Tuesday, May 8, 2012
Menjelang Hari Guru : Berilah peluang guru meraikannya
16 Mei 2012 menjelang lagi. Tarikh keramat bagi seluruh kaum guru untuk meraikan hari yang dikhaskan oleh kerajaan untuk mereka; Hari Guru. Kita percaya hari berkenaan dinantikan oleh seluruh warga guru. Pertama menantikan pengumuman penambahbaikan perkhidmatan dan insentif oleh kerajaan. Kedua untuk meraikan hari berkenaan bersama-sama rakan dan para pelajar yang mereka kasihi dan sayangi.
Walau bagaimanapun sebagai mana tahun-tahun sudah kita mendengar runggutan dan suara hati khususnya pengurusan sekolah ataupun guru yang terlibat bahawa mereka diarahkan menghadiri mesyuarat, kursus, bengkel yang dianjurkan oleh PPD atau Jabatan Pelajaran Negeri ataupun terlibat dengan peperiksaan pengajian di mana-mana IPGM pada detik dan tarikh keramat itu. Mereka melahirkan rasa terkilan dan kesayuan kerana tidak berkesempatan untuk meraikan Hari Guru bersama-sama rakan dan anak didik pada tarikh berkenaan. Apalagi kalau sekolah kecil, bila beberapa orang guru terlibat maka ianya boleh merubah suasana seumpama langit pada musim tengkujuh. Mereka sedih kerana seolah-olah pihak atasan apalagi mereka yang mendokong dasar pendidikan sendiri tidak sensitif dan peka dengan makna keramat "Hari Guru" itu sendiri.
Mereka bukan meminta Hari Guru untuk cuti atau hari untuk rehat tidak bekerja. Mereka hanya minta pada 16 Mei 2012 sebagaimana arahan biasa Kementerian Pelajaran Malaysia agar semua sekolah menyambut hari guru,mereka diberi peluang untuk bersama-sama meraikannya dengan mengecualikan aktiviti yang memaksa mereka berpisah dengan sekolah, berpisah dengan rakan, berpisah dengan murid dan berpisah dengan hari bersejarah itu.
Kita berharap semua pihak sama ada PPD, JPN atau mana-mana pihak yang ada hubungkait dengan pendidikan agar dapat meluangkan 16 Mei 2012 nanti dengan menyediakan peluang kepada semua guru untuk berada di sekolah supaya mereka dapat meraikan Hari Guru dengan penuh keseronokan dan semangat kasih sayang. Kita percaya jika kita mampu memberi peluang istimewa ini mereka pastinya mampu memberi yang terbaik kepada kita kemudiannya. Kita mahu biarlah semua guru merasai "roh" Hari Guru dengan sebenarnya kerana kita tidak tahu mungkin Hari Guru 2012 ini akan menjadi Hari Guru terakhir buat mereka.
Kita berharap pihak sekolah juga mampu merancang perayaan Hari Guru diperingkat sekolah dengan teliti agar pelaksanaannya juga memberi makna pada guru dan pelajar. Barangkali kita perlu banyak penambahbaikan dari tahun-tahun sebelumnya agar guru-guru yang diberi peluang untuk bersama-sama meraikannya merasa berbaloi. Banyak kaedah dan cara sambutan Hari Guru di peringkat sekolah yang boleh difikir dan dilaksanakan. Apa yang penting perayaan Hari Guru pada tahun ini memberi makna penuh kenangan dan membawa transformasi untuk menjadikan kita sebagai " The Great Teacher"
Selamat Hari Guru 2012, " Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Nak sambut hari guru, tp guru jgk yg kna bayar....
ReplyDeleteHehehe semoga tidak jatuh miskin dengan sumbangan kepada Hari Guru itu...
ReplyDeleteSemoga bertambah rezki.. Doa orang teraniaya makbul..
ReplyDelete