Monday, April 23, 2012

Kerajaan mahu lebih ramai anak negeri bergelar jurutera automotif

CHUKAI – Kerajaan Negeri kini sedang meneliti nama calon untuk dihantar mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan automotif di Jerman tahun ini.Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, usaha Kerajaan Negeri menghantar pelajar mengikuti bidang pengajian ke luar
negara itu dengan harapan untuk melihat dalam tempoh empat dan lima tahun akan datang akan lahir lebih ramai jurutera automotif yang terdiri daripada anak Terengganu.


Malah, beliau berkata, pihaknya juga mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan pihak syarikat pengeluar kereta terkemuka di dunia iaitu BMW dan Mercedes Benz agar pelajar dalam jurusan berkenaan dapat menjalani praktikal di syarikat terbabit.

“Selain itu, untuk tahun ini juga Malaysia Airline System Bhd (Mas) menawarkan untuk melatih seramai 50 lagi pelajar anak Terengganu sebagai juruteknik kapal terbang.

“Iklan mengenainya telah kita keluarkan dan diharapkan kita dapat memenuhi kuota tawaran yang diberikan. Peluang ini seharusnya direbut sepenuhnya oleh pelajar negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Karnival Dakwah (Majlis Tadarus al-Quran dan Festival Nasyid) Sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Negeri Terengganu 2012 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, di sini, semalam.

Ahmad turut menyampaikan hadiah tunai, plak dan sijil penghargaan kepada peserta yang berjaya muncul johan hingga pemenang tempat ketiga untuk setiap pertandingan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah membabitkan acara tilawah, nasyid, hafazan, bercerita dan johan setiap acara akan mara ke peringkat kebangsaan.

Sementara itu, menurutnya, pada 9 Mei depan pula Kerajaan Negeri akan menandatangani MoU dengan Universitas Hasanuddin, Mekassar, Indonesia untuk menghantar pelajar Terengganu mengikuti jurusan perubatan di universiti berkenaan.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga mengarahkan Yayasan Terengganu untuk ke Dubai bulan depan bagi melihat bidang pengajian ditawarkan seterusnya menghantar pelajar ke negara itu,” katanya.

Lebih menggembirakan pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan akan menghantar 10 guru cemerlang untuk mengerjakan ibadah umrah secara percuma tahun ini sebagai menghargai jasa guru terbabit.

Mengulas mengenai Karnival Dakwah itu pula, katanya, ia menjadin platform untuk melahirkan anak negeri ini yang hebat dan cemerlang dari semua aspek termasuk spiritual.

Sumber 



No comments:

Post a Comment