Friday, June 8, 2012

SPA Ke Sekolah Dan IPT Beri Penerangan Peluang Kerja Sektor Awam: Mahmood


PUTRAJAYA, 8 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi akan turun padang ke sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk sesi penerangan kepada para pelajar berhubung pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor awam.

Pengerusinya Tan Sri Mahmood Adam berkata lawatan itu akan diadakan dalam masa terdekat untuk menarik minat mereka berkhidmat sebagai penjawat awam sebaik menamatkan pembelajaran.

Mahmood berkata masih banyak pihak belum tahu kemudahan-kemudahan yang dinikmati penjawat awam antaranya peluang kenaikan pangkat, pinjaman perumahan, kenderaan dan komputer serta peluang melanjutkan pelajaran yang ditanggung kerajaan.

"Dengan sesi penerangan itu, kita harap minat itu bertambah. Kita pun sudah sampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau setuju minta kita turun ke bawah 'go to the ground' berjumpa dengan pelbagai pihak untuk memberi penerangan.

"Perdana Menteri juga mahu supaya penjawat awam yang akan dilantik ini nanti seorang yang profesional, berinisiatif, proaktif, berfikiran terbuka dan positif," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog SPA bersama kementerian, jabatan dan pentadbiran negeri-negeri di bawah bidang kuasa SPA di sini Jumaat.

… BERNAMA


No comments:

Post a Comment