Pada zaman
dahulu, terdapat seorang pelayan raja bernama Nasiruddin yang begitu gemar
sekali berburu. Pada suatu hari ketika dia sedang berburu, Nasiruddin ternampak
seekor anak rusa yang cantik sekali.
“Anak rusa yang cantik itu bolehlah aku berikan kepada anakku. Mereka
tentu sayang kepada anak rusa itu dan menjaganya dengan baik,” kata Nasiruddin
dalam hati.
Nasiruddin menangkap anak rusa itu dibawanya pulang meninggalkan hutan
tempat ia berburu itu. Apabila ibu rusa sedar bahawa anaknya telah ditangkap
orang, dia merasa amat terkejut sekali. Oleh kerana amat sedih kerana tidak
dapat berbuat apa-apa untuk mendapatkan anaknya kembali, ibu rusa itu mengekori
Nasiruddin dari belakang.
Sementara itu, Nasiruddin yang asyik menunggang kudanya gembira
memikirkan tentang anak yang baru ditangkapnya itu.
“Aku telah mendapat seekor anak rusa yang comel. Pasti anak-anakku
sambut dengan gembira,” katanya dalam hati.
Tiba-tiba Nasiruddin sedar ada sesuatu yang mengekorinya, lalu dia
menoleh ke belakang. Ibu rusa itu seolah-olah kelihatan sedih sekali. Ia
seolah-olah berkata kepadanya, “Engkau telah menangkap anakku, hai pemburu.
Hidup aku tidak ada ertinya lagi kalau kau tangkap anakku itu dari tanganku.
Aku rela mati daripada hidup tanpa anak yang ku sayangi.”
Nasiruddin merasa kasihan melihat ibu rusa itu lalu melepaskan anak rusa
dari pegangannya. Ibu rusa itu terus mendapatkan anaknya itu lalu
menjilat-jilatnya, melompat-lompat kegirangan lalu lari semula ke dalam hutan.
Sebelum menghilang, ibu rusa itu sempat menoleh ke belakang sebagai tanda
mengucapkan terima kasih terhadap Nasiruddin.
Pada malam itu, Nasiruddin bermimpi bahawa Nabi Muhammad datang
menemuinya.
“Hai Nasiruddin,” Nabi berkata. “Allah telah meletakkan namamu dalam
senarai Raja dan engkau akan menjadi Raja,” Nabi memberitahunya.
“Jagalah kerajaanmu itu. Kerajaan ini juga menjadi satu ujian kepada
engkau. Sebagaimana engkau memperlihatkan belas kasihanmu kepada ibu rusa maka
engkau hendaklah juga berlaku ihsan dan baik terhadap sekalian manusia yang
menjadi rakyatmu itu. Ingatlah Nasiruddin, jangan sekali engkau abaikan
tanggungjawabmu terhadap rakyatmu,” kata Nabi lagi.
Mimpi Nasiruddin itu menjadi kenyataan. Dia akhirnya menjadi Raja
Ghazi, satu wilayah di Afghanistan sekarang.
No comments:
Post a Comment