Wednesday, April 25, 2012

Pelajar MRSM Kuantan Menang Pingat Emas Di Palexpo, Geneva


KUANTAN, 25 April (Bernama) -- Dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Nur Syafiqah Mohd Azhar, 17, dan Noor Fatin Zulkifli, 17, mengharumkan nama negara apabila merangkul pingat emas menerusi produk kertas mesra alam daripada lalang di Geneva Palexpo Exhibitions and Inventions, Switzerland pada 18 hingga 22 April lepas.

Pengetua MRSM itu, Khalil Ab Rahman berkata kejayaan kali pertama MRSM Kuantan merangkul pingat emas pada pertandingan antarabangsa itu diharap dapat dijadikan contoh buat pelajar MRSM dan golongan muda yang lain.

"Kita juga akan bekerjasama dengan pihak Mara untuk mendapatkan hak paten produk yang dihasilkan pelajar-pelajar berkenaan dan seterusnya mengkomersilkan produk itu," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Guru pembimbing, Latifah Shukri ketika ditemui pemberita berkata pelajarnya mengambil masa kurang dari enam bulan bagi menjalankan kajian dan menghasilkan kertas yang diperbuat daripada lalang itu.

"Kertas yang dinamakan 'Imperata Cylinderica Paper' ini sangat mesra alam kerana ia bukan sahaja boleh reput dalam masa dua minggu, malah jika ia dijadikan sebagai bekas makanan, ia boleh digunakan sebanyak tiga kali," katanya.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment