Friday, April 13, 2012

Renungan Jumaat : Nikmat kemaafan..



Suatu hari Rasulullah SAW ditanya mengenai budi pekerti atau akhlak yang mulia, baginda menjawabnya dengan membacakan ayat suci Al-Quran surah al-A'araf ayat 198 yang bermaksud;

"Berilah kemaafan, ajaklah kepada kebaikan dan berpalinglah daripada orangt-orang jahil"

Sabdanya lagi mengingatkan: "Akhlak yang mulia ialah menghubungkan orang yang memutuskan hubungan denganmu, memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadamu dan memaafkan orang yang menganiayaimu" (hadis riwayat Jabir).

Terang dan jelas, antara ciri-ciri akhlak yang mulia ialah memaafkan kesalahan orang lain terhadap kita. Sayangnya, sama ada kemaafan itu diminta atau tidak, ianya tidak dapat dinafikan sememangnya kebanyakan kita agak sukar memberikannya seikhlas mungkin kerana perasaan ego yang menebal dalam jiwa.

Walau pun secara lisan mengucapkan "Saya memaafkannya", tetapi terkadangnya masih ada kesan yang membara. Kerana itulah barangkali kita masih teringat-ingat salah orang yang pernah menyakiti kita dan akhirnya menyakitkan diri sendiri. Di bawah sedar kita membina neraka dalam diri sendiri dengan sifat amarah itu.

Namun, itulah kita...makhluk yang tidak sunyi daripada melakukan pelbagai kesilapan. Tetapi Allah swt, Khaliq yang bersifat Pengampun dan Maha Penyayang, akan sentiasa pula bersama hambaNYA yang terus berusaha menjadi manusia sempurna untuk mencapai keredhaanNYA.

FirmanNYA : "Bersegeralah kamu kepada pengampunan daripada Tuhanmu dan ke syurga. Lebarnya seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa (iaitu) orang-orang yang menafkahkan hartanya ketika senang dan susah, orang-orang yang sabar menahan marah dan orang-orang yang memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah swt mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan itu" (Ali-Imran 133-134)

Kita dianjurkan agar mengampuni atau memaafkan kesalahan orang lain terhadap kita walau pun kemaafan tidak dipinta. Ramai yang mengharapkan kemaafan daripada orang lain dan sebab itulah tidak berlaku kebaikan di dalam masyarakat, sedangkan kesediaan memaafkan orang lain adalah satu cara untuk menyelesaikan masalah masyarakat sejagat.

Janganlah kita mengharapkan sesuatu penyelesaian dengan meminta orang memohon maaf atas kesalahan yang telah dilakukan. Sebaliknya sifat pengampun perlu diamalkan dan budaya sedia memaafkan orang lain amat perlu disemarakkan kerana ianya boleh mengujudkan keamanan. Hindarkan dendam atas kesalahan orang lain terhadap kita, takut nanti kita menggadai syurga yang Allah janjikan kepada yang bertaqwa yang antara cirinya ialah mengampunkan orang lain.

Untuk itu, marilah kita menghayati sifat-sifat mahmudah dan menghindari sifat-sifat mazmummah supaya kita memilik ketenangan jiwa dan merasai nikmat aura shurgawi.

 


No comments:

Post a Comment