Monday, May 28, 2012

Agenda Pendidikan Bukan Hanya Untuk Sekolah Dan Guru - Raja Nazrin


IPOH, 28 Mei (Bernama) -- Tanggungjawab melaksanakan agenda pendidikan yang lebih holistik tidak lagi wajar diletakkan sepenuhnya kepada sekolah dan seratus peratus di bahu guru, titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Baginda bertitah penyertaan umum perlu dalam melaksananakan agenda pendidikan yang merangkumi komponen pembangunan insan secara lahiriah dan rohaniah.

"Tanggungjawab pendidikan tidak akan lengkap dan sempurna jika sepenuh tanggung jawab diletakkan kepada sekolah dan guru. Ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pelbagai institusi lain, sama-sama mempunyai tanggungjawab dan wajib melengkapkan tugas guru dan sekolah," titah baginda ketika merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang sempena Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh ke-39 di sini, pada Isnin.

Sehubungan itu, baginda menggalakkan penyertaan semua pihak dalam program Dialog Nasional Pendidikan Negara yang sedang berlangsung ketika ini.

Program dialog ini bersifat inklusif dengan menggalakkan penyertaan umum, dan ia merupakan langkah bijak selaras dengan semangat yang disuarakan Perdana Menteri bahawa 'Era Kerajaan Mengetahui Semua' telah berlalu, titah baginda.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment