Wednesday, May 16, 2012

Sambutan Hari Guru di sekolah angkat

KUALA TERENGGANU - Kita percaya semua sekolah di seluruh negara mengadakan sambutan Perayaan Hari Guru peringkat sekolah masing-masing. Walau bagaimanapun tidak semua guru dan pelajar berkesempatan merayakannya kerana ada sebilangan mereka terlibat dengan aktiviti tertentu d tempat lain. Bagaimanapun kita berharap walau di mana mereka berada pada hari ini, aura dan semangat Hari Guru biarlah sentiasa menyala di dalam jiwa.

Pagi ini saya berkesempatan meraikan perayaan Hari Guru bersama warga guru dan murid SK Telok Ketapang, Kuala Terengganu. SK Ketapang adalah sekolah angkat saya. Alhamdulillah sambutannya sangat meriah sekali dengan pelbagai acara disediakan. Seawal jam 7.45 pagi satu perhimpunan di dataran perhimpuan diadakan. Biarpun kurang selesa dengan jumlah murid melebihi seribu orang namun itulah ruang dan pilihan yang ada. Walau bagaimanapun dengan semangat dan tema Hari Guru  yang digarap dan dihayati acara sambutan tetap meriah. Mungkin jika ada dewan khas pasti acara-acara besar berprestej dapat diadakan dengan selesa. Kita percaya pihak jabatan dan kerajaan telah mengambil usaha ke arah itu.

Selepas bacaan doa khas Hari Guru dan ucapan telah diadakan juga upacara membaca perutusan. Selepas itu diadakan bacaan Ikrar Hari Guru diikuti nyanyian lagu tema " Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara" dan lagu keramat " Guru Malaysia". Sempena sambutan itu juga murid dan guru berpeluang mengasah bakat melalui deklamasi puisi dan nyanyian berunsurkan pengorbanan guru. Saya juga diberi peluang mendeklamasi puisi keramat  Allahyarham Dr. Usman Awang " Guru O Guru" setelah buat pertama kali mendeklamasinya dalam perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah , Hulu Terengganu sekkitar tahun 1986.

Pelbagai acara terutama bagi merapatkan muhibbah dan hubungan antara guru dengan guru dan guru dengan murid seperti cenderamati dari murid kepada guru, sukanika, cabutan bertuah, memotong kek khas Hari Guru dan sebagainya. Tahniah kepada Guru Besar, GPK, guru-guru serta murid.murid SK Teluk Ketapang yang telah berjaya menyatukan hasrat, perancangan, tenaga dan masa bagi menjayakan Sambutan Perayaan Hari Guru 2012.

Terima Kasih Cikgu !!

No comments:

Post a Comment