Saturday, March 2, 2013

Sembang Sabtu : Mengapa program kita gagal ?

Assalamualaikum dan sejahtera,
Ahad lepas semasa Taklimat Kelestarian SBT Terengganu , Yang Mulia Tengku Haji Mohd Yusoff Tengku Mansor, Ketua Sektor Jaminan Kualiti dalam taklimatnya telah melontar idea di atas di hadapan 171 orang Guru Besar dan Pengetua. Sembang Sabtu kali ini akan menyorot secara lebih mendalam isu ini untuk sama-sama kita fikirkan agar kita tidak terus gagal dan membazir masa,tenaga dan wang ringgit.

Kita mungkin selalu mendengar orang berkata "Jika kita gagal merancang maka kita sebenarnya merancang untuk gagal". Bermakna salah satu faktor mengapa program mahupun agenda kita untuk dilaksanakan di peringkat sekolah kita gagal adalah kerana kegagalan kita merancang dengan kemas dan strategik. Begitu juga sesebuah pengajaran dan pembelajaran akan lebih tersusun, kemas dan mencapai objektif jika rancangan pelajaran tahunan dan harian dapat kita rancang dengan sedar dan bersengaja bukannya secara ikut terlintas atau ad-hoc. Kita faham alasan sangat berpengalaman kadang-kadang menjadikan kita setahun ke setahun merancang sambil lewa. Bahkan ada segelintir guru-guru kita langsung melanggar akta tidak menyediakan buku rekod pengajaran dan pembelajaran kerana kononnya terlalu berpengalaman walhal kita menyediakan aviden untuk kegagalan murid dan kerjaya kita.

Selain itu kajian telah menunjukkan bahawa 10% kejayaan hanya ditentukan oleh bakat dan kebolehan semulajadi sementara 90% lagi kejayaan ditentukan oleh sikap seseorang. Sikap ialah tanggapan kita terhadap sesuatu yang akan mempengaruhi semnagat, tingkahlaku dan dayausaha kita. Dalam banyak hal sikap negatif antara penyumbang terbesar kegagalan terhadap program dan aktiviti organisasi. Sekiranya majoriti ahli organisasi atau pempinan sekolah sendiri mengatakan bahawa mencapai taraf Sekolah Kecemerlangan atau Sekolah Berprestasi Tinggi sukar, maka set minda demikian menyebabkan tiada apa yang mampu mendorong maka "sukar" itu menjadi stigma minda yang akan menyebabkan program yang dirancang ke arah itu tidak dilaksana ataupun tiada langsung.

Kegagalan sistem latihan juga antara faktor kegagalan kepada program yang kita laksanakan. Kadangnya kita terlalu ambisi dengan matlamat yang ingin kita capai tapi sayangnya pelaksana yang kita harapkan tiada ilmu dan kemahiran. Oleh yang demikian akan berlaku bermacam-macam krisis dalam proses pelaksanaan hingga akhirnya kita gagal. Justru itu kalau kita sebagai pengurus kita mesti mengenalpasti ahli-ahli yang mahir untuk melaksanakan program. Jika tidak, kita perlu melatih mereka agar mahir atau mencapai tahap yang diperlukan. Tidak mungkin pasukan bola jaring akan menjadi johan jika kita letakkan seorang jurulatih yang buta kayu tentang permainan itu. Begitu jugalah dalam bidang-bidang lain.

Selain itu antara salah satu sebab mengapa program kita gagal ialah tiada kecairan maklumat secara menyeluruh. Dalam makna mudah kadang-kadang sesuatu program itu gagal kita komunikasikan dengan ahli-ahli dalam organisasi dengan hadzamnya agar mereka faham secerah-cerahnya. Jelas hasrat , kaedah dan halatujunya. Justru itu kita boleh melaksanakan pelbagai kaedah mencairkan maklumat ini seperti "morning prayer", edaran dan minit curai bagi setiap ahli organisasi yang menghadiri taklimat atau mesyuarat di luar. Dengan yang demikian kita dapat berkongsi secara menyeluruh dan pantas. Kita percaya jika strategi kecairan maklumat itu dapat dilaksanakan seara efektif hingga ke peringkat bawah maka pasti tidak timbul lagi "saya tidak tahu" atau " Guru Besar dan GPK tak bagi tahupun". Bahkan Guru Besar boleh kata "Saya telah sebut dalam perhimpunan" atau "Saya telah edar handout hasil mseyuarat dengan PPD/JPN mengenai program ini".

Kejayaan sesuatu program juga sangat berkaitan rapat dengan penguatkuasaan dan pemantauan. Pengurus projek wajib melaksanakan perkara ini. Guru Besar, GPK, Ketua Panitia perlu memastikan sesuatu program itu berjalan sebagaimana yang dirancang. Penilaian berterusan seperti ini serta ketegasan bukan sahaja menunjukkan komitment dan iltizam kita tetapi juga sebagai sokongan kepada pasukan pelaksana bahawa apa yang mereka buat itu dipadang oleh orang-orang di atas. Kaedah pemantauan dan penguatkuasaan bukan sahaja tegas tetapi juga bijaksana supaya mampu memberi motivasi untuk mereka laksanakan lebih baik.

Sebagai kesimpulan mungkin kita pernah terbaca atau mendengar cerita tentang biji kopi, telur dan lobak. Ketiga-tiga bahan ini melalui ujian dengan direbus. Dalam kehidupan kita, kita tidak terlepas dengan ujian. Kegagalan program kita juga adalah ujian yang wajib kita kaji bagi mencari punca dan sebabnya. Kegagalan adalah kepedihan dan kesakitan yang terpaksa kita tanggung dan kita sewajarnya tidak boleh menyerah atau mengikat diri dengan suratan takdir. Cuma kadangnya kerana lemah kita mudah tewas umpama lobak menjadi lembik bila dipanaskan atau telur menjadi keras. Kita perlu menjadi kopi yang semakin panas semakin semerbak baunya. Selain itu berupaya menghitamkan air bukan air yang menghitamkannya. Inilah icon atau watak yang patut dicontohi ... semakin diuji semakin kuat. Pemimpin yang hebat adalah mereka yang menguasai persekitaran bukannya persekitaran yang menguasai mereka....kita boleh jadi apa yang kita mahu dan fikirkan.



No comments:

Post a Comment