Monday, May 21, 2012

Ahli Parlimen Hulu Terengganu sebagai Tokoh Guru Terengganu

KUALA TERENGGANU - Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Nor bin Othman, Ahli Parlimen Hulu Terengganu telah diistiharkan sebagai Tokoh Guru Hari Guru Terengganu 2012 sempena Perayaan Hari Guru Negeri Terengganu tahun ini. Majlis gilang-gemilang itu disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Terengganu.

Tuan Haji Mohd Nor bin Othman sebelum menang Pilihan Raya Umum 2008 bertugas sebagai Ketua Sektor, Sektor Pembangunan dan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Kepujian dari Universiti Malaya dalam bidang sejarah memulakan khidmat sebagai guru siswazah di SMK Tun Telanai, Marang, Terengganu. Kemudian sebagai guru di SMK Tengku Ampuan Intan dan menjadi pentadbir di beberapa buah sekolah sebelum dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu pada 2002 dan merupakan anak jati Hulu Terengganu pertama dilantik ke jawatan tersebut.

Sebelum penganugerahan Tokoh Guru Terengganu, acara Perasmian Hari Guru yang gilang-gemilang itu telah disempurnakan dengan paluan kertok oleh YAB Menteri Besar Terengganu dengan kehadiran dif jemputan dan warga pendidikan seramai 3,000 ribu orang. Antara yang hadir memeriahkan ialah Speaker DUN Terengganu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Exco dan Ahli Yang Berhormat, mantan-mantan Pengarah Pelajaran serta pimpinan pendidikan semua peringkat.

YAB Menteri Besar dalam ucapannya mengajak seluruh warga pendidik,ibubapa dan masyarakat bersatu dan saling bekerjasama bagi memastikan agenda pendidikan yang diperjuangkan dapat dilaksana dengan baik dan berkesan. Katanya, kerajaan akan memberi peluang seluas-luasnya kepada pendidikan khususnya  kepada anak negeri Terengganu. Beliau sangat percaya hanya pendidikan yang mampu mengangkat dan merubah kehebatan bangsa, negara dan agama.

YAB Menteri Besar juga mahu bangsa Melayu kita yang beragama Islam ini tidak selamanya hanya menjadi pengguna tetapi menjadi pencipta teknologi melalui program dan pendekatan yang  lebih kreatif dan inovatif terutama peranan besar yang boleh dimainkan oleh guru. Beliau memberi analogi bahawa kedahagaan kita terhadap ilmu seumpama orang yang berlari di padang pasir dan ilmu yang kita miliki kini umpama titisan air yang terlekat dijari yang dicelup dalam lautan. Oleh itu beliau mengajak semua pihak meneruskan usaha dengan berlipat ganda serta bersungguh-sungguh dan kerajaan negeri meletakkan pendidikan sebagai keutamaan dalam agenda pembangunan negeri. Antara usaha serious ialah seperti:-

  •  Pada tahun 2012 sebanyak RM340 juta diperuntukkan kepada pelbagai program khasnya bagi menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu
  • Menyediakan dana khas pendidikan melalui projek tanaman sawit berskala besar sebagai alternatif jika kehabisan bekalan minyak dan gas
  • 150 pelajar perubatan anak negeri dihantar belajar keluar negara termasuk 50 orang lagi ke sasaran baru di universiti di Sumatra
  • 10 orang pelajar anak negeri terpilih dihantar ke German bagi mempelajari bidang kejuruteraan automatif
  • 10 orang pelajar anak negeri dihantar kursus dalam bidang kejuruteraan penerbangan
dan banyak lagi usaha pendidikan yang sedang dan akan dilaksanakan. Begitu juga kerajaan negeri  akan  meneruskan insentif kepada guru. Menurut beliau lagi, seramai 3,000 guru yang mengajar Tahun 5 akan diberi komputer sebagaimana guru Tahun 6 sebelum ini. Selain itu 10 orang yang cemerlang akan ditanggung oleh kerajaan negeri untuk mengerjakan umrah.

" Semua usaha-usaha murni yang dirancang ini akan dapat dicapai dan dilaksanakan dengan sempurna jika kerajaan yang sedia ada diberi sokongan mantap dan mandat oleh kaum guru,juga ibubapa dan masyarakat", tegas beliau dengan diiringi tepukan gemuruh para hadirin.

Acara Sambutan Hari Guru hari ini juga menyaksikan pelbagai anugerah ,penghargaan dan hadiah daripada
pelbagai aktiviti sempena hari guru yang dilaksanakan seperti penulisan sajak, mengarang, bahas dan lain-lain lagi.

Terima kasih cikgu, Selamat Hari Guru.

No comments:

Post a Comment