Sunday, April 22, 2012

Guru sasaran lepas geram

JIKA disoroti kisah guru dan pelajar dulu, wujud persoalan mengapa kedua-dua golongan itu ibarat bermusuhan kini.Biarpun terkenal tegas dan garang, rasa hormat pelajar pada guru masih tinggi dan tidak tergamak bersengketa hanya kerana dihukum.Malangnya, zaman kini berbeza kerana pantang dicuit, kedua-dua pihak pasti berbalah dan bertegang urat mempertahankan pandangan serta hak masing-masing.

Guru juga dikatakan sudah berani bertindak di luar batas profesionalisme manakala pelajar semakin galak mengambil tindakan sendiri ‘memalukan’ guru.


Persoalannya, di manakah nilai kedudukan guru di mata pelajar juga hak pelajar di sisi guru? Adakah pelajar sengaja mencipta masalah dan masihkah guru menjadi golongan dihormati atau sebaliknya?

Mantan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi Rahim, berkata sukar mentafsirkan taraf kedudukan guru hari ini kerana pelajar tidak mempunyai rasa hormat kepada golongan itu.Malah, lebih mendukacitakan apabila mereka menjadikan guru sebagai musuh yang perlu diperangi.

“Inilah hakikat terpaksa ditelan guru hari ini. Mereka terpaksa berdepan pelajar yang tidak langsung mahu mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru.Malah, ada yang menjadikan guru sebagai golongan sasaran untuk melepaskan dendam. Semakin moden cara berfikir, semakin kecil peranan guru di mata pelajar hingga hilang rasa hormat,” katanya.

Akuinya, pelajar hari ini sudah semakin berani dan nekad mengambil tindakan sendiri sekiranya dihukum.

“Dulu, rasa takut dan hormat pelajar pada guru menggunung tinggi. Sekarang mereka lihat guru semakin kecil dengan peranan yang terbatas.Kuasa guru juga semakin terikat seperti tidak boleh merotan sesuka hati dan ibu bapa juga mudah melenting jika anak mereka ‘disentuh’,” katanya.

Beliau berkata, pelajar hari ini tidak memahami hasrat murni guru apabila dikenakan hukuman dan menganggapnya mencabul hak asasi individu.Manakala guru pula dianggap menggunakan status dan kuasa untuk ‘mengikat’ pelajar bagi menurut perintah.

“Keadaan ini menimbulkan kerumitan kerana masing-masing ada hujah untuk menegakkan pendirian. Isu kecil menjadi besar terutama jika membabitkan penggunaan fizikal.Ditambah lagi sikap kedua-dua pihak yang tidak sebulu menjadikan pertelingkahan semakin serius dan meletakkan nilai murni di tangga paling bawah,” katanya.

“Keadaan ini menunjukkan betapa kroniknya konflik hubungan kedua-dua pihak biarpun berada di bawah satu bumbung.Guru mahupun pelajar seharusnya perlu bijak menilai dan jangan babitkan emosi kerana tidak menyelesaikan masalah.Juga, usah menyalahkan antara satu sama lain kerana masing-masing ada kelemahan dan berhak menerima teguran demi kebaikan bersama,” katanya.

Deretan isu panas membabitkan guru dan pelajar kini mengundang pelbagai persepsi kerana kedua-duanya tidak pernah berhenti bertingkah, sekali gus menggugat keharmonian dunia pendidikan negara.Pertelingkahan itu turut menimbulkan pertanyaan mengapa mereka ibarat seteru dan begitu kontras hingga dihambat kontroversi.Sikap saling tidak memahami juga penggunaan simbolik ‘perintah dan menurut’, katanya, menjadi punca mereka bermusuhan walaupun hanya isu kecil.

“Ada segelintir guru atau pelajar lebih suka ia menjadi sensasi supaya boleh diketahui ramai. Sepatutnya kedua-dua pihak perlu hormat antara satu sama lain, bukan merendahkan maruah masing-masing,” katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju tindakan guru yang merotan, menghukum atau melakukan perkara di luar batas kemanusiaan wajar dikenakan tindakan tegas.

“Jika guru memang bersalah wajar tindakan tegas diambil. Status disandang bukan bermaksud boleh menghukum atau menganiaya pelajar sesuka hati.Pelajar yang melanggar peraturan dan tidak berdisiplin juga wajar dikenakan hukuman. Jangan ada sikap pilih kasih,” katanya.

Katanya, bukan mahu menyalahkan, namun ramai ibu bapa lebih mementingkan kerjaya berbanding mengambil tahu persekolahan anak sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu pada guru.

“Apabila anak mengadu, mereka drastik mengambil tindakan tanpa menyelidik lebih lanjut,” katanya.

Beliau yakin insiden buruk membabitkan guru-pelajar hanya kes terpencil yang boleh diperbaiki.

“Guru, ibu bapa dan pelajar juga perlu bersikap lebih terbuka, realistik, saling mempercayai dan menyokong antara satu sama lain. Pendidikan perlu berlangsung secara harmoni bagi menjamin hak semua.Jangan kerana persengketaan, hubungan renggang. Kita akan rugi dan menanggung sesalan kelak,” katanya.




0 ulasan:

Post a Comment