Sunday, June 24, 2012

Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik

KEMAMAN - "Murid-murid kita sangat mempercayai guru berbanding dengan pihak lain justru melalui kempen yang menyampaikan ilmu dan kemahiran sangat efektif jika diperkukuhkan oleh guru untuk menyampaikan input berkenaan terus kepada murid-murid. Selain itu prosidur keselamatan hendaklah menjadi amalan setiap kali ada perhimpunan di sekolah sehingga perkara berkenaan sebati dengan jiwa murid. Kalau belum bermula kita mulakan sekarang " demikian antara lain ucapan penting En. Zakaria  Hussain, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu sewaktu merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik Peringkat Negeri Terengganu .

Majlis perasmian kempen berkenaan diadakan di Dewan SMK Kampung Baru Kertih, Kemaman pagi tadi.Turut hadir Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Pegawai JPN, Pegawai dari PPD Dungun dan Kemaman. Pegawai-pegawai Kanan Tenaga Nasional Berhad, Pengetua dan Guru Besar daerah Dungun dan Kemaman serta para pelajar. Turut dijemput ialah Sekolah Angkat TNB iaitu SK Paka 3, SK Kuala Berang, SK Pengkalan Berangan.

Sebelum ucapan perasmian Yang Berbahagia Datuk Rozimi, Naib Presiden Penghantaran TNB mewakili Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif TNB dalam ucapannya berbangga dan berpuashati dengan kerjasama yang diberikan oleh Jabatan Pelajaran Negeri, PPD dan sekolah bagi menjayakan kempen ini. Sebagai tanda penghargaan beliau mencadangkan pada masa depan Terengganu akan menjadi pilihan utama TNB bagi melaksanakan program khidmat sosial. Menurut beliau tahun ini adalah tahun keenam TNB melaksanakan program kempen ini.

Sementara itu Pengarah Pelajaran Terengganu juga merakamkan setinggi penghargaan terima kasih atas usaha-usaha menyokong pendidikan dengan menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan selaras dengan prinsip pembangunan pendidikan yang menjadi tanggungjawab semua pihak.

Berbagai aktiviti telah diadakan sempena kempen ini seperti ceramah, pameran, kuiz dan sebagainya. Apa yang penting dan diharapkan kempen ini dapat membangkitkan kesedaran tentang cara mengguna dan mengurus elektrik dengan selamat khususnya di kalangan murid-murid kerana murid-murid menduduki hiraki ketiga dalam statistik kemalangan dan bencana akibat kecuaian mengguna dan mengurus elektrik.



No comments:

Post a Comment