaklumkan kepada sekolah-sekolah yang masih berstatus "Merah" dan "Kuning" untuk melengkapkan pengisian mereka.

Harap maklum.  Terima kasih.

* Warna Merah dan Kuning belum lengkap. Warna Kuning sila lengkap jangan tinggal kosong . Jika dokumen tiada tulis "tiada".

Saturday, April 9, 2016

Status Pengisian Annex hingga 8 April 2016

Sekolah-sekolah yang berstatus kuning dan merah hendaklah melengkapkan segera sebelum 15 April 2016 melalui web NKRA.

 

Tuesday, March 29, 2016

JPNT Sasar 0.10 Peratus Penurunan Kes Salah Laku Displin Pelajar

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mensasarkan berlaku penurunan 0.10 peratus dari segi salah laku displin di kalangan pelajar negeri ini, setiap tahun.

Pengarah JPNT, Shafruddin Ali Hussin berkata, walaupun masalah itu tidak begitu berleluasa di negeri ini, pihaknya masih memandang serius dan mengambil pendekatan berkesan bagi mengurangkan gejala tersebut.

“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kita masih mencapai tahap yang ditetapkan, tetapi pihak berwajib khususnya pihak sekolah memandang serius masalah ini termasuk kes ponteng.

“Sebagai contoh, berkaitan masalah kes ponteng antara pendekatan dilakukan adalah dengan turun padang untuk memujuk mereka kembali ke sekolah dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengetua SMK Panji Alam, Che Lai Hashim.

Katanya,  JPNT turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mencegah gejala ponteng selain mendapat kerjasama penuh daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Dalam pada itu jelasnya, punca utama masalah salah laku displin pelajar termasuk kes ponteng adalah mempunyai kaitan dengan perpecahan keluarga.

“Kita cuba selesaikan apa sahaja masalah walaupun kadang-kadang yang berkaitan dengan kewangan dan masalah keluarga,” ujarnya.

Sumber : teganukita.my

Monday, March 28, 2016

Mesyuarat Penyelarasan Pengisian Annex 2.0 SBT di Portal NKRA

Sunday, February 28, 2016

Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Sektor

KUALA TERENGGANU - Jam 4.00  petang tadi telah berlangsung Majlis Penyerahan Watikah Ketua Sektor Pengurusan Sekolah dan Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik oleh Yang Berusaha Tuan Haji Safruddin bin Haji Ali Hussain, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu. Majlis telah diadakan di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan  Pendidikan Negeri Terengganu.

En. Azhar bin Abu Bakar, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik telah dilantik sebagai Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah menggantikan En. Ahmad Shukor bin Mansor yang bersara wajib pertengahan Januari lepas. Sebelum ini En. Azhar Abu Bakar adalah mantan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengetua SMK Padang Pulut, Dungun, Terengganu. Beliau yang mempunyai pengalaman pengurusan yang luas serta "cool" dan tenang dikatakan oleh banyak pihak sangat sesuai berada di "hot chair" ini.

Sementara tempat yang dikosongkan oleh En. Azhar Abu Bakar  telah diisi oleh En. Azman bin Othman, Pengetua SMK Pengkalan Berangan, Marang. Sektor Pengurusan Akademik tidak asing bagi beliau kerana beliau adalah mantan Ketua Penolong Pengarah Bahasa di sektor berkenaan yang mahir Bahasa Inggeris. Sebelum itu beliau lama berkhidmat di BTPN Terengganu sebagai Penolong Pengarah dan fokusnya berkaitan peningkatan Bahasa Inggeris.

Kita percaya kombinasi pasukan pengurusan yang mantap dapat merealisasikan aspirasi PPPM, TTB dan MTP yang dilaksanakan dan didokong bersungguh-sungguh oleh pengarah dan warga guru negeri Terengganu.


Tahniah, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah



Friday, February 26, 2016

Pendaftaran Murid Tahun 1 Bagi Sesi 2017 dan 2018.


Dengan hormatnya dimaklumkan ibubapa/penjaga yang mempunyai anak lahir pada 2.1.2010 - 1.1.2011 dan 2.1.2011- 1.1.2012  boleh mendaftar anak= anak mereka di sekolah berhampiran atau kawasan tadahan masing masing.


Urusan pendaftaran bermula pada 1 Mac 2016 hingga 31 Mac 2016 di pejabat sekolah (hari bekerja sahaja)

Sila bawa bersama salinan dokumen berikut:

1. Sijil lahir dan salinan fotostat.
2. Kad pengenalan ibubapa dan salinan fotostat.
3. Surat nikah dan salinan fotostat
4. Bil elektrik/ Air/Astro untuk pengesahan alamat.

Kerjasama tuan/puan amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Thursday, February 25, 2016

Cergas dah sihat

Kebelakangan ini ramai kita dapati warga guru bukan sahaja menghidapi pelbagai penyakit kronik tetapi juga telah pergi mendahului kita. Benar hidup mati, rezeki dan jodoh pertemuan di tangan tuhan namun berusaha mencapai sesuatu yang baik dan menghindarinya sesuatu yang memudaratkan bukanlah pula melanggar suratan takdir. Bahkan ia adalah satu pernyataan syukur kerana menggunakan akal dan kudrat yang Allah kurniakan bagi mencari kebaikan dan kesempurnaan dalam hidup.

Pelbagai sebab kematian warga guru kita seperti serangan jantung, kanser dan pelbagainya lagi. Jelas sekali penyakit yang dihidapi oleh warga guru berkait rapat dengan rencam hidup masa kini seperti stress, cara gaya hidup dan amalan pemakanan yang tidak seimbang. Oleh yang demikian, menyedari hakikat itulah Tuan Haji Shafruddin Ali Hussain, Pengarah Pendidikan Terengganu memperkenalkan dan menggalakkan warga  Jabatan Pendidikan Negeri misalnya mengadakan hari keluarga, pemeriksaan kesihatan berkala dan senamrobik bulanan. Usaha ini diharapkan dapat menyedarkan kakitangan dan pegawai tentang pentingnya  menjaga kesihatan kerana badan yang cergas dan sihat saja mampu mempertingkatkan kualiti dan produktiviti

Program Cergas Senamrobik ini telah dimulakan beberapa tahun dahulu tetapi diperkasa dan ditransformasikan oleh pengarah sekarang dengan cara berjadual tetap dan melibatkan semua warga Jabatan Pendidikan Negeri. Kita berharap melalui usaha-usaha seperti ini,  kita dapat melahirkan pegawai yang cergas dan sihat untuk melaksanakan tugas.

Kita juga sarankan agar pihak sekolah boleh mengambil inisiatif yang sama untuk memikirkan program-program yang boleh mengeratkan ukhwah dan program berorientasikan kecergasan dan kesihatan kepada para guru, kakitangan dan juga para pelajar. Program seperti inilah kita dapat membina semangat cintakan sekolah, negara dan bangsa dengan menerapkan semangat jati diri melalui lagu, karya seni dan "world cry" yang menggetarkan jiwa dan semangat untuk terus berjuang dengan sihat, cergas dan selamat.

Thursday, January 21, 2016

Taklimat dan Penyampaian Surat Penempatan Guru Baru ke SJKC

KUALA TERENGGANU , 21 JAN- Hari ini seramai 16 orang guru baru yang kesemua berketurunan Cina hadir menghadiri taklimat dan menerima surat penempatan mereka ke SJKC di Bilik Mesyuarat Anjung Ilmu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Pengarah Pendidikan Negeri Tuan Haji Shafruddin bin Hj Ali Husain telah menyampaikan surat pelantikan tersebut. Turut hadir ialah Penolong Pengarah Pengurusan Guru, Penolong Pengarah Data & ABM, Ketua Unit Latihan serta Penyelia Kanan di PPD seluruh negeri

Terdahulu dari itu, Pengarah Pendidikan Negeri mengingatkan guru-guru ini sentiasa berterima kasih kepada kerajaan kerana terus menempatkan guru dalam situasi seperti sekarang dan di saat ramai lagi rakan-rakan mereka masih menunggu penempatan. Rasa terima kasih dan bersyukur perlu diterjemah dengan memberi perkhidmatan terbaik dan sentiasa menyokong usaha dan dasar-dasar kerajaan.Beliau juga menegaskan guru-guru yang ditempatkan di Terengganu patut bersyukur kerana semua sekolah termasuk sepuluh SJKC dapat dihubungi dengan kenderaan darat berbanding dengan sekolah-sekolah di pedalaman Sabah dan Serawak. Beliau juga menjelaskan secara terperinci tentang program Memperkasakan Transformasi Pendidikan dan berharap gurru-guru melaksanakan dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.

Ketua Unit Naik Latihan, En. Noor Azman sebelum itu telah menyampaikan taklimat serta tugasan yang perlu dilaksanakan guru-guru baru di bawah Program Pembangunan Guru Baru. Sementara taklimat penempatan telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Guru, En.Wan Mazlan bin Wan Hamat. Pecahan daripada guru berkenaan ialah 4 orang (Serawak), 6 orang (Terengganu) 1 orang (Penang) 5 orang (Kelantan).

Kita berharap dengan penempatan guru-guru ini masalah kekurangan guru di SJKC sedikit sebanyak dapat di atas dan prestasi murid SJKC dapat dipertingkatkan.

Tuesday, January 19, 2016

Pengarah bersama-sama Exco MGB Terengganu

KUALA TERENGGANU - 18 JAN, Semalam telah berlangsung Majlis Pengarah bersama-sama Exco MGB Negeri Terengganu di PKG Bukit Besar, Kuala Terengganu. Majlis yang julung-julung kali diaadakan atas permintaan Ecxo MGB Negeri Terengganu telah berlangsung dengan sangat baik dan harmoni.Pada saya yang pernah berada dalam MGB Terengganu inilah satu majlis sangat istimewa, Exco MGB Negeri Terengganu dilayan dengan begitu rupa oleh seorang Pengarah Pendidikan Negeri melebihi tiga jam. Tahniah Pengarah yang telah menunjukkan jiwa besar sebagai pimpinan pendidikan negeri yang hebat.

Majlis yang berlangsung dalam suasana ukhwah itu turut dihadiri oleh KPP Sektor Pengurusan Sekolah,PP Data dan ABM mewakili Ketua Unit Rendah dan Penyelia Kanan Projek Khas/Asli/Kluster.  Pengarah telah memberi peluang kepada Exco MGB mengemuka pertanyaan dan cadangan dengan telus. Ada yang beliau menjawab terus dan dirumus kemudian.Pelbagai isu, kekeliruan seperti cuti peristiwa, pemakaian uniform, perjawatan dan pelbagai lagi telah dijawab dan diselesaikan.

Mengenai cuti peristiwa peruntukan cuti adalah empat hari. Sekolah digalakan memohon dua hari dahulu manakala dua hari lagi untuk standby jika berlaku cuti mengejut yang diistiharkan oleh kerajaan negeri dan jika tiada boleh dihabiskan kemudian bagi memastikan jumlah hari persekolahan setahun tidak kurang dari 190. Manakala cuti yang telah ditetapkan kementeriaan untuk perayaan hendaklah pengurusan sekolah bijaksana memanafaatkan agar budaya mengejar kecemerlangan tidak luntur dengan pemberian cuti-cuti berkaitan. Jangan jadikan cuti sebagai alasan jika kita tidak cemerlang

Bagi perjawatan guru tegas Pengarah taburan guru negeri Terengganu mengikut daerah lebih adil dan saksama dan pihak jabatan akan berusaha merapatkan jurang antara sekolah dan daerah dari masa ke semasa. Menurut beliau kedudukan taburan guru Terengganu antara negeri terbaik di Malaysia

Manakala perjawatan Guru Besar sehingga 15 Januari 2016 kedudukan Guru Besar adalah penuh dengan empat orang diluluskan oleh KPM dilantik daripada peserta yang sedang berkursus Kohort 1/2016 NPQEL. Beliau percaya kelonggaran dalam pelantikan Guru Besar iaitu melantik dahulu dan wajib berkursus NPQEL  kemudian akan dapat mengatasi Guru Besar yang tidak dapat diisi.

Manakala pengisian jawatan Guru Penolong Kanan juga tidak ada masalah melalui kaedah penurunan kuasa kepada Pengarah Pendidikan. Pihak PPD mengenalpasti calon dan meluluskan dalam panel mereka sebelum ditapis, disemak dan diluluskan panel JPN sebelum pelantikan dibuat. Bila calon tersedia dan mencukupi pengisian berasaskan kaedah back to back akan dilaksanakan sepenuhnya.

Pengarah juga menekankan perlunya Guru Besar dan guru-guru menunjukkan contoh praktikal seperti memakai kot bagi lelaki dan perempuan bagi majlis rasmi Ahad, Isnin dan Rabu. Memakai uniform sebagaimana tradisi pada Selesa dan batik Malaysia pada hari Khamis bagi urusan majlis rasmi. Sementara pakaian asas rasmi sekurangnya baju lengan panjang dan bertali leher bagi guru lelaki. Beliau berkata siaran tidak perlu kerana semua sudah faham dan meminta Guru Besar memperkasakan di peringkat masing. Beliau berharap bila memakai uniform hendaklah lengkap sebagai contoh kepada murid-murid.

Selain dari itu, Pengarah mengingatkan Guru Besar dan guru-guru hendaklah sentiasa peka dan berhati-hati dengan tektik dan teknik menggunakan media sosial bagi mengviral sesuatu situasi yang kadang belum tentu sahihnya. Kes dua anak pensyarah di Hulu Terengganu yang dikatakan meminta sedekah adalah contoh terbaik bagaimana betapa tidak benarnya berita yang diviralkan.

Selain itu banyak lagi perkara dibangkit diselesaikan dengan segera dan saya kira semua Exco MGB Terengganu amat berpuashati dengan pertemuan itu. Inilah pemimpin yang kita mahu dan satu cara
kita menyatakan sayang dan sokongannya ialah dengan menyahut segala seruan dan saranannya
demi kebaikan dan kecemerlangan pendidikan anak-anak kita.