Thursday, June 28, 2012

Standard Baru Kualiti Pendidikan


BANGI: Mulai tahun depan, penilaian prestasi sekolah mengguna pakai Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2010 (SKPM 2010) berbanding versi SKPM 2003, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, penggunaan standard baru berbanding versi lama bagi memastikan kaedah penilaian terhadap sekolah dilaksanakan secara telus, terperinci sistematik dan jujur berdasarkan penarafan kendiri.

“Penilaian menggunakan instrumen baru ini lebih tepat dan objektif. Kementerian juga melaksanakan program latihan berterusan ke arah memastikan usaha melatih pengetua dan guru besar dapat dilaksanakan.

“Sukacita saya mencadangkan kepada semua pemimpin sekolah untuk meningkatkan ilmu dan kepakaran masing-masing dalam bidang pendidikan terutama dalam bidang penarafan kendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Tawaran Baru Kepada Pengetua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan 2011 di Hotel Equatorial di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, Muhyiddin turut menyampaikan sijil penghargaan dan sub waran berjumlah RM10 juta kepada 125 pengetua sekolah menengah sebagai ganjaran mereka mencapai sasaran Tawaran Baru menerusi NKRA Kementerian Pelajaran.

Pengenalan Tawaran Baru adalah pengiktirafan kepada Pengetua dan Guru Besar dalam usaha mereka melonjakkan kecemerlangan sekolah dengan penilaian dibuat berasaskan kombinasi pencapaian akademik, kokurikulum dan elemen-elemen lain yang memberi impak dalam kemenjadian murid.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud dan Ketua Nazir Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pelajaran, Datuk Misrah Ibrahim

- Harian Metro

No comments:

Post a Comment