Friday, June 8, 2012

Renungan Jumaat : Bekerja secara ihsan (Siri 1)


Mengikut Kamus Pelajar  Edisi Kedua, Ihsan ialah perbuatan yang baik ,kemurahan hati dan kebajikan. Sementara Bekerja secara ihsan berasaskan hadis Nabi S.A.W yang bermaksud" Sesungguhnya Allah mencintai seorang pekerja apabila bekerja secara ihsan" (Diriwayatkan Baihaqi dan Thobrani )
Sebahagian ulama menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan bekerja secara ihsan adalah bekerja dengan memenuhi syarat-syarat berikut: 

a.    Kerja dengan ikhlas

Bekerja secara ihsan adalah bekerja dengan mengharapkan pahala dan ridha dari Allah S.W.T. Dia akan melaksanakan pekerjaannya dengan sepenuh hati, baik ketika berada di khalayak ramai maupun ketika berada sendirian sehingga dia boleh menghasilkan yang terbaik. Rasulullah S.A.W bersabda " Sebaik-baik usaha adalah usaha tangan seorang pekerja apabila dia mengerjakannya dengan tulus" (HR. Ahmad)

b.    Kerja bersungguh-sungguh.

Bekerja secara ihsan juga berarti bekerja dengan bersungguh-sungguh dengan segenap tenaga yang dimilikinya secara maksima. Kerana hanya dengan kesungguhan dan  tenaga secara optima maka seseorang akan mampu mencapai hasil yang optima. Firman Allah S.W.T " Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk mencari jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat ihsan" (al-Angkabut:69)

c.    Kerja berlandaskan ilmu.

Bekerja secara ihsan juga berarti bekerja dengan berlandaskan ilmu kerana kerja yang tidak dilandasi dengan ilmu akan lebih banyak merosakkan daripada memperbaiki seperti yang dikatakan 'Umar bin Abdul Aziz. Dengan landasan ilmu, seseorang akan mampu bekerja secara efisen dan efektif sehingga boleh menjimat tenaga dan kos namun tetap mencapai hasil yang maksima dengan rasiko yang rendah.

d.    Kerja sehingga selesai

Seorang muslim dikatakan telah bekerja secara ihsan apabila dia telah mengerjakan apa yang menjadi kewajipannya sehingga selesai dan tidak menghentikan pekerjaannya untuk mengerjakan aktiviti-aktiviti lain sebelum sempurna mengerjakannya. Allah berfirman " Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan janganlah kamu membatalkan amal-amalmu." (S.Muhammad:33) 

Semoga  bekerja secara ihsan  menjadi budaya dan cara hidup bekerja kita agar rezeki yang diperolehi benar-benar “bersih”. Mudah-mudahan dengan kebersihan rezeki itu akan membentuk jiwa kita yang tenang dan bahagia menjalani kehidupan dunia untuk ke akhirat.


No comments:

Post a Comment