Wednesday, November 30, 2011

Jadual Temuduga iGPK32 Untuk Pengisian GPK Tahun 2012

Di atas adalah Jadual Temuduga iGPK32 untuk pengisian Guru Penolong Kanan bagi tahun 2012. Calon-calon yang berjaya ialah mereka yang telah memohon pada September lepas dan diluluskan Panel PPD dan diperaku oleh Panel Negeri dalam Mesyuarat Penilaian Panel pada 22 - 24 November 2011 di Citiview Hotel, Kuantan. Calon-calon yang berjaya untuk temuduga akan diberitahu oleh PPD masing-masing dan tarikh, masa dan tempat temuduga seperti mana jadual di atas. Adalah dinasihatkan kepada semua calon temuduga agar membuat persediaan rapi sebelum menghadiri temuduga. Baca maklumat di sini.

Sebarang pindaan tarikh atau tempat temuduga akan dimaklumkan dari masa ke semasa melalui blog ini.

Tuesday, November 29, 2011

Penyampaian Surat Tawaran Naik Pangkat dan Pertukaran Guru Besar Kuatkuasa 1 Dis 2011

KUALA TERENGGANU - En. Zakariah bin Ali, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah untuk kesekian kalinya mengingatkan Guru Besar bahawa kejayaan sesebuah sekolah sangat bergantung kepada kepimpinan seseorang Guru Besar. Mereka harus bersyukur dengan nikmat kenaikan pangkat dan dalam masa yang sama harus memikul amanah dan tanggungjawab untuk membina legasi keterbilangan sekolah yang mereka pimpin. Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Penyampaian Surat Kenaikan Pangkat dan Pertukaran Guru Besar yang berkuatkuasa pada 1 Disember 2011 di Pusat Kegiatan Guru Durian Burung, Kuala Terengganu petang ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh En. Rosli Chik, Ketua Unit Naik Pangkat, En. Jelani bin Sulong, Ketua Unit Rendah dan En.Mat lazim Noor, Penyelia Kanan Projek Khas / Asli / Kluster. Beberapa orang Guru Besar yang terlibat tidak dapat hadir kerana berada urusan di luar.

Dalam urusan kenaikan pangkat kali ini, dua orang Guru Besar, Sekolah Kluster telah diberi gred DGA38 Hakiki, seorang lagi Pengelola Cemerlang DGA38 (KUP) dan tujuh orang lagi Guru Besar mendapat kenaikan pangkat Guru Besar Cemerlang DGA38 (KUP) dan dua orang ditawarkan Guru Besar DGA34.
Tahniah kepada yang berjaya. Senarai lengkap KLIK. Urusan penempatan dan tawaran GPK bagi 1 Disember 2011 masih dalam proses.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) bersama-sama Pegawai JPN, PPD dan BTPN Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Pagi tadi para pegawai kanan di JPN, PPD dan BTPN Terengganu amat bertuah kerana dapat bersama-sama mendengar taklimat Dasar-Dasar Baru Kementerian Pendidikan Malaysia yang disampaikan oleh Yang Berbahagia, Tuan Haji Sufa'at bin Tumin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Kementerian Pelajaran Malaysia.

Taklimat berkenaan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Alamanda, JPN Terengganu dengan dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Ketua-Ketua Sektor, Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah dan para pegawai dari JPN, PPD dan BTPN Terengganu. Yang Berbahagia, En. Hashim Mohd Zin, Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua yang hadir terutama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran yang memberi taklimat secara langsung untuk kefahaman barisan hadapan kepimpinan pendidikan negeri Terengganu.

Tuan Haji Sufa'at bin Tumin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil masa hampir tiga jam menerangkan dengan terperinci berkaitan Dasar-Dasar Baru KPM. Beliau berharap para pegawai dapat menyampaikan dengan jelas,tepat dan mudah  kepada para pendidik dan masyarakat mengenai dasar-dasar berkaitan terhadap masa depan pendidikan. Tegas beliau kefahaman tentang dasar dan pelaksanaan dengan cepat, tepat dan berkesan amat penting bagi mengelak berbagai salah tanggap dan persepsi terhadap keikhlasan, integriti dan ketelusan kerajaan atau KPM menyediakan peluang pendidikan terbaik kepada rakyat. Usaha-usaha tranformasi dasar pendidikan dilakukan agar ianya relevan dengan hasrat kerajaan menjadi negera maju dan berpendapatan tinggi.

Kita warga pendidikan Terengganu sangat berterima kasih kepada Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran yang telah memberi taklimat yang jelas, terperinci dan menyeluruh terhadap Dasar-Dasar Baru KPM sebagai garis panduan untuk memastikan segala pelaksanaan dasar-dasar berkenaan mencapai kejayaan yang optima sebagaimana yang dihasratkan. Kefahaman terhadap pelaksanaan dasar baru ini akan dikomunikasikan kepada semua peringkat pengurusan sekolah nanti.

Monday, November 28, 2011

Mesyuarat JK Sekolah Kecemerlangan Negeri

KUALA TERENGGANU - Dalam usaha memantapkan lagi usaha memperkasakan sekolah-sekolah Terengganu ke arah Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Berprestasi Tinggi maka JPN Negeri telah menubuhkan satu Jawatankuasa Sekolah Kecemerlangan Negeri. Mesyuarat pertamanya telah diadakan pagi tadi di Bilik Mesyuarat , SK Sultan Sulaiman 1 yang telah dipengerusikan oleh En. Zakariah bin Ali, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah.

JK Sekolah Kecemerlangan Negeri dianggotai oleh beberapa sektor di JPN, PPD, Pengetua dan Guru Besar SKK dan SBT selain akan menjemput sama Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri. Mengikut Ketua Sektor Pengurusan Sekolah antara strategi utama jabatan ialah memastikan SBT yang sedia ada terus mantap mempertahankan anugerah dan reputasinya sementara SKK yang sedia ada harus bergerak ke arah SBT. Sementara Pengetua dan Guru Besar SKK dan SBT mampu menjadi mentor bagi membantu calon-calon SKK dan SBT. Beliau juga berharap semua Pengetua dan Guru Besar sentiasa positif memastikan menuju ke arah SKK dan SBT kerana itulah antara piawaian sekolah terbaik pada ukuran masa kini.

Mesyuarat hari ini juga membincangkan aktiviti ke arah pencapaian strategi dan hasrat di atas selain mencadangkan penghargaan serta autonomi tertentu bagi sekolah SKK dan SBT seperti yang disarankan KPM. JPN dan PPD hendaklah sentiasa peka dan teliti dalam penempatan dan pertukaran guru ke SKK dan SBT agar reputasinya dapat dipertahan dan diperkasakan. Selain itu pelbagai bentuk promosi dan penghargaan juga disarankan bagi mengangkat sekolah SKK dan SBT dikalangan khalayak umum.

Kita berharap melalui penubuhan JKuasa Sekolah Kecemerlangan Negeri ini bukan sahaja SKK dan SBT yang sedia ada terus dimantapkan tetapi kuantiti SKK dan SBT terutama melalui slogan "Satu Daerah 1 SKK 1SBT" dapat ditambah sepertimana matlamat strategik jabatan. Bagi tujuan itu semua yang berkaitan mesti berani menggunakan "kuasa pelaksanaan" yang ada pada medan mereka.


Sunday, November 27, 2011

Alfatihah, Timbalan PPD Marang kembali kerahmatullah.

MARANG - " Daripada Allah kita datang, maka kepadaNya jualah kita kembali". Sekitar jam 8.00 malam tadi warga pendidikan negeri Terengganu telah dikejutkan dengan kembalinya kerahmatullah En.Aziz bin Ibrahim (gambar) 49 tahun, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Marang. Beliau yang telah keluar wad beberapa hari lepas setelah dimasukkan hampir seminggu kerana masalah paru-paru menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Padang Tanjung, Bukit Payong , Marang selepas Maghrib tadi.

USR Blogger Team yang menerima sms telah menziarahi jenazah Allahyarham. Ramai kalangan sahabat warga pendidik turut menziarahi termasuk Timbalan Pengarah , Ketua Sektor dan rakan-rakan PPD. Difahamkan jenazah Allahyarham akan disemadikan selepas Zohor esok. Takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga tabah menghadapi ujian ini. Pendidikan Terengganu amnya dan Marang khasnya kehilangan seorang pegawai yang dedikasi. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah jua hendaknya. Alfatihah.

Jangan Menunggu, Hijrahlah Segera..


JANGAN MENUNGGU,HIJRAHLAH SEGERA
  • Jangan menunggu bahagia baru tersenyum, tapi tersenyumlah, maka kamu kian bahagia.
  • Jangan menunggu kaya baru bersedekah, tapi bersedekahlah, maka kamu semakin kaya.
  • Jangan menunggu termotivasi baru bergerak, tapi bergeraklah, maka kamu akan termotivasi.
  • Jangan menunggu dipedulikan orang baru kamu peduli, tapi pedulilah dengan orang lain! Maka kamu akan dipedulikan…
  • Jangan menunggu orang memahami kamu baru kamu memahami dia, tapi pahamilah orang itu, maka orang itu paham dengan kamu.
  • Jangan menunggu terinspirasi baru menulis. tapi menulislah, maka inspirasi akan hadir dalam tulisanmu.
  • Jangan menunggu dicintai baru mencintai, tapi belajarlah mencintai, maka kamu akan dicintai.
  • Jangan menunggu banyak wang baru hidup tenang, tapi hiduplah dengan tenang. Percayalah,. bukan sekadar wang yang datang tapi juga rezeki yang lainnya.
  • Jangan menunggu contoh baru bergerak mengikuti, tapi bergeraklah, maka kamu akan menjadi contoh yang diikuti.
  • Jangan menunggu kejayaan baru bersyukur. tapi bersyukurlah, maka bertambah kejayaanmu.
  • Jangan menunggu boleh baru melakukan, tapi lakukanlah! Kamu pasti boleh!

Friday, November 25, 2011

Renungan Jumaat: Selamat Tahun Baru 1433 H, Salam Maal Hijrah

Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut tahun baru 1433H dengan kedatangan bulan Muharram. Bulan Muharram adalah bulan pertama dalam sistem kalender Islam. Oleh kerana itu salah satu perkara yang sangat penting bagi umat Islam iaitu menjadikan pengantian tahun baru Islam sebagai ruang umat Islam untuk muhasabah terhadap kerjabuat yang telah dilakukan dan rancangan masa depan yang lebih baik lagi. Penghijrahan perubahan dan penambahbaikan dalam kehidupan adalah selari dengan jiwa hijrah Rasulullah saw dan sahabatnya dari Makkah dan Madinah.
Bulan Muharram adalah salah satu dari empat bulan haram atau bulan yang dimuliakan Allah. Empat bulan tersebut adalah, Dzulqa’dah, Dzulhijjah, Muharram dan Rajab. Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya jumlah bulan di kitabullah (Al Quran) itu ada dua belas bulan sejak Allah menciptakan langit dan bumi, empat di antaranya adalah bulan-bulan haram,” (QS. At Taubah: 36)
Kata Muharram artinya ‘dilarang’. Sebelum datangnya ajaran Islam, bulan Muharram sudah dikenali sebagai bulan suci dan dimuliakan oleh masyarakat Jahiliyah. Pada bulan ini dilarang untuk melakukan hal-hal seperti peperangan dan sebarang bentuk persengketaan lainnya. Kemudian ketika Islam datang, bulan haram ditetapkan dan dipertahankan sementara tradisi jahiliyah yang lain dihapuskan.
Bulan Muharram memiliki banyak keistimewaan, sehingga bulan ini disebut bulan Allah (syahrullah). Pada bulan ini tepatnya pada tanggal 10 Muharram Allah menyelamatkan Nabi Musa as dan Bani Israil dari tentera Firaun. Mereka memuliakannya dengan berpuasa. Kemudian Rasulullah saw menetapkan puasa pada tanggal 10 Muharram sebagai rasa syukur atas pertolongan Allah.
Masyarakat Jahiliyah sebelumnya juga berpuasa. Puasa 10 Muharram tadinya hukumnya wajib, kemudian berubah menjadi sunnah setelah turun kewajiban puasa Ramadhan. Rasulullah saw. bersabda: Dari Ibnu Abbas ra, bahwa Nabi saw ketika datang ke Madinah, mendapatkan orang Yahudi berpuasa satu hari, iaitu ‘Asyuraa (10 Muharram). Mereka berkata, “ Ini adalah hari yang agung iaitu hari Allah menyelamatkan Musa dan menenggelamkan keluarga Firaun. Maka Nabi Musa as berpuasa sebagai bukti syukur kepada Allah. Rasul saw berkata, “Aku lebih berhak mengikuti Musa as daripada mereka.” Maka beliau berpuasa dan memerintahkan (umatnya) untuk berpuasa” (HR Bukhari).
Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah saw. bersabda, “Sebaik-baiknya puasa setelah Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah Muharram. Dan sebaik-baiknya ibadah setelah ibadah wajib adalah shalat malam.” (HR Muslim)
Walaupun ada kesamaan dalam ibadah, khususnya berpuasa, tetapi Rasulullah saw memerintahkan pada umatnya agar berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Yahudi, apalagi oleh orang-orang musyrik. Oleh karena itu beberapa hadits menyarankan agar puasa hari ‘Asyura diikuti oleh puasa satu hari sebelum atau sesudah puasa hari ‘Asyura.
Secara umum, puasa Muharram dapat dilakukan dengan beberapa pilihan. Pertama, berpuasa tiga hari, sehari sebelumnya dan sehari sesudahnya, iaitu puasa tanggal 9, 10 dan 11 Muharram. Kedua, berpuasa pada hari itu dan satu hari sesudah atau sebelumnya, iaitu puasa tanggal: 9 dan 10, atau 10 dan 11. Ketiga, puasa pada tanggal 10 saja, hal ini karena ketika Rasulullah saw memerintahkan untuk puasa pada hari ‘Asyura para shabat berkata: “Itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani, beliau bersabda: “Jika datang tahun depan insyaAllah kita akan berpuasa hari kesembilan, akan tetapi beliau meninggal pada tahun tersebut.” (HR. Muslim).
Landasan puasa tanggal 11 Muharram didasarkan pada  dalil keutamaan berpuasa pada bulan Muharram. Di samping itu sebagai langkah berjaga-jaga jika terjadi kesalahan dalam pengiraan awal Muharram.
Selain berpuasa, umat Islam disarankan untuk banyak bersedekah dan menyediakan lebih banyak makanan untuk keluarganya pada 10 Muharram. Tradisi ini memang tidak disebutkan dalam hadist, namun ulama seperti Baihaqi dan Ibnu Hibban menyatakan bahwa hal itu baik untuk dilakukan.
Demikian juga sebagian umat Islam menjadikan bulan Muharram sebagai bulan anak yatim. Berbuat baik dan memelihara anak yatim adalah sesuatu yang sangat mulia dan dapat dilakukan bila-bila saja. Bagaimanapun tidak ada sandaran yang kuat mengaitkan menyayangi  anak yatim hanya pada bulan Muharram.
Apa yang lebih penting kita mengambil peluang dan kesempatan memulakan kehidupan dipermulaan tahun baru hijrah dengan niat, azam dan perancangan yang betul dan tepat serta berhijrah secara total ke arah hidup yang lebih baik dan bermakna.

Thursday, November 24, 2011

Ulang Tahun Ke 2, Blog Unit Sekolah Rendah


Esok genaplah dua tahun blog Unit Sekolah Rendah beroperasi. Tanpa sedar, pejam-celik, pejam-celik  rupa-rupanya sudah dua tahun usianya. Alhamdulillah ianya masih boleh bertahan kerana dalam keadaan yang sama banyak blog-blog yang hebat termasuk blog-blog sekolah yang begitu agrasif pada mulanya telahpun berkubur atau tidur umpama gunung berapi.

Sebenarnya antara salah satu kekuatan kami untuk meneruskan kerja sukarela ini ialah sokongan anda rakan strategik kami dan para pengunjung blog sekalian. Selain dari itu niat untuk menyampaikan info dan maklumat kepada rakan-rakan warga pendidikan adalah antara dorongan utama mengapa blog ini masih aktif dan ujud.
Kami merasa besyukur dan bertuah kerana satu blog yang bukan sensasi mampu mengumpul hit pengunjung antara 200 hingga 500 sehari. Kami sangat merasa berterima kasih atas sokongan anda. Sokongan anda inilah memberi motivasi kepada kami untuk terus menyemarakkan blog ini.

Ada pengunjung mencadangkan supaya blog ini menjadi blog JPN bukan unit. Kerapkali dalam mseyuarat Sektor Pengurusan Sekolah ada cadangan agar  blog ini dijadikan blog sektor. Kami mengucapkan setinggi penghargaan terima kasih atas ekspektasi kalian pada blog ini. Setakat ini biarlah kami menjadi blog Unit Sekolah Rendah. Bagaimanapun kami tidak lokek menyiarkan peristiwa atau even peringkat sektor dan jabatan. Kami membenarkan tulisan dalam blog ini dikongsikan dengan blog berita website induk Jabatan Pelajaran Negeri. Kami juga sangat berterima kasih kepada PPD dan sekolah-sekolah yang memasukkan url blog rendah ke web atau blog mereka. Pada kami perkongsian strategik perkara yang boleh memberi manafaat patut disuburkan agar salurannya mudah dan cepat sampai kepada sasaran kita bersama.

Doakan pasukan USR Blogger Team sentiasa sihat dan bersemangat melaksanakan kerja kebajikan ini dan sampaikan komen membena bagi mempertingkatan lagi kandungan dan peranan blog ini. Semoga blog ini
mampu sedikit sebanyak menyampaikan informasi yang terkini.

Wednesday, November 23, 2011

Memperkasakan SK : Ini satu buktinya


WEE LI LEE...satu-satunya pelajar yang berbangsa Cina di SK.Renek yg mendapat 5A dalam UPSR 2011...Wee Li Lee ..telah membuktikan pelajar Cina juga boleh cemerlang di Sek. Keb. Renek..(SK)..Tahniah Wee!

Komen USR Blogger Team. 
Tentunya pernah kita dengar suara sumbang yang mempersoalkan kewibawaan SK sebagai sekolah yang sesuai untuk semua kaum mendapat pendidikan terbaik dalam negara ini. Seolah-olah SK terutama di luar bandar hanya untuk golongan miskin  dan pada sesetengah pihak sebagai sekolah "low class".  Namun hari ini semua kenyataan tersebut meleset sama sekali apabila kita merujuk keputusan UPSR 2011 banyak sekolah luar bandar mencapai keputusan cemerlang. Begitu juga dengan adik Wee Li Lee telah membuktikan dengan belajar di SK Renek, Besut  beliau juga mampu mencapai 5A. Tahniah atas kejayaan dan keyakinan keluarga Wee terhadap SK yang berhampiran tempat tinggalnya.

Kita berharap kepada Guru Besar dan warga sekolah SK seluruh negeri agar mampu memperkasakan sekolah masing-masing supaya sekolah anda kalian menjadi pilihan utama ibubapa tanpa mengira bangsa, agama dan latarbelakang. Tahniah Guru Besar Cemerlang, SK Renek !

Bengkel Kerja Pemurnian Dan Penilaian iGPK32 Tahun 2012

KUANTAN - Panel iGPK32 telah mengadakan Bengkel Kerja Pemurnian Dan Penilaian iGPK32 Tahun 2012 pada 22 - 24 November 2011 di Citiview Hotel, Kuantan. Tujuan utama bengkel ini ialah untuk mengemaskini semua permohonan iGPK32 Tahun 2012 dan menyenarai pendek calon berkelayakan berdasarkan ranking prestasi dan penilaian borang serta kreteria lain yang telah diputuskan oleh Panel Penilaian Peringkat PPD.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, En. Zakariah bin Ali dalam taklimat dan ucapannya meminta supaya urusan kerja berkaitan pelaksanaan iGPK32 dilaksanakan berdasarkan sumber kuasa dan garis panduan yang ditetapkan KPM dengan penuh integriti dan berwibawa. Beliau yakin jika semua pihak telah melaksanakan dengan niat dan SOP yang sebaik mungkin pasti kita dapat memilih calon GPK yang mampu menjadi Guru Besar yang hebat pada masa hadapan. Dan sekaligus mampu melestarikan pendidikan terbilang negeri Terengganu Anjung Ilmu.

Senarai yang ditapis dan diluluskan peringkat ini akan dipanggil temuduga antara 4 - 8 Disember 2011 nanti mengikut daerah masing-masing sebelum diranking semula berdasarkan daerah masing dan dikemukakan kepada Pengarah sebelum ditawarkan pada tahun 2012. Format pemarkahan adalah berdasar prestasi 2008,2009,2010 dengan purata 45%, markah penilaian kemahiran dan sumbangan berjumlah 35% dan temuduga 20%.

Seperti tahun terdahulu dan selalu disebut ramai calon tidak mengemukan borang permohonan dengan lengkap dan sempurna. Aviden menyokong permohonan yang tidak mencukupi pastinya menolak mereka pada ranking ke bawah dan terkeluar dari senarai panggilan temuduga apalagi ruang keperluan jumlah calon mungkin terhad dengan lanjutan umur persaraan enam puluh tahun.

Kita juga berharap mereka yang bakal dipanggil temuduga membuat persediaan yang rapi dari segi personaliti, pengetahuan dan kemahiran. Jangan anggap mudah. Dalam blog ini rumusan terdahulu proses temuduga iGPK32 dan tips temuduga telah dihuraikan. Cari melalui search dalam blog ini dan taip "temuduga" atau "tip temuduga" untuk mendapat senarai penulisan berkaitan temuduga. Semoga dapat membantu bakal-bakal calon GPK agar nanti kita dapat memilih GPK yang terbaik antara yang terbaik.

Tuesday, November 22, 2011

Harap agenda pendidikan negeri diteruskan


Razali Daud (kiri) menyerahkan fail kepada Hashim Mat Zin di majlis serah tugas 
Pengarah Pelajaran Negeri di Kuala Terengganu, kelmarin. 

KUALA TERENGGANU 21 Nov. - Setelah lebih 34 tahun berkhidmat dalam sektor pendidikan, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Razali Daud mencapai usia persaraan, semalam.

Razali, 58, menyerahkan tugas kepada Timbalannya, Hashim Mat Zin dalam satu majlis ringkas di pejabatnya hari ini yang akan memikul tangung jawab itu buat sementara waktu.

Razali ketika ditemui pemberita berkata, persaraannya tidak akan membataskan khidmatnya dalam bidang pendidikan di negeri ini.

"Sekiranya masih diperlukan, saya akan terus menyumbang apa yang termampu termasuk dari segi tenaga dan buah fikiran untuk kebaikan sistem pendidikan di sini.

"Saya sendiri mengimpikan Terengganu negeri terulung dalam bidang pendidikan di negara ini," katanya.

Pada masa sama, Razali turut berharap agar warga pendidik terus mempertingkatkan komitmen masing-masing di bawah kendalian pengarah baru nanti.

"Bidang pendidikan perlu dijaga, diberikan perhatian, diteliti dan dirancang dengan sebaik mungkin demi kepentingan anak bangsa.

"Justeru, saya harap pengarah baru nanti akan teruskan agenda kita untuk melestarikan pendidikan terbilang di negeri ini dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu," ujar beliau.