Friday, June 29, 2012

Renungan Jumaat : Ibadah di bulan Shaaban

Bulan Sya'ban mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam, samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang juga mempunyai kelebihan, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang suka beribadat sebagai salah satu jalan untuk mencari dan mendapat keredaan Allah SWT.

Bulan Sya'ban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Baginda paling banyak berpuasa sunat pada bulan Sya'ban

Perkara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW patut dicontohi kerana selain memperbanyakkan amal kebajikan di bulan ini , ia juga merupakan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan

Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Sya'ban
Keistimewaan bulan ini ialah seluruh amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah SWT, sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Antara amalan yang digalakkan pada bulan Sya'ban adalah:

1. Memperbanyak puasa sunat.

Nabi SAW lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Sya'ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

2. Bertaubat dan Beristiqhfar

Bertaubat dan beristigfar boleh mensucikan jiwa dari dosa, kerana sebagai manusia kita sudah pasti tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah taubat nasuha.

Taubat nasuha akan berjaya dilakukan apabila kita menepati syarat-syaratnya, contohnya jika dosa itu antara manusia dengan Tuhan:

1. Dia hendaklah meninggalkan dosa atau maksiat itu.
2. Dia hendaklah benar-benar menyesali dan merasa sedih dengan perbuatan maksiatnya itu.
3. Dia berjanji dan berazam untuk tidak akan mengulangi dan melakukannya.

Manakala jika dosa itu berkaitan dengan hak orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan.

3. Memperbanyak zikir dan berdoa

Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang membesar dan mengagungkan Allah.

Ini bersesuaian dengan janji Allah SWT bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah. Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.

Antara keistimewaan amalan zikir itu pula ialah:

i. Zikir boleh dilaksanakan bila-bila masa. Ia juga boleh dilaksanakan dalam keadaan duduk, berdiri dan baring.

ii. Boleh dilaksanakan walaupun dalam keadaan berhadas sama ada hadas kecil mahu pun hadas besar.

Begitu juga dengan ibadat doa. Doa boleh dilakukan tanpa mengira tempat dan masa. Doa ialah memohon sesuatu hajat atau perlindungan daripada Allah SWT dengan cara merendahkan diri kepada-Nya.

Selain daripada itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan di bulan Sya'ban ini sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadhan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bersembahyang sunat terutama di waktu malam, banyak bersedekah dan sebagainya. Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada di bulan Sya'ban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita. Rasulullah SAW pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat di bulan Sya'ban berbanding bulan-bulan yang lain? Baginda bersabda yang bermaksud:

"Bulan itu (Sya'ban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketika aku berpuasa".(HR an-Nasaie)

Malam Nisfu Sya'ban
Kelebihan Malam Nisfu Sya'ban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu'az bin Jabal r.a Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

"Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya'ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlu-kNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan." (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)

Pada malam Nisfu Sya'ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menyedut pendapat Imam asy-Syafi'e dalam kitabnya al-Umm telah berkata: "Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya 'Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya'ban."

Kita boleh Menghidupkan Malam Nisfu Sya'ban dengan memperbanyakkan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa, berzikir dan membaca al-Quran..

Penutup
Kesimpulannya amalan yang berterusan ini akan membuatkan kita lebih bersedia untuk beramal serta meyambut kedatangan Ramadhan dengan hati yang bersih dan jiwa suci, natijahnya mengundang ke arah kecemerlangan hidup.

Sabda Nabi SAW maksudnya: " Lakukanlah amalan setakat yang kamu terdaya. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu semua jemu. Sembahyang yang paling disukai oleh Nabi SAW iaitu yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit apabila baginda sembahyang. Apa jua sembahyang ia akan lakukan secara berterusan" (HR Bukhari)

Sumber : Unit Perhubungan Awam JAKIM

Thursday, June 28, 2012

Standard Baru Kualiti Pendidikan


BANGI: Mulai tahun depan, penilaian prestasi sekolah mengguna pakai Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2010 (SKPM 2010) berbanding versi SKPM 2003, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, penggunaan standard baru berbanding versi lama bagi memastikan kaedah penilaian terhadap sekolah dilaksanakan secara telus, terperinci sistematik dan jujur berdasarkan penarafan kendiri.

“Penilaian menggunakan instrumen baru ini lebih tepat dan objektif. Kementerian juga melaksanakan program latihan berterusan ke arah memastikan usaha melatih pengetua dan guru besar dapat dilaksanakan.

“Sukacita saya mencadangkan kepada semua pemimpin sekolah untuk meningkatkan ilmu dan kepakaran masing-masing dalam bidang pendidikan terutama dalam bidang penarafan kendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Tawaran Baru Kepada Pengetua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan 2011 di Hotel Equatorial di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, Muhyiddin turut menyampaikan sijil penghargaan dan sub waran berjumlah RM10 juta kepada 125 pengetua sekolah menengah sebagai ganjaran mereka mencapai sasaran Tawaran Baru menerusi NKRA Kementerian Pelajaran.

Pengenalan Tawaran Baru adalah pengiktirafan kepada Pengetua dan Guru Besar dalam usaha mereka melonjakkan kecemerlangan sekolah dengan penilaian dibuat berasaskan kombinasi pencapaian akademik, kokurikulum dan elemen-elemen lain yang memberi impak dalam kemenjadian murid.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud dan Ketua Nazir Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pelajaran, Datuk Misrah Ibrahim

- Harian Metro

10,675 Warga Pendidik Terima Ganjaran RM10 Juta Bagi Prestasi Cemerlang


BANGI, 27 Jun (Bernama) -- Seramai 10,675 warga pendidik dan kumpulan sokongan daripada 124 sekolah menengah di seluruh negara hari ini menerima ganjaran sebanyak RM10 juta bagi pencapaian cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum pada 2011.

Ganjaran di bawah bidang keberhasilan utama negara (NKRA) pendidikan itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Anugerah Tawaran Baru Kepada Pengetua 2011, di sini.

Ketika berucap, Muhyiddin melahirkan rasa gembira dengan pencapaian 124 buah sekolah atau 5.51 peratus itu yang melebihi sasaran 4 hingga 5 peratus daripada 2,248 sekolah menengah yang ditetapkan di bawah Sub NKRA pada tahun lepas untuk menerima ganjaran itu manakala semua pengetua yang terlibat juga melepasi semua saringan termasuk tiada audit berteguran dan tiada kes tatatertib.

"Apa yang membanggakan kita semua ialah usaha kerajaan untuk merapatkan jurang dan menyamaratakan peluang pendidikan berkualiti antara bandar dan luar bandar juga nampaknya telah membuahkan kejayaan.

"Ini terbukti apabila 54 peratus iaitu 67 buah sekolah luar bandar berjaya menerima ganjaran tawaran baru ini dari keseluruhan 124 sekolah yang terpilih," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata pada Mac lalu, ganjaran RM15.6juta diberikan kepada 403 buah sekolah daripada 7,648 buah sekolah rendah di seluruh negara bagi tujuan yang sama.

Timbalan Perdana Menteri juga berbangga dengan prestasi sekolah agama apabila sebanyak 18 buah sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan dipilih menerima ganjaran itu berbanding empat buah pada 2010.

"Peningkatan lebih dua kali ganda ini amat membanggakan KPM. Manakala sebanyak 19 buah sekolah dalam kategori lonjakan perdana telah melonjak sebanyak 500 tempat dan ke atas dalam kedudukan rangkingnya berbanding sasaran lonjakan yang diperlukan iaitu 300 tempat sahaja," katanya.

Pencapaian dua buah sekolah begitu menakjubkan dengan lonjakan lebih daripada 1,000 kedudukan iaitu Sekolah Menengah Agama Tarbiah Islamiah Pulau Pinang sebanyak 1,555 lonjakan dan Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak Kedah sebanyak 1,202 lonjakan, katanya.

"Dan yang lebih membanggakan lagi peningkatan yang ditunjukkan oleh Sekolah Menengah Seri Kembangan, Selangor yang telah membuat lonjakan drastik sebanyak 1,399 dalam kedudukan ranking bagi sekolah berenrolmen besar," katanya.

Bagi meneruskan kecemerlangan itu, beliau mahukan pengetua dan guru besar supaya lebih berwibawa dan berinovasi dalam merancang, menyelaras, memantau serta menilai aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan generasi yang berkemampuan.

Muhyiddin berkata sebagai pemimpin sekolah dan ejen perubahan, mereka perlu mengikuti perkembangan terkini, memajukan diri dan sentiasa memikirkan penambahbaikan kepimpinannya yang berorientasikan pengurusan yang lebih baik.

"Kejayaan pengetua dalam merancang,menyelaras, memantau dan menilai aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan membolehkan pencapaian matlamat visi dan misi sekolah yang diterjemah selaras dengan visi, misi dan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia".

Katanya,pengurusan dan kecemerlangan pengetua dan guru besar yang mantap dan jitu pastinya menentukan prestasi akademik dan kokurikulam pelajar yang membanggakan.

Beliau juga menyarankan semua pengetua dan guru besar sekolah agar meningkatkan ilmu dan kepakaran dalam bidang pendidikan terutama dalam penarafan kendiri sekolah seperti yang dilaksanakan di beberapa buah negara maju untuk meningkatkan prestasi sekolah.

Tegasnya, kerajaan begitu serius dalam melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara bagi memastikan kerelevannnya dan memberi kesan yang lebih baik.

-- BERNAMA

Wednesday, June 27, 2012

Tahniah kepada Pengetua Terengganu yang dapat Anugerah Tawaran Baru 2011

Tahniah kepada Pengetua sepuluh buah Sekolah Menengah yang mendapat Anugerah Tawaran Baru 2011. Sekolah-sekolah berkenaan sebagaimana berikut:
  1. SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu
  2. SBPI Batu Rakit, Kuala Terengganu
  3. SM Sains Terengganu, Kuala Terengganu
  4. SM Sains Dungun, Dungun
  5. SMK Mak Lagam, Kemaman
  6. Imtiaz Kuala Terengganu
  7. Imtiaz Kuala Berang, Hulu Terengganu
  8. SMA Atas Zainal Abidin, Kuala Terengganu
  9. SMK Felda Neram, Kemaman
  10. SMK Padang Pulut, Dungun
Semoga dengan anugerah ini menjadi dorongan untuk semua warga sekolah terlibat melonjakkan kecemerlangan dan keterbilangan pendidikan sekolah.


Tuesday, June 26, 2012

Sekitar Kejohanan Kebitaraan Memanah SKK Kebangsaan

KUALA TERENGGANU- Hari ini adalah hari kedua Kejohanan Kebitaraan Memanah SKK Kebangsaan yang diadakan di SMKA Sheikh Abdul Malik, Kuala Terengganu. Semalam semua kontinjen mengadakan pemeriksaan peralatan dan kelengkapan serta latihan penyesuaian di padang memanah di SMKA Sheikh Abdul Malik.

Hari ini semua kategori pertandingan bermula dan akan bersambung besok pagi. Majlis perasmian penutup akan diadakan jam 2.30 petang esok. Yang Berbahagia Tuan Haji Rosland bin Husain, Pengarah Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan dijangka mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Pagi ini Pn. Faridah Mohd Zin, KPP Sektor Kebitaraan  BPSBPSK bersama krew juga turut memberi sokongan dan memantau perjalanan kejohanan ini. Taklimat ringkas telah disampaikan oleh Pengurus Kejohanan En. Mohd Nor Ismail yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMKA Sheikh Abdul Malik.

Apa yang menarikh juga tiga sekolah calon SKK rendah Terengganu iaitu SK Maktab Perguruan Kuala Terengganu, SK Gong Badak, Kuala Terengganu dan SK Amer, Besut turut bersama menyertai kejohanan ini bersama SKK SJK (T) Simpang Lima, Klang. Kita berharap melalui penyertaan ini mereka bukan sahaja beroleh pengalaman tetapi merit penyertaan pertandingan peringkat kebangsaan.


 

Sunday, June 24, 2012

7,975 guru lepasan diploma dilantik Gred DG41

BATU PAHAT : Seramai 7,975 guru lepasan diploma yang sudah menamatkan Program Pengsiswazahan Guru akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dengan gred DG41 dalam tempoh terdekat.

Lantikan itu dibuat susulan kelulusan perjawatan baru itu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 23 Mei lalu selepas semua guru terbabit ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Keputusan ini membolehkan guru terbabit yang selama ini berada pada jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) disahkan ke jawatan PPPS dengan Gred DG41

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata mereka yang terbabit adalah lepasan diploma yang sudah menamatkan Program Pensiswazahan Guru membabitkan Kohort 2,3,4, dan 5. Katanya kelewatan pengesahan jawatan mereka disebabkan Kementerian Pelajaran menunggu kelulusan Bahagian Perbendaharaan dan JPA untuk meluluskan perjawatan baru berkenaan, sekaligus menyebabkan guru-guru yang sudah disiswazahkan terpaksa menunggu.

Setakat ini, beliau berkata, guru siswazah di sekolah menengah seluruh negara sudah mencatat 91 peratus, manakala di sekolah rendah pula berada pada kadar 39.8 peratus.

"Insyaallah, matlamat mensiswazahkan semua guru akan tercapai sepanjang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang berakhir pada 2016", katanya selepas Sambutan Hari Guru 2012 Peringkat Parlimen Batu Pahat di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chong Hwa Sengarang, dekat sini, semalam.

Mei lalu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sambutan Hari Guru ke-41 di Kuala Kangsar, Perak, mengumumkan 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dinaikkan pangkat mulai Jun hingga hujung tahun ini.

Februari lalu pula, Berita Harian melaporkan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, mendedahkan 15,000 guru lepasan ijazah seluruh negara belum menerima kenaikan gaji Gred DG41, walaupun melepasi temuduga sejak dua tahun lalu.

Keadaan ini menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang terpaksa membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan peribadi bagi menampung kos menyambung pelajaran masing-masing selama ini.

Mohd Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, berkata seramai 66, 124 guru lagi akan disiswazahkan menjelang 2016 dengan pengambilan baru mengikuti Program Pensiswazahan Guru bermula September depan.

Sumber : Berita Minggu, Ahad (24 Jun 2012) muka surat 12.

Bacaan tambahan di Utusan Malaysia online



Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik

KEMAMAN - "Murid-murid kita sangat mempercayai guru berbanding dengan pihak lain justru melalui kempen yang menyampaikan ilmu dan kemahiran sangat efektif jika diperkukuhkan oleh guru untuk menyampaikan input berkenaan terus kepada murid-murid. Selain itu prosidur keselamatan hendaklah menjadi amalan setiap kali ada perhimpunan di sekolah sehingga perkara berkenaan sebati dengan jiwa murid. Kalau belum bermula kita mulakan sekarang " demikian antara lain ucapan penting En. Zakaria  Hussain, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu sewaktu merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik Peringkat Negeri Terengganu .

Majlis perasmian kempen berkenaan diadakan di Dewan SMK Kampung Baru Kertih, Kemaman pagi tadi.Turut hadir Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Pegawai JPN, Pegawai dari PPD Dungun dan Kemaman. Pegawai-pegawai Kanan Tenaga Nasional Berhad, Pengetua dan Guru Besar daerah Dungun dan Kemaman serta para pelajar. Turut dijemput ialah Sekolah Angkat TNB iaitu SK Paka 3, SK Kuala Berang, SK Pengkalan Berangan.

Sebelum ucapan perasmian Yang Berbahagia Datuk Rozimi, Naib Presiden Penghantaran TNB mewakili Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif TNB dalam ucapannya berbangga dan berpuashati dengan kerjasama yang diberikan oleh Jabatan Pelajaran Negeri, PPD dan sekolah bagi menjayakan kempen ini. Sebagai tanda penghargaan beliau mencadangkan pada masa depan Terengganu akan menjadi pilihan utama TNB bagi melaksanakan program khidmat sosial. Menurut beliau tahun ini adalah tahun keenam TNB melaksanakan program kempen ini.

Sementara itu Pengarah Pelajaran Terengganu juga merakamkan setinggi penghargaan terima kasih atas usaha-usaha menyokong pendidikan dengan menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan selaras dengan prinsip pembangunan pendidikan yang menjadi tanggungjawab semua pihak.

Berbagai aktiviti telah diadakan sempena kempen ini seperti ceramah, pameran, kuiz dan sebagainya. Apa yang penting dan diharapkan kempen ini dapat membangkitkan kesedaran tentang cara mengguna dan mengurus elektrik dengan selamat khususnya di kalangan murid-murid kerana murid-murid menduduki hiraki ketiga dalam statistik kemalangan dan bencana akibat kecuaian mengguna dan mengurus elektrik.



Saturday, June 23, 2012

Gadis 9 Tahun Rentasi Lembah Guna Kabel Selaju 40 Km/Jam Untuk Ke Sekolah


Daisy Mora berumur 9 tahun dan cara dia ke sekolah amat berlainan dan paling unik lagi merbahaya. Namun, bak kata pepatah "Alah bisa tegal biasa". Daisy Mora begitu gigih dan sanggup pula menumpangkan adiknya Jamid di dalam guni bersama-sama menyeberangi lembah Rio Negro dengan meluncuri kabel.

Meluncur selaju 40 kilometer sejam itu sudah menjadi kebiasaan kepada para penduduk kampung di lembah Rio Negro ini. Apatah lagi, inilah satu-satunya alternatif yang ada untuk mereka berulang- alik ke pekan semenjak tahun 1804 lagi. Penggunaan kabel ini telah digunakan sejak sekian lama. Di mana untuk permulaan dahulu kabel tali jut menjadi perhubungan antara mereka dengan dunia luar Namun, setelah kawasan lembah kampung tersebut diterokai oleh para pembalak, penggunaan wayar besi keluli yang lebih lasak pula digunakan.

Friday, June 22, 2012

Kasih seorang kakak

Murid-murid kita mungkin  lebih bertuah. Mereka ke sekolah tidak perlu menggalas apa-apa selain dari buku. Bahkan bagi yang berkemampuan dihantar oleh ibubapa atau penjaga hingga ke pintu pagar ataupun hingga ke pintu kelas. Mereka hanya perlu memikirkan tentang pelajaran dan bagaimana untuk berjaya dengan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Sewajarnya mereka mesti bersyukur dengan pernyataan tindakan , belajar bersungguh-sungguh dan menjadi insan yang berjaya.

Di sudut lain di dunia Tuhan yang luas ini ramai lagi mereka yang sebaya dengan anak didik kita mahupun anak kita berjuang dengan penuh kepayahan dan kesukaran bagi mendapatkan ilmu agar keluar dari "dunia" kemiskinan dan kesengsaraan. Kecekalan, kesabaran, kegigihan dan kasihsayang mereka menyentuh hati kita justru kadangnya kemudahan dan kesenangan yang anak-anak kita miliki menjarakkan rasa kasih , rasa hormat, rasa sayang bahkan semakin tinggi tembok keakuan dan kesombongan biarpun terbit dari "rahim" yang satu.


Niat yang baik cara yang hikmah itu lebih afdal

Seringkali apabila kita ingin menyampaikan sesuatu khususnya yang memberi faedah ramai kita sememang memasang niat yang baik dan memikirkan cara paling hikmah agar tidak disalah tafsir dan melukakan orang lain. Namun kadang-kadang kita terkhilaf dengan emosi atau sebagainya. Begitulah juga contohnya kita marah yang agak emosional kepada murid yang tidak siap kerja sekolah dengan niat amat ikhlas untuk mendidik mereka tetapi kadangnya cara kita menimbulkan polimik dan kontravesi.

Begitulah juga jika seorang pengurus yang agak tegas dan keras kerana mahu setiap ahli organisasi bertanggungjawab seringkali akan dianggap autokratik dan kurang disenangi. Mungkin cara itu tidak
kena pada masa dan tempatnya maka ianya mungkin dianggap kurang bijaksana. Sesungguhnya jika kita ingin menjadi manusia yang hebat dan matang kita perlu menerima padangan sedemikian dengan hati terbuka.

Kita mungkin pernah mendengar orang berkata keislaman seseorang dalam beberapa dimensi seperti berikut:
  • ada orang Islam, Islam dengan mahkluk kafir dengan Allah
  • ada orang Islam, Islam dengan Allah tapi kafir dengan makhluk
  • ada orang Islam , kafir dengan Allah kafir dengan makhluk
  • ada orang Islam, Islam dengan Allah , Islam dengan mahkluk
Daripada empat dimensi sudut pandang di atas pastinya kita mahu yang paling baik cara dan kaedah agar ianya tidak menimbulkan konflik dalam diri dan sesama manusia lain. Pastinya kita mahu kehidupan kita dan Islam kita menghubungkan kemuliaan dengan Allah dan dengan makluk (manusia). Dan pastinya kita akan menolak kehidupan dengan hubungan teruk dengan Allah dan makhluknya.

Begitulah gambaran dan analogi mudah untuk kita membuat pilihan terbaik cara dan kaedahnya walaupun  cara itu bukan salah tetapi barangkali kurang tepat dan kurang afdal untuk dijadikan amalan.

Sayang ada antara kita cuba lari dari realiti dan kebenaran semata-mata untuk menjaga hati. Ianya bercanggah dengan hadis Nabi " Katakanlah yang benar walaupun pahit ' (al-Baihaqi). Walau apapun sama ada larangan, teguran, nasihat ataupun bentuk penzahiran niat hendaklah dilakukan dengan bijaksana sebagaimana  pesan Nabi. Kebijaksanaan itu bukan sahaja aspek inti atau "content" tetapi juga caragaya bahasa dan intonasi tulisan ataupun percakapan.

Tindak-tanduk kita yang berada dan mendokong aspirasi dunia pendidikan sangat menuntut kebijaksanaan dan wastiyah ini. Pandangan umum guru adalah manusia berakhlak, beradab dan berilmu maka segala tindak-tanduknya mestilah melambangkan kemurniaan dan kebijaksanaan. Itulah cabaran guru antara menjadi penjawat awam, rakyat biasa dan insan bijaksana contoh massa.


Bekerja Secara Ihsan (Siri akhir)



Impak  Ihsan dalam bekerja. 

Ihsan dalam bekerja akan memberikan impak atau hasil berbagai-bagai  dan manfaat yang besar, baik di dunia maupun di akhirat . Di antaranya adalah: 

  • Meraih kecintaan dari Allah SWT. Firman Allah " Dan berbuatlah ihsan. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat ihsan"(al-Baqarah:195)
  •  Meraih pahala yang besar dari Allah Ta'ala. Firman Allah " Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat ihsan" (as-Sh-Shaffat:121)
  • Penyertaan Allah. Seorang yang bekerja secara ihsan akan senantiasa mendapatkan pertolongan dan penyertaan dari Allah SWT sebagaimana firmannya " Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk mencari keridhaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat ihsan".(al-Angkabut:69)
  •  Ketenteraman batin. Apabila seseorang bekerja dengan ihsan maka hatinya akan tenteram kerana dia merasa telah melaksanakan apa yang menjadi kewajipannya dengan sebaik-baiknya. Berbeda dengan orang yang berbuat curang dan khianat dalam menjalankan tugas-tugasnya, maka akan muncul perasaan takut dan cemas, kalau-kalau perbuatan curangnya diketahui oleh pihak atasan atau rakan sekerjanya sehingga boleh membawa kepada pemecatan, pemotongan gaji dan sebagainya.
  • Seorang yang bekerja secara ihsan akan senantiasa mampu menciptakan kejayaan demi kejayaan, sehingga dia menjadi seorang yang mulia di sisi Allah dan di sisi masyarakat kerana dia telah berusaha dengan sebaik-baiknya sehingga dia akan mendapatkan pahala yang besar dari Allah dan juga menjadi teladan kebaikan kepada orang lain kerana dia telah berjaya dalam melakukan berbagai-bagai usaha yang dijalankannya. 

Thursday, June 21, 2012

Selamat Bersara Guru Besar SK Kuala Jengal, Dungun




Selamat Bersara Guru Besar SK Bintang, Setiu

Belasah guru


KUALA TERENGGANU: Seorang guru sebuah sekolah menengah di Chalok, Setiu, menerima lima jahitan di kepalanya apabila dibelasah seorang pelajar tingkatan lima yang berselisih faham dengannya, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, guru berusia dalam lingkungan 30-an itu dikatakan menegur pelajar berkenaan, menyebabkan remaja berkenaan berang dan bergegas pulang ke rumahnya sebelum mengambil sebatang cota.

Tidak lama kemudian, pelajar berusia 17 tahun terbabit kembali ke sekolah yang terletak kira-kira empat kilometer dari rumahnya bersama abangnya berusia 21 tahun dan seorang rakan abangnya berusia lingkungan 20-an.


Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani, berkata pelajar itu kemudian terus memukul gurunya di bahagian kepala dengan cota berkenaan menyebabkan guru lelaki terbabit rebah dalam keadaan kepalanya berlumuran darah.

Beliau berkata, orang ramai termasuk pengawal keselamatan sekolah yang menyedari kejadian kemudian membantu meleraikan pergaduhan itu dan guru berkenaan dikejarkan ke Hospital Setiu.


“Akibat kecederaan itu, guru berkenaan menerima lima jahitan di kepala. Dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu pada petang kejadian.

“Susulan laporan itu, polis menahan pelajar bersama dua lelaki terbabit. Siasatan kita juga mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah atau rekod jenayah lampau,” katanya.

Rohaizat berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ketiga-tiga suspek direman tiga hari bermula semalam.


Sumber : Harian Metro

USR Blogger Team : Perkara yang tidak sepatutnya berlaku tapi semakin kerap menimpa guru. Apakah menjadi guru satu kerjaya yang sudah tidak selamat dan mulia lagi ?


Wednesday, June 20, 2012

Kaunter baru Unit Sekolah Rendah

Alhamdulillah kaunter yang diimpikan telah siap dibina semalam. Para pelanggan yang ingin berurusan di Unit Sekolah Rendah, Jabatan Pelajaran Terengganu bolehlah berurusan melalui kaunter ini. Namun jika ada kes-kes yang sulit, penting dan mustahak mereka boleh berurusan dengan pegawai di Bilik Rundingcara di bahagian dalam.

Kita  berharap filisofi untuk " mempermudahkan urusan pelanggan dengan memberi perkhidmatan terbaik" akan menjadi amal praktik setiap staf Unit Sekolah Rendah.


Tuesday, June 19, 2012

Mesyuarat Penyelarasan JK Pengelola Kejohanan Kebitaraan Memanah SKK Kebangsaan

KUALA TERENGGANU - Semua sudah bersiap sedia. Begitulah dari laporan yang diterima dalam Mesyuarat Penyelarasan JK Pengelola Kejohanan Kebitaraan Memanah SKK Kebangsaan petang tadi. Mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh En. Zakariah bin Ali, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah diadakan di SMKA Sheikh Abdul Malik, Kuala Terengganu yang juga merupakan tuan rumah kejohanan yang akan berlangsung 24 - 28 Jun 2012 depan.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Timbalan Ketua Sektor Pendidikan Islam, Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusian, Pegawai dari Sektor Pengurusan Sekolah, Wakil MSSM Terengganu, Pengetua dan GPK SMKA Sheikh Abdul Malik dan ahli jawatankuasa terlibat. Cikgu Mohd Nor Ismail, GPKK Sheikh Abdul Malik yang juga selaku Pengurus Kejohanan menyampaikan taklimat dari pelbagai aspek dengan lengkap dan sempurna.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah yang berpuashati dengan persiapan mengajak semua jawatankuasa supaya berazam untuk melaksanakan penganjuran ini  dengan terbaik dan mencapai standard tinggi pengurusan dan penganjuran. Perasmian penutup dijangka disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Operasi) pada petang 27 Jun 2012.

Kita berharap, berusaha dan berdoa kalau minggu lepas pada Kejohanan Kebitaraan Olahraga SKK Kebangsaan di Kota Kinabalu, SMK Sultan Sulaiman merangkul naib juara maka pada Kejohanan Kebitaraan Memanah SKK Kebangsaan yang julung kali ini, SMKA Sheikh Abdul Malik bukan sahaja merangkul juara tetapi juga menjadi benchmark penganjuran terbaik kejohanan kebitaraan. Kita yakin Terengganu boleh !



Tahniah GPK SKK Fasa 1 - Fasa 3

 Tahniah ! Barisan GPK SK Sultan Sulaiman 1 
yang menerima kenaikan pangkat ke DGA34.

KUALA TERENGGANU - Hari telah terbukti janji kerajaan dan KPM untuk melaksanakan kenaikan pangkat khas pengurusan di SKK di mana Guru Besar diberi gred hakiki DGA38 dan semua GPK diberi gred hakiki DGA34. Urusan ini sedang dilaksanakan secara berperingkat dan terkini untuk SKK Fasa 1 hingga Fasa 3.

Pagi ini En. Zakaria Hussin, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu telah menyampaikan surat kenaikan pangkat kepada Guru-Guru Penolong Kanan SKK, SK Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang (SKK Fasa 2) dan SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu (SKK Fasa 3). SK Sultan Sulaiman 1 kini telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. Semua SKK Rendah dan Menengah, PPD dan beberapa orang Ketua Sektor menerima surat kenaikan pada pagi ini. Tahniah kita ucapkan.

Kita berharap kenaikan pangkat melalui laluan istimewa ini memberi dorongan kepada semua calon SKK Rendah dan Menengah yang sedang diverifikasi oleh Jemaah Nazir & Jaminan Kualiti sekarang untuk melaksanakan yang terbaik. Marilah sama-sama kita berdoa semoga rakan-rakan kita mampu menyediakan diri mereka dengan terbaik dan seterusnya menambah bilangan SKK Terengganu Anjung Ilmu.


Selamat Bersara Guru Besar SK RKT Seberang Tayor



Pertukaran dan Penempatan Guru Besar & GPK kuatkuasa 16 Jun 2012

KUALA TERENGGANU - Terima kasih kami ucapkan kepada pengunjung blog ini yang amat peka dan perihatin mengenai pertukaran pengurusan sekolah ini. Setelah kita menyiarkan Guru Besar dan GPK bertukar pada 1 dan 16 haribulan ramai yang tertunggu tarikh ini sama ada mereka yang sedang menyandang jawatan atau yang bakal dilantik. Apapun penyiaran senarai ini hanyalah sekadar makluman atau backup kepada surat rasmi kepada penyandang terlibat. Justru itu ianya disiar agak lewat sedikit dari tarikh kuatkuasa dengan keyakinan bahawa surat rasmi telah sampai ke tangan penerima dan tiada apa-apa perubahan atau pindaan lagi.

Walau bagaimanapun tahniah kami ucapkan kepada penyandang yang baru dilantik sebagai Guru Besar ataupun GPK. Untuk makluman hingga kini kita masih belum menerima senarai pemangkuan DGA32 ke DGA34 untuk pengisian Guru Besar bagi mengisi jawatan-jawatan Guru Besar yang dikosongkan. Kita berharap senarai berkenaan akan diturunkan dari Lembaga Naik Pangkat KPM dalam masa yang terdekat agar kita dapat mengisi semua perjawatan Guru Besar.

Kepada semua yang baru dinaikkan pangkat atau bertukar ke sekolah baru diucapkan " Selamat Bertugas" . Semoga kehandiran anda memberi impak kepada kecemerlangan sekolah. Surat-surat pertukaran dan tawaran boleh diperolehi di PPD masing-masing.

Klik Guru Besar dan GPK untuk melihat senarai lengkap.

Monday, June 18, 2012

Pemantauan Pengurusan Sekolah SK Pulau Perhentian

BESUT - Unit Sekolah Rendah telah melaksanakan pemantauan pengurusan sekolah di SK Pulau Perhentian, Besut, Terengganu pagi tadi. Rombongan terdiri daripada pegawai Unit Sekolah Rendah dan Penyelia Kanan PPD Besut diketuai oleh En.Zakariah bin Ali, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Terengganu. Mereka tiba di Pulau Perhentian petang semalam.

SK Pulau Perhentian adalah antara salah satu sekolah yang di kategori sebagai sekolah pedalaman di mana setiap guru dan kakitangan yang berkhidmat di sini menerima elaun khas pedalaman RM500 sebulan. Perjalanan dengan bot laju dari jeti Kuala Besut ialah 15 hingga 20 minit.

Banyak perubahan telah berlaku berbanding dengan lawatan kami terdahulu. Guru-guru nampak lebih ceria dan bersemangat di bawah pimpinan Guru Besar yang baru. Dua blok kuaters guru baru tersergam mengadap teluk antara Pulau Perhentian Kecil dan Taman Laut Pulau Perhentian Besar.

Ketua Sektor dalam taklimatnya  melahirkan rasa penghargaan terima kasih kepada semua warga sekolah dan mahu mereka melihat sudut pandang positif mengapa Allah mentakdirkan mereka mengajar di SK Pulau Perhentian. Beliau juga berbangga dengan ikatan dan kerjasama antara guru dan penglibatan guru dalam komuniti pulau. Beliau mahu semua guru sentiasa positif dan memberi khidmat terbaik kepada anak-anak pulau. Kemiskinan bukan alasan jitu untuk mengatakan anak-anak pulau tidak boleh berjaya. Tegas beliau YB Ecxo Kesihatan Negeri Terengganu adalah contoh personaliti unggul anak Pulau Perhentian yang berjaya.


Sunday, June 17, 2012

Mesyuarat Profesional Guru Besar Terengganu Kali-3


KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu melalui Unit Sekolah Rendah bersama Guru Besar Terengganu mengadakan Mesyuarat Profesional Guru Besar Terengganu kali ke 3 pada pagi tadi. Mesyuarat berkenaan telah diadakan di SK Kampung Baru Serada, Kuala Terengganu. Unit Sekolah Rendah diwakili oleh En. Jelani bin Sulong, Ketua Unit Rendah dan En. Mat Lazim @ Mahasan bin Noor, Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah.

Sementara perwakilan Guru Besar Terengganu diketuai oleh En.Mohd Radzali bin Abdullah, Pengurusi Majlis Guru  Besar Negeri dan semua jawatankuasa negeri. Antara perkara yang dibincangkan:
  •   Memperkasakan Profesionalisma Guru Besar
  •    Pengisian Perjawatan Guru Besar
  •    Aktiviti dan Kegiatan Memperkasakan Peranan Guru Besar
Ketua Unit Sekolah Rendah mencadangkan kepada Majlis Guru supaya dapat mengadakan program atau wacana yang boleh berkongsi pengalaman dan kemahiran di kalangan Guru Besar sendiri. Menurut beliau ramai Guru Besar kita yang berkebolehan dalam pelbagai bidang yang sangat wajar dicurahkan kepada rakan-rakan Guru Besar yang selain memperolehi input dari pelbagai sumber lain seperti Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.

Melalui mesyuarat professional seumpama ini banyak isu dapat diselesaikan secara kolektif dan bijaksana. Kita sangat yakin kemantapan hubungan Guru Besar dengan jabatan akan memberi impak besar kepada pencapaian prestasi keseluruhan persekolahan. Insyaallah.


Saturday, June 16, 2012

Makluman : Penggantungan Pelaksanaan Pekeliling SPP Bil 1 Tahun 2010

Di bawah ini kami petik kenyataan dari web Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran untuk makluman semua guru pjj berkaitan pelantikan tetap ke DG41 :

PENGGANTUNGAN PELAKSANAAN PEKELILING SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN BILANGAN 1 TAHUN 2010
Suruhanjaya dalam mesyuaratnya pada 28 Mei 2012 telah bersetuju untuk menggantung pelaksanaan Pekeliling Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Bilangan 1 Tahun 2010 yang bertajuk "Tarikh Pelantikan Tetap Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Yang Lulus Ijazah Sarjana Muda Melalui Program Pengajian Jarak Jauh" . Penggantungan pelaksanaan pekeliling ini adalah disebabkan masalah ketiadaan kekosongan jawatan bagi pelantikan ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41. Penggantungan ini berkuat kuasa serta merta sehingga isu kekosongan jawatan berkenaan dapat ditangani.

Muat naik pada 15 Jun 2012
Klik SPP 
 

Temuramah dengan PM sempena Hari Bapa

Friday, June 15, 2012

Dapatan undian : Ramai Guru Besar yang bagus


Kami ingin merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada para pengunjung blog ini iaitu seramai 60 orang yang telah membuat undiaan terhadap "standard" Guru Besar mereka. Setting yang kita tetapkan pengundi hanya boleh mengundi sekali sahaja kecuali mereka menggunakan IP yang berlainan. Pada kami mereka yang cuba mengundi berkali-kali bukanlah jenis yang cerdik dan kami yakin mereka yang mengundi  di sini adalah mereka yang ikhlas mengundi berasaskan pengamatan mereka terhadap Guru Besar mereka.

Dari pada 60 orang respondan yang membuat undiaan 9 orang @ 15% mengundi Terbilang. 13 orang @ 21% mengundi Cemerlang dan 23 orang @ 38% mengundi Baik. Sementara 9 orang @ 15% mengundi Sederhana dan 6 orang @ 10% mengundi bahawa Guru Besar mereka Lemah.

Jika kita mengukur standard Guru Besar "baik dan ke atas" bermakna 75% Guru Besar berada pada standard berkenaan dan 25% berada pada tahap Sederhana dan Lemah.Walaupun jumlah yang baik lebih tinggi daripada yang lemah namun fenomena ini agak membimbangkan. Justru itu adalah wajar sekali panel naik pangkat yang bermula dari PPD, JPN dan KPM memilih dan memperaku calon-calon Guru Besar yang benar-benar berwibawa, personaliti yang menarik, berilmu dan berkemahiran supaya standard pengurusan berada pada tahap 100%. Zaman sekadar mengisi borang permohonan dan disenaraikan dalam ranking pemangkuan sudah berakhir. Bahkan dalam Mesyuarat Bersama Jabatan, Pengarah Pelajaran berkali-kali mengingatkan Guru Besar dan PPD agar berhati-hati dalam menilai prestasi agar penilaian benar-benar tepat dan penuh integriti.

Kita percaya Guru Besar yang baik, cemerlang dan terbilang dinilai oleh anak buah mereka berasaskan perkara-perkara berikut:
  1. Personaliti yang kemas dan menarik
  2. Berilmu dan berkemahiran dan bidang pengurusan
  3. Cekap dalam membuat keputusan
  4. Berlaku adil dalam semua perkara
  5. Komunikasi berhemah dan berkesan
  6. Jujur dan penuh integriti
  7. Menghargai kakitangan bawahan
  8. Bersemangat
  9. Berwawasan 
  10. Berfikiran terbuka dan bijaksana
Semoga melalui undian ini Guru Besar dapat muhasabah diri dan membuat penambahbaikan agar mereka sentiasa dikagumi, dihargai dan diperlukan oleh warga sekolah.

Kebijaksanaan : Jimatkan masa, tenaga dan kos

Lima ekor sang harimau yang gagah perkasa untuk memburu seekor ayam mata dene..menifestasi untuk kita berintrospeksi (muhasabah) bahawa seringkali kita membazir masa, tenaga dan kos dalam melaksanakan kerja-kerja yang bukan keutamaan berbanding kerja utama, penting dan mustahak. Seekor ayam bahagi lima lekat celah gigi jer beb..lebih baik cari kerbau balau.

Kita barangkali telah buat sedaya upaya untuk sekolah kita cemerlang dan terbilang tetapi tetap ditakuk lama. Mungkin berlaku kesilapan strategi dan fokus yang mencapah. Perlu selidik dan kaji mengapa? Strategik bijaksana , fokus tepat, strategi mampat, output berganda impaknya. Kita perlu mengkaji dan menggali kerana kunci kejayaan ada dalam diri kita sendiri. Apalagi pemimpin yang bijaksana ia mampu mencorak situasi bukan situasi yang mempengaruhi stail gaya dan visinya.

Kita seringkali terbaca atau mendengar ungkapan ini..

Orang yang biasa-biasa, hanya tahu berceritera,
Orang yang berjiwa kecil, hanya tahu melihat kehebatan orang lain
Orang yang berotak kecil, hanya tahu menceritakan kehebatan diri sendiri
Orang yang berjiwa besar, sentiasa mempunyai idea dan iltizam yang besar

Renungan Jumaat : Bekerja secara ihsan (Siri 2)


Faktor-faktor yang mendorong sikap ihsan dalam bekerja. 

Ada banyak faktor yang mendorong seorang manusia mukmin untuk bekerja secara ihsan. Di antaranya adalah: 

a.    Muraqabatullah.

Iaitu kesedaran bahwa Allah senantiasa melihat dan mengawasi setiap ucapan dan tindakan kita sehingga kita lebih berhati-hati dalam berusaha dan hanya melakukan yang baik serta dengan cara yang baik. Ini adalah hakikat ihsan sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis " Ihsan adalah apabila engkau beribadah kepada Allah seakan-akan kamu melihatnya. Jika kamu tidak melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu"

b.    Menyedari bahwa ihsan adalah perintah Allah.

Faktor lain yang boleh menumbuhkan sifat ihsan dalam bekerja pada diri kita adalah kesedaran bahwa ihsan adalah pertintah Allah yang wajib dilaksanakan. Firman Allah " Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu berlaku adil, berbuat ihsan dan memberi sedekah kepada kaum kerabat." (an-Nahl:90)

c.    Kesedaran bahwa kita akan mendapatkan balasan sesuai dengan amal perbuatan yang kita lakukan.

Jika melakukan kebaikan maka kita akan mendapatkan balasan kebaikan di dunia dan akhirat. Jika melakukan keburukan, maka kita akan mendapatkan balasan yang buruk juga. Rasulullah saw bersabda " Sebagaimana kamu memperlakukan maka begitu juga kamu akan diperlakukan." (HR.Ibnu 'Adil)

d.    Kebersihan hati.

Kerana ucapan dan tindakan yang baik tidak akan keluar kecuali dari hati yang baik dan bersih. Hati yang kotor hanya akan mengeluarkan ucapan dan tindakan yang kotor dan jahat. Kerana hati adalah ibarat bejana yang akan mengeluarkan sesuatu sesuai dengan isinya. Jika berisi racun maka yang keluar adalah racun. Jika berisi susu atau pun madu, maka yang keluar juga madu atau susu.

e.    Ilmu dan kemampunan untuk menerapkannya.

 Pengetahuan yang mendalam tentang apa yang akan dikerjakan dan adanya kemampuan untuk mengaplikasikannya sering kali menjadi faktor yang mendorong seseorang untuk bekerja secara ihsan. Ilmu yang tidak disertai dengan kemampuan atau kemampuan yang tidak di dasari ilmu pengetahuan tidak akan mampu mewujudkan ihsan dalam bekerja. Kerana kedua syarat yang dimiliknya ini, Nabi Yusuf as berani menawarkan diri sebagai bendaharawan Negara dan berhasil melaksakan tugas berat ini dengan sangat  baik. Firman Allah " Berkata Yusuf:" Jadikanlah aku sebagai bendahawaran Negara. Sesunguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan." Dan demikianlah kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir, dia berkuasa penuh pergi menuju ke mana saja dia kehendaki di bumi Mesir itu. Kami melimpahkan rahmat Kami kepada siapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berlaku ihsan" (Yusuf:55-56)


f.     Penyertaan dan dokongan daripada orang-orang yang menghendaki kebaikan.

Tanpa adanya dokongan orang ramai maka sukar untuk menwujudkan sifat ihsan dalam bekerja. Oleh kerana itulah, Allah swt berfirman " Dan tulong menolonglah kamu dalam kebajikan dan takwa dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Sesungguhnya Allah amat berat siksanya" (al-Maidah:2)


Thursday, June 14, 2012

Kejohanan Kebitaraan Memanah SKK Peringkat Kebangsaan 2012

Kejohanan Kebitaraan Memamah SKK Peringkat Kebangsaan 2012 akan diadakan sebagaimana butiran berikut:

  • Tarikh : 24 hingga 28 Jun 2012
  • Tempat : SMKA Sheikh Abdul Malik, Kuala Teregganu
Sekolah-sekolah terlibat:
      
BIL
KOD SEKOLAH
NAMA SEKOLAH
FASA
1
WEB0223
SMK St. John, Kuala Lumpur
1
2
TRA3002
SMKA Sheikh Abdul Malek, Terengganu
1
3
BBD0084
SJK (T) Simpang Lima, Klang
1
4
BRA4003 (2)
SM Agama Persekutuan, Kajang
2
5
KEE7017
SMK Dato' Syed Ahmad,Kuala Nerang
3
6
KEE8018
SMK Sik, Kedah
3
7
DRA3001
SMKA Lati Kelantan
4
8
BRA4001
SMKA Maahad Hamidiah, Selangor
5
9
KRA8001
SMK Agama Sik, Kedah
5

Sekolah-sekolah SKK atau calon SKK yang memilih kebitaraan memanah di negeri Terengganu dijemput menyaksikan kejohanan dan  memeriahkannya.


SK Maktab Perguruan calon SKK dan SBT

KUALA TERENGGANU - SK Maktab Perguruan Kuala Terengganu yang terletak di dalam zon kampus IGPM Dato' Razali Ismail antara salah satu sekolah Terengganu selepas SK Tengku Mahmud 2 yang menerima pencalonan SKK dan SBT. Tahniah! Bukan semua dan sembarangan sekolah menerima penghormatan sedemikian.

Namun dari enam buah sekolah rendah tercalon SBT dan dua belas buah tercalon SBT, SK Maktab Perguruan Kuala Terengganu yang dipimpin oleh En.Kabidi Mohamed juga telah meraih anugerah Tawaran Baru Kepimpinan Sekolah (New Deals) bagi tahun 2010 dan 2011. Kewujudan sekolah ini adalah hasil ilham dan usaha Allahyarham Dato' Haji Razali Ismail,mantan Timbalan Menteri Pelajaran dan antara sekolah seumpama itu yang ada di Malaysia  selain sebuah lagi di Perlis.Ianya merupakan sekolah untuk orientasi pengalamian bakal guru menghayati situasi dan realiti sebenar persekolahan. Itulah antara tujuannya.

Walaupun agak baru, namun SK Maktab Perguruan telah menunjukkan taring dan aura kehebatan sama ada prerstasi akademik dan kokurikulum seperti sukan memanah. Sukan memanah adalah bidang kebitaraan pilihan sekolah ini. Ianya nyata terzahir melalui mercu tanda yang ada di sekolah ini.

Kejayaan sekolah ini berkait rapat dengan  komitmen pasukan pengurusan serta ikatan organisasi yang mantap. Majoriti guru walaupun tujuh puluh peratus perempuan tetapi mempunyai tenaga yang hebat kerana masih muda. Kita sangat yakin melalui sikap, semangat,pengetahuan dan kemahiran yang ada guru-guru
yang hebat ini mampu melonjakkan sekolah ini menjadi SBT atau SKK  yang terbilang nanti. Apalagi dengan fasiliti yang lengkap dan sempurna fokus utama ialah membina budaya dan semangat cintakan kejayaan dan kecemerlangan.

Tahniah kita ucapkan kepada SK Maktab Perguruan Kuala Terengganu kerana berani menyahut cabaran dan membina tranformasi baru yang lebih bermakna. Selamat Maju jaya SK Maktab Perguruan.



Wednesday, June 13, 2012

SMK Sultan Sulaiman Naib Juara!!!

KOTA KINABALU - SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu menjadi naib juara keseluruhan di Kejohanan Kebitaraan Olahraga Sekolah Kluster Kecemerlang Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kompleks Sukan Penampang, Kota Kinabalu. Kejohanan yang julung kalinya diadakan itu telah bermula semalam dan berakhir dengan perasmian penutup tengahari tadi.

SMK Sultan Sulaiman yang memperolehi 14 emas, 13 perak dan 3 gangsa berada di belakang tuan rumah yang juga sekolah sukan iaitu SMK Dato' Peter Mojuntin, Penampang yang merangkul 17 emas. SMK Sultan Sulaiman yang menghantar peserta seramai 20 orang telah mengejutkan pasukan yang bertanding dengan merangkul 11 emas pada hari pertama. Menurut jurulatih dan juga guru pengiring SMK Sultan Sulaiman , Cikgu Tan Teck Siong dan Cikgu Nur Shuteena Nye Abdullah kebanyakan peserta adalah barisan pelapis olahraga. Seorang peserta lelaki dan seorang peserta perempuan dipilih sebagai peserta terbaik kejohanan.

Menurut Tuan Haji Rosland Husain, Pengarah Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan semasa menyampaikan ucapan penutupan kejohanan yang mewakili Timbalan Pengarah Pelajaran (Operasi) berkata kebanyakan sekolah yang memilih kebitaraan olahraga telah membuktikan kehebatan apabila semuanya ada mengondol pingat emas di kejohanan prestej seperti Sukma dan MSSM. Beliau berharap melalui kejohanan kebitaraan seumpama ini ianya akan lebih menyerlahkan lagi pencapaian peserta SKK di kalangan mereka dan khalayak umum.

Apapun kita ucapkan tahniah dan syabas kepada SMK Sultan Sulaiman yang berjaya mengharumkan nama sekolah, jabatan dan negeri Terengganu. Semoga pada kejohanan sama tahun hadapan SMK Sultan Sulaiman bakal menjadi juara....