Friday, March 8, 2013
Renungan Jumaat : Mempertahankan negara itu jihad
Di dalam sirah perjuangan 13 tahun kaum Muslimin menegakkan negara Islam di Madinah, mereka telah mempertaruhkan nyawa dalam 59 buah peperangan. Sepanjang tempoh itu, Rasulullah s.a.w. telah menyertai serta memimpin 27 buah perang.
Begitulah besarnya tentangan yang terpaksa dilalui oleh umat Islam ketika itu. Musuh-musuh yang mahu menghancurkan negara Islam Madinah – yang baru dibina oleh Rasulullah dan para sahabat selepas peristiwa hijrah – bukan sekadar datangnya dari kaum Quraisy Mekah, tetapi juga dari kaum Yahudi di Madinah sendiri, Majusi, Nasrani serta Romawi.
Sebahagian besar daripada musuh-musuh ini, khususnya Romawi dan Nasrani, mempunyai kelengkapan perang yang hebat. Sedangkan, kaum Muslimin ketika itu baru sahaja mula bertapak. Bilangan mereka masih kecil lagi.
Sudahlah jumlah mereka belum ramai, kaum Muslimin juga kekurangan dari segi kelengkapan perang. Malah kelengkapan kehidupan mereka seperti rumah dan ekonomi juga belum tersusun.
Namun demi mempertahankan sebuah negara Islam, mereka tetap menghadapi musuh tanpa rasa gentar. Akhirnya melalui 59 buah peperangan itu, negara Islam berjaya ditegakkan di Madinah, yang kemudiannya mengukuh serta melebar ke Mekah dan seluruh jazirah Arab, seterusnya ke seantero pelosok dunia.
Bayangkan, apa akan jadi kalau kaum Muslimin ketika itu enggan turun berperang kerana serba kekurangan? Bayangkan apa akan jadi kalau kaum Muslimin tidak mahu mempertahankan negara mereka dari serangan kaum musyrikin dengan alasan tidak mahu kehilangan harta, isteri dan kebun tanaman?
Sesungguhnya berjuang mempertahankan negara, seperti apa yang berlaku di Lahad Datu, Sabah, sekarang ini, adalah suatu jihad. Bukan saja jihad kepada negara, tetapi juga kepada agama dan rakyat.
Perlu diingat, keselamatan merupakan perkara yang menjadi keperluan asas bagi setiap manusia. Melalui keselamatan, barulah hidup menjadi aman, sentosa dan bahagia.
Agama Islam sangat menitikberatkan soal keselamatan. Baik keselamatan diri, juga negara, agama dan masyarakat. Hanya dengan keselamatanlah rakyat dapat menjalankan tanggungjawab mereka kepada agama.
Oleh kerana itu, Islam melihat tanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman awam merupakan tugas yang amat mulia. Ia merupakan suatu jihad serta ibadah yang dijanjikan oleh Allah dengan pahala yang besar.
Cukup ramai para syuhada Islam yang gugur semasa berjuang demi mempertahankan negara dan agama. Bagaimanapun, untuk mereka yang gugur dalam menjalankan tugas tersebut, balasan yang setimpal akan menanti di sana nanti.
Semua ini telah pun dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabda baginda yang maksudnya: “Barang siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar masa orang memerah susu unta, maka wajib baginya syurga. Dan barang siapa yang bermohon kepada Allah s.w.t. dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad kemudian ia mati atau dibunuh, maka sesungguhnya baginya balasan syahid. Dan barang siapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan maka ia datang pada hari kiamat sederas darah yang mengalir ketika luka, warnanya seperti za’faran dan baunya bagaikan wangi kesturi”.
Selain itu, Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda yang maksudnya : ” Sesungguhnya di dalam syurga itu ada seratus darjat yang disediakan Allah s.w.t. bagi orang yang berjihad pada jalan Allah. Di antara satu darjat dengan darjat yang lain seperti di antara langit dan bumi.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Kaum Muslimin turut diingatkan oleh Allah s.w.t. supaya jangan gentar apabila menghadapi musuh. Sebaliknya, mereka mesti meneguhkan iman, memperbanyakkan doa dan sentiasa bertawakal kepada-Nya. Semua ini telah ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam Surah Al-Anfaal ayat 45 yang tafsirnya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan musuh maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapi dan sebutlah serta ingatlah Allah s.w.t. dengan berdoa banyak-banyak, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan”.
Berlawanan dengan perjuangan serta jihad mempertahankan agama, janganlah pula ada pihak yang menjadi musuh dalam selimut – membocorkan rahsia kekuatan, keselamatan dan kedaulatan negara kepada pihak luar. Perbuatan membuka pintu kepada musuh adalah suatu dosa yang besar dan pelakunya dianggap sebagai munafik.
Itulah yang berlaku kepada Hatib bin Abi Balta’ah. Suatu ketika Hatib bin Abi Balta’ah hampir-hampir membocorkan rahsia perancangan Nabi untuk memerangi pihak musyrikin Mekah kerana mencabuli perjanjian Hudaibiyah yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak.
Rahsia tentera Muslimin Madinah itu ditulis oleh Hatib pada sehelai kertas, lalu diserahkan kepada seorang wanita. Bagaimanapun, perbuatan Hatib itu berjaya dihidu oleh kaum Muslimin yang kemudian memintas wanita tersebut sebelum dia sempat sampai ke Mekah.
Sebagai hukuman, Saidina Umar Al-Khattab meminta izin kepada baginda untuk memenggal kepala Hatib. Namun baginda tidak mengizinkannya kerana Hatib merupakan salah seorang tentera Muslimin yang menyertai peperangan Badar Al-Kubra. Sekiranya bukan, sudah tentu hukuman mati akan dijatuhkan ke atasnya.
Peristiwa ini menjelaskan kepada kita, perbuatan membocorkan rahsia Negara dan agama kepada musuh adalah tindakan yang tidak berakhlak. Ia juga merupakan satu kesalahan yang sangat besar sehingga boleh dijatuhkan hukuman bunuh.
Jangan kita lupa kepada pemimpin-pemimpin Kurdish yang menjadi tali barut Amerika Syarikat (AS) untuk menyerang kerajaan Islam Iraq pada 2003. Antara yang paling besar peranannya dalam menjemput tentera AS menceroboh Iraq adalah pemimpin mereka, Dr. Ahmad Chalabi.
Melalui peranannya sebagai boneka Barat, akhirnya negara Islam Iraq hancur sampai sekarang. Tentera AS bukan sekadar menghancurkan negara itu dan membunuh lebih sejuta rakyatnya, tetapi juga menyeksa tahanan serta menghina Islam, masjid dan al-Quran.
Begitu jugalah dengan Dr. Ashraf Marwan, seorang hartawan Mesir yang merupakan menantu kepada bekas Presiden negara tersebut, Gamel Abdul Naser. Dr. Ashraf kemudian menjadi orang kepercayaan Presiden Hosni Mubarak.
Tiada siapa tahu kejahatan Dr. Ashraf hinggalah dia membunuh diri dengan terjun dari tingkap apartmen mewahnya di London, pada 27 Jun 2007. Reaksi Zionis dan Amerika terhadap kematian Dr. Ashraf telah mengundang tandatanya kerajaan Mesir. Akhirnya setelah diselidik, rupa-rupanya Dr. Ashraf telah menjadi ejen Zionis dan menjadi anggota Mossad sejak 1969!
Perkara ini kemudian disahkan oleh pasukan keselamatan Israel. Mereka mendedahkan sebenarnya sejak 1969 lagi Dr. Ashraf telah membocorkan rahsia kerajaan Mesir kepada Israel. Tujuan beliau adalah untuk mendapat imbuhan wang.
Begitu juga dengan Omar Suleiman, bekas Naib Presiden Mesir yang secara rahsia membocorkan begitu banyak fail-fail sulit kerajaan pimpinan Hosni Mubarak kepada Tel Aviv. Fail-fail yang dibocorkan pula begitu sulit kerana Omar Suleiman merupakan bekas ketua risik rejim Mubarak.
Selain itu, sudah ramai penduduk Palestin dan Lebanon yang telah ditangkap kerana menjadi ejen Mossad dan Zionis. Mereka inilah yang membocorkan rahsia pergerakan pemimpin-pemimpin jihad Palestin – seperti Sheikh Ahmed Yassin dan Abdul Aziz Rantisi – hingga mereka terkorban di tangan Yahudi.
Al-Fatihah kepada wira-wira yang telah terkorban semasa mempertahankan kedaulatan negara di Lahad Datu, semoga roh mereka ditempatkan di jannah bersama pada syuhada dan solihin. Dalam masa yang sama, janganlah pula ada mana-mana pihak yang bertindak menjadi dalang kepada pihak luar – atau mana-mana musuh agama dan negara – hingga berlakunya tragedi ini. Ingatlah, dosa kejahatan anda itu sangat sukar untuk dimaafkan.
sumber
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Tok Mufti.. tolong isytihar wira negara yang terkorban sebagai syahid..tak perlu dimandikan dan dikafankan.Kalau sekadar sebagai patriot ...
ReplyDelete