Saturday, April 7, 2012

Bersara 60 , perlu mekanisma penilaian

Sudah tiga bulan lebih had umur "persaraan paksa" enam puluh tahun dikuatkuasakan. Mula-mula istilah "persaraan paksa" digunakan ramai terkejut bokbon. Bunyi kejam dan zalim. Namun itulah hakikat sebenarnya bahawa apabila cukup enam puluh tahun kita mahu atau tidak, sakit atau sihat, suka atau benci, banyak hutang atau tidak,kita mesti bersara,mesti berhenti dari perkhidmatan awam dan melepaskan segala hak dan peraturan yang mengikat kita. Kita menjadi orang awam bergelar "pesara".

Sepanjang tiga bulan lepas yang sepatut digelar pesara masih berada di kerusi masing-masing. Yang akan bersara tahun depan atau tahun lusa lagi steady. Dan yang menunggu giliran terpaksala beratur lagi dan semakin panjang. Apa hendak dibuat ini peluang dari satu perjuangan. Ambil dan rebutlah. Namun lebih afdal, muhasab diri "masih mampukah aku melaksanakan amanah ini". Jika orang bertanya " you okey ke nak sambung enam puluh ni "? Lumrahnya bila orang bertanya begitu tidak ada seorang akan mengatakan dia tidak ok walaupun hakikatnya kita sendiri maha tahu tentang keupayaan kita. Mind set kita bila mengaku kelemahan, mengaku kekurangan adalah tindakan yang "komang" dan "low class"

Namun di bawah sedar kita barangkali gagal membaca riak dan tingkah laku ahli-ahli organisasi kita yang mana mereka barangkali kecewa kerana tidak dapat menyediakan "pulut kuning" yang lama dirancang bagi meraikan persaraan kita sekian lama. Sebelum kerajaan umum persaraan enam puluh tahun mereka seronok dah merancang majlis persaraan kita kerana bakal mendapat Guru Besar atau GPK baru. Mereka barangkali sudah lama muak dengan stail pengurusan kita. Muak dengan arahan kita. Muak dengan kita selalu cuti kerana sakit dam sebagainya. Muak kerana kita tidak dapat melaksanakan SOP asas pengurusan kita. Maka mereka berharap bila tiba detiknya mereka dapat melepaskan kita dengan senang hati dan menerima bos baru dengan gembira. Sayang barangkali harapan tinggal harapan, impian berkecai.

Saya lantunkan senario melangkolis imigenasi ini kerana sudah sampai suara-suara kecewa ke telinga. Mereka kecewa pengurus sekolah yang "tidak rak secetong" masih ada dan dengan bangga sambung enam puluh tahun. Kecewa GPK naik tocang bila Guru Besar lemah dan sakit. Ada Guru Besar nak bercakap di perhimpunan mingguanpun tidak mampu kerana tidak upaya, sakit tapi tetap bercita-cita besar hendak sambung enam puluh tahun.

Kita tidak kisah kalau kita mahu berkhidmat sampai umur enam puluh tahun tapi kesihatan, komitmen, iltizam serta tenaga masih utuh dan ampuh. Biar kita menjadi tiang seri dan dahan tempat berpaut. Saya kira kita masih ingat kata mantan Pengarah Pelajaran yang lepas berkata janganlah kita menjadi  bahan sinikal " ermmm mari dah cikgu hak dak rok, hak tua sekali". Ini cabaran besar penjawat awam yang memilih sambung enam puluh tahun. Bahawa kita sepanjang masa perlu membuktikan bahawa diri kita masih mampu dan berupaya. Tugas ini tidak menjadi masalah kepada penjawat awam walau apa posisi mereka jika rekod kesihatan dan perkhidmatan mereka tip-top. Tapi bagaimana jika kita mempunyai rekod perkhidmatan menghampiri "exit policy" kita akan membebankan bos kita, anak buah kita dan kerajaan.

Mungkin ada yang berkata " dah kerajaan bagi sambung kita sambunglah". Memang benar. Itu tandanya kerajaan yang perihatin kepada tuntutan penjawat awam dan memberi peluang kepada penjawat awam membuat pelbagai pilihan. Inilah sikap terbuka dan bijaksana kerajaan. Namun kita sebagai kakitangan awam juga bijaksana memilih opsyen mana yang sesuai dengan keupayaan kita. Jangan kita jadikan diri kita asbab untuk orang lain menambah dosa. Kita bimbang keluhan kekecewaan itu nanti menjadi satu doa kifarat ke atas kita sedangkan kita mahu diujung kehidupan kita , kita hendak yang terbaik dari segi kesihatan dan kesajahteraan diri, akal, rohani dan jasmani.

Justru sesuai dengan hasrat kerajaan yang mengutamakan produktiviti dan kuliti tinggi maka kerajaan perlu melaksanakan mekanisma tertentu bahawa pelaksanaan persaraan wajib enam puluh tahun boleh memberi impak besar kepada dua perkara tersebut khususnya dalam pendidikan maka mekankisma boleh mencakupi antaranya:
  • memastikan pengurus sekolah yang memilih persaraan wajib enam puluh tahun  mempunyai tahap kesihatan yang baik bagi melaksanakan kerja pengurusan dan pemantauan
  • memastikan pencapaian standard tinggi pendidikan di sekolah seperti akademik dan kokurikulum cemerlang dan meningkat sebagai KPI utama
  • memastikan kehadiran wajib mereka ke program anjuran PPD, JPN, KPM dan kerajaan sentiasa penuh
  • memastikan urusan persekolahan seperti pengurusan data dilaksanakan dengan cekap
  • memastikan tiada elemen aduan mengenai pentadbiran sekolah akibat umur persaraan ini.
Kita berharap dengan pelaksanaan mekanisma sedemikian ianya akan memberi keadilan dan kebaikan kepada semua dan seterusnya reputasi perkhidmatan awam sentiasa dipandang tinggi. Kita tidak mahu " Pengurus Sekolah yang tidak berupaya memerintah kerana pasti sekolah tidak akan maju atau justru ketidak upayaannya semua guru dan warga mahu menjadi pengurus sekolah maka pasti sekolah akan jadi  huru-hara" 

1 comment:

  1. Terima kasih atas coretan di atas, sekurang2nya ia memberi ingatan dan renungan untuk muhasabah diri.

    Andainya kerajaan melaksanakan dasar persaraan kepada 90 tahun, nescaya mereka ini akan memilih umur 90 tahun untuk bersara. Sesungguhnya manusia itu penuh dengan tamak haloba, nafsu terus meminta2 walau khudrat merintih merana. Ibarat kereta tua yang banyak meragam tapi ingin memecut seperti kereta baru tapi akhirnya tidak sampai ke tempat tujuan dan terbantut semua apa yang dirancang.

    Justeru itu mungkin pihak berkenaan perlu melihat kepada tahap prestasi dan status kesihatan seseorang bagi melanjut tempoh umur persaraan, demi untuk kepentingan bidang pendidikan khususnya.

    Orang lama sepatutnya menjadi kelapa tua yang banyak santan untuk diguna memasak sekawah gulai bukan untuk seperiuk kecil saja. Lebih malang lagi menjadi kelapa tua yang luruh tapi tiada siapa mahu mengutip untuk mendapat santan darinya, mungkin dianggap santan dari kelapa yang terlalu tua tidak enak sudah rasanya.

    Subhanallah.

    ReplyDelete