Berbeza dengan masyarakat barat yang menggalakkan anak-anak mereka meneroka dan mencuba sesuatu berasaskan "pengalamian pembelajaran" atau "experiencing learning". Mereka mungkin membiarkan kali pertama anak menyentuh api. Apabila terasa panas anak itu pasti menangis. Anak belajar sesuatu bahawa api itu panas. Lain kali mereka tidak akan sewenangnya menyentuh api. Mereka memperolehi satu tanggapan pemikiran berasaskan pengalaman benar yang dilalui.
Anak-anak kita yang kaya dengan bakat dan kebolehan terkadangnya dikuburkan dengan larangan ketakutan. Lantas anak kita bila dewasa takut untuk bertindak. Takut untuk gagal. Takut untuk menerima cabaran. Mereka berjiwa kecil. Kerdil daya saing. Terkurung dalam penjara perasaan atau pemikiran gelap yang kita cipta sejak kecil.
Tahniah kepada angkasawan negara Dato' Dr Sheikh Muszaphar kerana telah melatih dan membiasakan anak yang baru tumbuh gigi dengan menyelam dan berenang. Inilah cara melatih dan mendidik juara. Melenturnya biar dari rebung. Bukan sahaja sifat dan kemahiran fizikal tetapi juga spritual serta pemikirannya. Dari rebung diasuh dan diajar menjadi berani, gigih, cekal dan penuh keazaman.
Mudahan-mudahan cetusan ringkas ini membuka minda kita khasnya guru-guru kita bahawa kaedah pendidikan paling berkesan, efektif dan kekal di jiwa anak-anak ialah melalui "pengalamian dalam pembelajaran". Oleh itu guru seharusnya membimbing dan murid sewajarnya berbuat atau melaksanakannya.
No comments:
Post a Comment