Hari ni dah 31 Mei rupanya. Tidak sedar masa berlalu dengan pantas. Terasa pantas kerana banyak urusan penting belum selesai di saat pertengahan tahun sudah menjengah. Mungkin bagi setengah-setengah orang tidak begitu. Maka barangkali pantas atau lambat bukan peralihan minit,jam,hari dan bulan tetapi ialah bagaimana ruang-ruang itu diisi dan dihabisi. Justru agaknya masa hanyalah tanggapan dan ilusi pemikiran kita.
Apapun bulan Mei seperti mana kata Timbalan Pengarah dalam Perhimpunan Jabatan yang kelima adalah bulan yang paling banyak hari penghormatan. Bermula 1 Mei Sambutan Hari Pekerja atau "Labour Day". Hari di mana penjawatan awam dan swasta atau siapa sahaja yang dikategorikan sebagai pekerja diraikan dan diberi penghormatan bagi menghargai jasa dan sumbangan kepada pembangunan negara.Hari ini juga hari semua pekerja khusunya penjawat awam berterima kasih , mengangkat sepanduk menyokong dan bersyukur kepada "goverment on the day". Apalagi hingga hari ini setiap bulan tidak pernah mesin ATM menyekat duit gaji kakitangan awam. Bayangkan jika duit gaji keluar separuh atau tidak keluar langsung. Namun biasalah tabiat manusia yang baik dan bagus payah hendak disebut tapi kalau yang dia rasa susah,payah,perit seluruh dunia dilalakkannya.
Pada Ahad kedua bulan Mei dirayakan pula Hari Ibu. Hari kita menghargai dan mengenang jasa dan pengorbanan ibu kita apalagi saat melahirkan kita di "labour room". Melahirkan seorang anak di labour room yang kemudiannya menjadi pekerja adalah satu saat perjuangan yang hebat. Satu survival yang kritikal. Justru itu Hari Pekerja dan Hari Ibu yang ada hubungkait dengan "Labour" adalah sebenarnya hari mengingati perjuangan dan meraikan kesyukuran kemenanagan. Hari yang sewajarnya dihayati untuk memperbaharui tekad melakukan transformasi ke arah yang lebih baik untuk menjadi ibu yang lebih baik, anak yang lebih taat dan pekerja yang lebih produktif.
16 Mei pula hari meraikan para pendidik atau Hari Guru. Hari Guru bukanlah hanya sekadar mengucapkan "Terima kasih cikgu" tapi adalah hari untuk setiap insan yang berjaya dan menjadi dewasa menghargai jasa guru kerana sejarah bagaimana mereka berjaya bermula mengenal huruf dan angka daripada seorang guru biasa yang dengan lembut sabar mengajar tulis - baca. Tidak kiralah ibunya, guru tadika, guru sekolah mereka adalah guru tersanjung yang sewajarnya dihormati, dibela nasibnya bukan diperlekeh dan naif kepedulian daripada murid yang sedang berkuasa yang pernah dididiknya. Mantan murid pula bukan sembarangan ada yang jadi hakim,peguam, pegawai tadbir, ahli politik dan bermacam-macam lagi.
Bulan Mei juga adalah hari meraikan kaum belia pewaris bangsa atau Hari Belia. Memuliakan belia melalui kecaknaan mendidik dan membina pewaris bangsa dituntut oleh agama. Mahu tidak mahu mereka adalah masa depan agama,bangsa dan negara yang wajib kita tatang dan jaga. Selain itu bulan Mei juga diraikan Hari Wesak ,hari terpenting bagi penganut agama Budha. Hari meraikan dan menghormati kelahiran dan kematian Gautama Budha. Hari Wesak melambangkan hari kebebasan,kasih sayang dan perdamaian di mana pada hari itu penganut Budha melepaskan merpati dan memberi makan fakir miskin.
Kesimpulannya bulan Mei banyak terdapat hari-hari untuk memberi penghormatan kepada mereka gigih berjuang, meraikan kejayaan perjuangan dan mensyukuri nikmat yang diperolehi hasil daripada perjuangan.Hari-hari ini juga adalah hari mengenang budi dan jasa. Hari yang sepatutnya mengangkat mereka ke tahap lebih baik,mulia dan dihormati. Hanya mereka yang sombong, angkuh, bongkak dan tidak mengenang budi tidak merasakan kehadiran hari-hari keramat ini.
No comments:
Post a Comment