Tegur menegur adalah salah satu
perbuatan dan sikap yang baik pada pandangan Islam. Bersesuaian dengan
kelemahan di dalam diri manusia yang memerlukan teguran untuk memperbaiki
kesilapan diri.
Kita bukannya maksum seperti Nabi
dan Rasul yang sentiasa terpelihara oleh Allah SWT daripada dosa. Kita juga
bukannya seperti malaikat yang terhindar daripada dosa dan maksiat kepada Allah
SWT.
Dengan teguran, manusia akan sedar
atas kesilapan, kelemahan dan kesalahan dalam diri. Pastinya kita yang hidup
bermasyarakat ini pernah mengalami peristiwa ditegur dan menegur kerana
kesilapan yang dilakukan.
Kemudian kita dapati ada sebahagian
yang dapat menerima teguran dan tidak kurang juga sebahagian yang tidak dapat
menerima teguran.
Segala puji bagi Allah bersama-sama
orang yang terbuka hatinya untuk menerima teguran dan memperbaiki kesilapan.
Namun, cuba kita fikirkan sebab-sebab orang yang tidak dapat menerima teguran.
Bahkan kesalahan yang dilakukan tidaklah sebesar mana pun.
Salah satu kebarangkalian orang yang
ditegur tidak dapat menerima teguran itu bukanlah kerana dia tidak boleh
berubah dan memperbaiki kesalahan, tetapi disebabkan cara dan kaedah teguran
yang kurang bijak atau tidak sesuai pada orang yang ditegur itu.
Tidak dinafikan walaupun perkara
yang ditegur itu sememangnya satu kesalahan yang perlu ditegur. Tetapi teguran
dengan cara yang tidak betul dan berhemah menyebabkan keadaan menjadi semakin
teruk.
Maka tidak hairanlah sekiranya ada
yang tidak dapat menerima teguran kerana kesilapan cara menegur seperti
sindiran, perlian, cacian, makian, terlalu emosi semasa menegur, menegur
dikhalayak ramai, seterusnya memalukan orang yang ditegur dan sebagainya.
Lebih malang lagi apabila teguran
menjadi penyebab terjadinya permusuhan, saling benci-membenci, putus kawan,
putus saudara dan saling ungkit mengungkit dan menyalahkan satu sama lain dan
seterusnya menimbulkan perasaan dendam dalam diri masing-masing. Akhirnya
matlamat untuk memberi kesedaran pada niat asalnya tidak kesampaian.
Marilah kita meneladani keperibadian
Rasulullah SAW ketika baginda menegur sahabatnya sepertimana hadis berikut;
Daripada Ibnu Abbas r.a berkata: "Seorang lelaki membonceng Rasulullah SAW
pada hari Arafah. Pemuda itu menyedari kehadiran kaum wanita lalu
memandang ke
arah mereka. Rasulullah SAW pun memalingkan wajah (pemuda tersebut) ke belakang
dengan tangannya berulang kali. Pemuda itu mengulangi pandangannya. Rasulullah
SAW bersabda kepada pemuda itu: Wahai anak saudaraku, hari ini sesiapa yang
menjaga pendengarannya, penglihatannya, dan percakapannya, dia akan diampuni
[Musnad Ahmad : 2922, Shaikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih]
Hadis ini memberikan pengajaran
kepada kita methodologi dan pendekatan Rasulullah SAW dalam menegur kesilapan
yang dilakukan oleh para Sahabat. Sebagaimana yang kita sedia maklum, peranan
kita sebagai individu dalam masyarakat, antara tanggungjawab yang perlu kita
mainkan ialah menegur kesilapan dan kesalahan orang.
Sumber : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment