Monday, March 18, 2013

SKM perlukan tranformasi



Pagi tadi saya berkesempatan mengadakan pemantauan pengurusan sekolah di salah sebuah sekolah kekurangan murid (SKM) di daerah Dungun. SK Santong, Dungun adalah antara 43 buah sekolah SKM negeri Terengganu. Jumlah murid sekolah ini hanya 82 orang.

Mengikut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran seperti yang disiarkan dalam Bernama 16 Februari lalu terdapat lebih 2,000 sekolah yang dikategorikan sekolah kurang murid di seluruh negara, yang bilangan pelajar kurang daripada 50 orang.

Timbalan Perdana Menteri berkata sekolah-sekolah kurang murid ini asalnya adalah sekolah besar tetapi menjadi kurang murid berikutan faktor perpindahan ke kawasan lain.

"Seperti di Felda, generasi kedua tak duduk di situ. Mereka berhijrah ke kawasan lain dan anak-anak mereka belajar di luar. Di ladang-ladang, anak-anak mereka berhijrah ke tempat lain. Takde anak kecil, sekolah jadi kurang murid."


"Kebanyakan sekolah ini (kurang murid) tak berapa ok. Guru tak cukup, jumlah pelajar kecil. Kadang-kadang pelajar 10 guru pun 10. Tak ada pelajar mencukupi. Kadang-kadang guru kena ajar dua, tiga subjek untuk menampung subjek-subjek di sekolah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Guru Muda 1Malaysia Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Kampung di sini hari ini.


Sekolah-sekolah SKM Terengganu mungkin tidak ada yang sampai ke tahap itu tetapi majoriti sekolah SKM dari segi fizikal adalah sekolah lama. Masih berbangunan kayu yang uzur dan kurang selesa. SK Santong juga seperti SK Tepus, SK Minda Talong, SK Sungai Berua dan lain lagi masih terdiri dari bangunan kayu yang sempit dan kurang selesa. Bilik Guru Besar, Bilik Guru dan pejabat memerlukan perubahan tranformasi pembangunan yang lebih baik.

Saya merasa kagum dengan pencapaian UPSR SK Santong pada 2012 di mana 3 muridnya memperolehi 5A. Sebagaimana yang kita sedia maklum perjawatan hakiki pengurusan bagi SKM B seperti SK Santong hanya Guru Besar yang bergred DGA32. Penolong Kanan adalah dilantik oleh sekolah dan berada di dalam norma perjawatan serta tidak dibayar apa-apa elaun tanggungjawab menjalankan tugas sebagai GPK serta tugas mengajar hingga 28 waktu seminggu. Justru barangkali sudah sampai masanya pihak KPM melihat struktur perjawatan di SKM terutama yang murid melebihi 50 orang ke atas supaya dibuat penambahbaikan. Ada sekolah gred B yang murid hampir sama atau kurang dari murid SKM Guru Besar DGA34 dan semua GPK Gred DGA32 yang berada di luar norma untuk GPK Pentadbiran dan GPK Hem

Kita dengar  KPM akan melaksanakan tranformasi dan Task Force bagi mengangkat SKM . Tahniah. Ini adalah sesuatu yang sangat besar ertinya kepada keadilan dan keseimbangan terhadap akses pendidikan yang lebih baik kepada rakyat dan kita harap dalam masa yang sama perjawatan dan kebajikan guru di SKM tidak diketepikan.

Kita tidak boleh nafikan di Terengganu sekolah SKM telah banyak menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan khususnya UPSR. Kita percaya jika tranformasi SKM dilaksanakan dengan teliti, cekap dan menyeluruh tiada lagi suara sumbang yang mendakwa bahawa kerajaan akan menutup atau mendiskriminasi sekolah-sekolah SKM.



No comments:

Post a Comment