Thursday, June 28, 2012

10,675 Warga Pendidik Terima Ganjaran RM10 Juta Bagi Prestasi Cemerlang


BANGI, 27 Jun (Bernama) -- Seramai 10,675 warga pendidik dan kumpulan sokongan daripada 124 sekolah menengah di seluruh negara hari ini menerima ganjaran sebanyak RM10 juta bagi pencapaian cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum pada 2011.

Ganjaran di bawah bidang keberhasilan utama negara (NKRA) pendidikan itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Anugerah Tawaran Baru Kepada Pengetua 2011, di sini.

Ketika berucap, Muhyiddin melahirkan rasa gembira dengan pencapaian 124 buah sekolah atau 5.51 peratus itu yang melebihi sasaran 4 hingga 5 peratus daripada 2,248 sekolah menengah yang ditetapkan di bawah Sub NKRA pada tahun lepas untuk menerima ganjaran itu manakala semua pengetua yang terlibat juga melepasi semua saringan termasuk tiada audit berteguran dan tiada kes tatatertib.

"Apa yang membanggakan kita semua ialah usaha kerajaan untuk merapatkan jurang dan menyamaratakan peluang pendidikan berkualiti antara bandar dan luar bandar juga nampaknya telah membuahkan kejayaan.

"Ini terbukti apabila 54 peratus iaitu 67 buah sekolah luar bandar berjaya menerima ganjaran tawaran baru ini dari keseluruhan 124 sekolah yang terpilih," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata pada Mac lalu, ganjaran RM15.6juta diberikan kepada 403 buah sekolah daripada 7,648 buah sekolah rendah di seluruh negara bagi tujuan yang sama.

Timbalan Perdana Menteri juga berbangga dengan prestasi sekolah agama apabila sebanyak 18 buah sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan dipilih menerima ganjaran itu berbanding empat buah pada 2010.

"Peningkatan lebih dua kali ganda ini amat membanggakan KPM. Manakala sebanyak 19 buah sekolah dalam kategori lonjakan perdana telah melonjak sebanyak 500 tempat dan ke atas dalam kedudukan rangkingnya berbanding sasaran lonjakan yang diperlukan iaitu 300 tempat sahaja," katanya.

Pencapaian dua buah sekolah begitu menakjubkan dengan lonjakan lebih daripada 1,000 kedudukan iaitu Sekolah Menengah Agama Tarbiah Islamiah Pulau Pinang sebanyak 1,555 lonjakan dan Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak Kedah sebanyak 1,202 lonjakan, katanya.

"Dan yang lebih membanggakan lagi peningkatan yang ditunjukkan oleh Sekolah Menengah Seri Kembangan, Selangor yang telah membuat lonjakan drastik sebanyak 1,399 dalam kedudukan ranking bagi sekolah berenrolmen besar," katanya.

Bagi meneruskan kecemerlangan itu, beliau mahukan pengetua dan guru besar supaya lebih berwibawa dan berinovasi dalam merancang, menyelaras, memantau serta menilai aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan generasi yang berkemampuan.

Muhyiddin berkata sebagai pemimpin sekolah dan ejen perubahan, mereka perlu mengikuti perkembangan terkini, memajukan diri dan sentiasa memikirkan penambahbaikan kepimpinannya yang berorientasikan pengurusan yang lebih baik.

"Kejayaan pengetua dalam merancang,menyelaras, memantau dan menilai aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan membolehkan pencapaian matlamat visi dan misi sekolah yang diterjemah selaras dengan visi, misi dan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia".

Katanya,pengurusan dan kecemerlangan pengetua dan guru besar yang mantap dan jitu pastinya menentukan prestasi akademik dan kokurikulam pelajar yang membanggakan.

Beliau juga menyarankan semua pengetua dan guru besar sekolah agar meningkatkan ilmu dan kepakaran dalam bidang pendidikan terutama dalam penarafan kendiri sekolah seperti yang dilaksanakan di beberapa buah negara maju untuk meningkatkan prestasi sekolah.

Tegasnya, kerajaan begitu serius dalam melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara bagi memastikan kerelevannnya dan memberi kesan yang lebih baik.

-- BERNAMA

0 ulasan:

Post a Comment