Thursday, April 19, 2012

Terengganu Akan Bangunkan 4,400 Hektar Sawit Untuk Biayai Pendidikan


KUALA TERENGGANU, 18 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu akan membangunkan 4,400 hektar tanah dengan tanaman kelapa sawit di Merchang, Marang untuk pelaburan jangka panjang bagi membiayai kos pendidikan anak jati negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata projek di bawah Program Ladang Kelapa Sawit Yayasan Terengganu (PLKSYT) itu akan diuruskan oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri dengan projek pertama akan dimulakan Oktober ini.

"Kawasan ini tanah kerajaan dan ia merupakan tempat tapak tanaman akasia tetapi ianya tidak menguntungkan lalu kerajaan mengambil inisiatif menukarnya dengan tanaman kelapa sawit.

"Usaha ini merupakan sebahagian daripada persediaan kerajaan untuk tempoh jangka panjang serta mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas yang mungkin akan habis nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman Rabu.

Katanya projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan menurutnya apabila mencapai tempoh matang tiga tahun, tanaman itu boleh meraih keuntungan sehingga RM70 juta setahun mengikut pasaran sekarang bagi kawasan seluas 200 hektar.


-- BERNAMA


2 comments:

  1. tahniah atas keperihatinan kerajaan negeri terhadap pendidikan. kami di sk teluk menara telah memulakan projek sawit dua tahun terdahulu. di rasmikan oleh YAB dato' Ahmad bin Said pada 4 mac 2010.insyaAllah tahun hadapan dapat lah hasilnya.cg zaki

    ReplyDelete
  2. Tahniah GB SK Teluk Menara, Cg Zaki dan beberapa buah sekolah spt SK Kg Tayor, Setiu, SK Tepus, Dungun dan banyak lagi sekolah yang mengusahakan kelapa sawit di tanah lapang kawasan sekolah sebagai sumber untuk support kewangan sekolah bagi tujuan mempertingkat kemajuan pendidikan anak-anak. Kita harap banyak lagi inovasi seperti ini dilaksanakan pihak sekolah bagi memanafaatkan sumber yang ada.

    ReplyDelete