MUAR, 4 Mei (Bernama) -- Sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di
seluruh negara berkemungkinan diberi lebih banyak kuasa autonomi bagi
membolehkan usaha meningkatkan akedemik yang lebih tepat dilakukan
bersesuaian mengikut sekolah masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini merupakan
antara langkah kementerian itu untuk menjadikan hala tuju pendidikan di
negara ini lebih mantap setanding dengan negara maju.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata autonomi peringkat
sekolah dan daerah dinyatakan buat kali pertama bukanlah kerana
Kementerian Pelajaran mahu melepaskan tanggungjawab, sebaliknya
menyedari wujudnya keadaan yang berbeza antara satu daerah dan daerah
lain. Perbezaan itu, katanya bukan sahaja dari segi keluasan kawasan
dan saiz tetapi juga isu serta masalah disebabkan eko-sistem yang tidak
serupa.
"Jadi ia perlukan satu pendekatan dan cara untuk tangani untuk
menentukan sekolah di kawasan itu dapat mencapai tahap kecemerlangan
yang kita hendak miliki," katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan
Mesra Warga Pendidik dan Perasmian Bangunan PPD Muar di sini.
Muhyiddin berkata dengan langkah itu, PPD boleh bertanggungjawab dan
mengambil langkah penambaikan secepat mungkin sekiranya timbul sebarang
masalah di sekolah itu.
Malah, katanya bagi keadaan di sesetengah negeri seperti Sabah dan
Sarawak, PPD akan menjadi organisasi yang lebih penting untuk menentukan
apa sahaja dasar yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan, dapat
dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Katanya jika perkara itu dapat dilaksanakan, maka keadaan di sekolah
sama ada dari segi pentadbiran mahupun akedemik akan bertambah baik.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment