Mulai esok semua sekolah di Terengganu, Kelantan dan Kedah akan mula bercuti pertengahan tahun selama dua minggu. Manakala sekolah-sekolah di negeri lain esok adalah hari terakhir persekolahan untuk penggal ini. Selamat menikmati cuti penggal pertengahan tahun bagi warga guru dan murid-murid. Sesekali seronok juga jadi cikgu.
Walau bagaimanapun kita percaya hambatan kehendak ke arah kecemerlangan dan keterbilangan pendidikan, sebahagian besar cuti ini dihabiskan guru dan pelajar dengan kelas bimbingan dan kem-kem mata pelajaran khususnya kepada pelajar yang terlibat dengan peperiksaan. Sementara sebahagian pelajar dan juga ibubapa sibuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen bagi memastikan mereka terus cemerlang.
Bagaimanapun kita berharap pihak pengurusan sekolah, guru dan ibubapa dapat merancang pengisian cuti dengan baik dan berkesan. Ruang untuk bersantai, beriadah dan bersama keluarga juga mesti dimanafaatkan. Justru itu pengurus sekolah mestilah mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/1977 :Tugas-tugas Guru Dalam Cuti Penggal Sekolah dalam memberi bimbingan atau kerja kepada guru sewaktu cuti penggal persekolahan.
Berdasarkan surat pekeliling ini guru
biasa boleh dipanggil bertugas dalam masa cuti penggal dengan syarat
jumlah hari bertugas dalam masa cuti penggal itu tidak melebihi separuh
(1/2) daripada jumlah cuti penggal dalam satu-satu tahun.Bagaimanapun
Guru Besar hendaklah merancang dan menggunakan budi
bicara atau kebijaksanaan supaya tidak memanggil guru-guru di pertengahan
cuti sekolah. Berilah ruang dan peluang kepada guru secara saksama untuk mereka menghabiskan cuti yang berkualiti bersama keluarga setelah bertugas dengan dedikasi separuh tahun persekolahan ini.
Kita percaya dengan sedikit perihatin, rasa cakna untuk menghargai hak mereka, mereka akan lebih menghormati kita dan berkhidmat dengan penuh dedikasi. Kebajikan juga boleh diertikan sebagai kesediaan kita pengurus sekolah memahami aspek keperluan saikologi, emosi dan spritual anak buah kita. Biarlah dalam kita memburu kecemerlangan dan keterbilangan kita tidak tercicir sifat ehsan dan cakna yang mendalam dengan memberi penghormatan tinggi kepada mereka orang-orang kuat kita kerana nanti mereka akan menghormati kita lebih tinggi dari apa yang mereka perolehi.
Sementara bagi ibubapa cuti sekolah tidak bermakna anak dibiarkan sebebas-bebasnya tanpa pemerhatian dan kawalan. Jangan kerana asbab cuti sekolah anak kita memulakan atau mempelajari sesuatu yang menjadi tragedi panjang dalam kehidupannya. Anak kita adalah amanah dan harta kita. Kehidupan masa depan mereka bergantung kepada perancangan dan tindakan kita hari ini.
Selamat bercuti...
No comments:
Post a Comment