Wednesday, April 25, 2012

Agenda pendidikan negara tanggungjawab semua: TPM


SERDANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata agenda pendidikan negara tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian oleh kerajaan, sebaliknya membabitkan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan ia mencapai taraf dan kualiti tinggi setanding negara maju.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi mencapai kejayaan itu, kekuatan kerjasama dalam dan luar sekolah khususnya hubungan yang erat antara sekolah dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) perlu sentiasa dipertingkatkan.

"Memandangkan pendidikan hari ini berdepan dengan cabaran globalisasi, fenomena sosial yang sangat mencabar serta aspirasi yang perlu dicapai, maka usaha bersepadu harus dilakukan demi perubahan dari segi pemikiran dan pendekatan, sejajar dengan kehendak dan perubahan pendidikan," katanya. 

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis anugerah cemerlang PIBG kebangsaan 2011 yang julung kali diadakan bertemakan "PIBG Pemangkin Gagasan 1Malaysia", di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha, Datuk Dr Rosli Mohamed; dan Ketua Pengarah, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pembabitan ibu bapa secara berterusan amat diperlukan bagi membolehkan perkembangan semasa persekolahan anak-anak dapat diikuti sekaligus membantu pengurusan sekolah merencanakan pembangunan aktiviti sekolah secara bersepadu.



No comments:

Post a Comment