Thursday, June 21, 2012

Belasah guru


KUALA TERENGGANU: Seorang guru sebuah sekolah menengah di Chalok, Setiu, menerima lima jahitan di kepalanya apabila dibelasah seorang pelajar tingkatan lima yang berselisih faham dengannya, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, guru berusia dalam lingkungan 30-an itu dikatakan menegur pelajar berkenaan, menyebabkan remaja berkenaan berang dan bergegas pulang ke rumahnya sebelum mengambil sebatang cota.

Tidak lama kemudian, pelajar berusia 17 tahun terbabit kembali ke sekolah yang terletak kira-kira empat kilometer dari rumahnya bersama abangnya berusia 21 tahun dan seorang rakan abangnya berusia lingkungan 20-an.


Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani, berkata pelajar itu kemudian terus memukul gurunya di bahagian kepala dengan cota berkenaan menyebabkan guru lelaki terbabit rebah dalam keadaan kepalanya berlumuran darah.

Beliau berkata, orang ramai termasuk pengawal keselamatan sekolah yang menyedari kejadian kemudian membantu meleraikan pergaduhan itu dan guru berkenaan dikejarkan ke Hospital Setiu.


“Akibat kecederaan itu, guru berkenaan menerima lima jahitan di kepala. Dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu pada petang kejadian.

“Susulan laporan itu, polis menahan pelajar bersama dua lelaki terbabit. Siasatan kita juga mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah atau rekod jenayah lampau,” katanya.

Rohaizat berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ketiga-tiga suspek direman tiga hari bermula semalam.


Sumber : Harian Metro

USR Blogger Team : Perkara yang tidak sepatutnya berlaku tapi semakin kerap menimpa guru. Apakah menjadi guru satu kerjaya yang sudah tidak selamat dan mulia lagi ?


1 comment:

  1. Agaknya kesan pemakanan juga ye. Cepat hot, naik angin dsb.mungkin makan burger, hot dog kuat sangat kot. Tapi guru2 dah sewajarnya dibekalkan kaedah komunikasi berkesan.kalau fesyen budak yang agak samseng sikit, lain cara tegurnya....

    ReplyDelete