Thursday, March 14, 2013

Bengkel Portal MGB Terengganu



KOTA BHARU - Satu Bengkel Penghasilan Laman Web Majlis Guru Besar (MGB) Negeri Terengganu telah diadakan pada 13 dan 14 Mac 2013 lalu di Khalifa Suite Hotel & Apartment, Kota Bharu, Kelantan.

Bengkel berkenaan disertai oleh beberapa pegawai dari Unit Sekolah Rendah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Terengganu dan wakil-wakil MGB dari setiap daerah di negeri ini.

Ketua Unit, Unit Sekolah Rendah, Encik Zakaria Muda ketika berucap pada majlis perasmian mengucapkan tahniah kepada MGB Terengganu diatas kejayaan mengadakan bengkel berkenaan yang dianggap dapat memberikan manafaat berguna kepada setiap guru besar yang telah dilantik menjadi pengurus sekolah.

Katanya, inisiatif MGB mengadakan benmgkel tersebut amat bertepatan dengan arus pendidikan semasa dan ianya dilihat dapat menyalurkan pelbagai maklumat terkini sesama guru besar melalui perkongsian pintar.

Menurutnya lagi, para guru besar berpeluang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman ke arah untuk mempertingkatkan lagi kemahiran serta kecekapan mereka untuk menjalankan tugas mentadbir dan mengurus sekolah.

Encik Zakaria berharap setiap ahli MGB di negeri ini dapat bekerja bersama-sama bagi membantu jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah dan juga sekolah dalam mempertingkatkan imej serta meningkatkan lagi tahap kecemerlangan organisasi pendidikan.

Melalui laman web berkenaan juga, semua guru besar dapat berhubung dengan rakan-rakan sejawatan mereka di seluruh negara untuk meningkatkan lagi kemahiran dalam bidang pengurusan pendidikan melalui perkongsian pintar.

Penyelia Kanan Unit Sekolah Rendah, Encik Mat Lazim @Mahasan bin Noor, berharap bengkel kali pertama ini akan menjadi satu platform kepada semua ahli jawatankuasa untuk terus aktif dalam menjadikan laman web MGB terus aktif dan memberi manafaat kepada semua guru besar.

Katanya lagi, laman web berkenaan perlu menyediakan beberapa ruangan yang dapat memberikan peluang kepada semua ahli untuk mengenengahkan pelbagai projek inovasi di sekolah mereka sekaligus dapat berkongsi kekuatan demi kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

Menurutnya lagi, laman web MGB seharusnya menjadi pemangkin kepada seluruh warga pendidik di Terengganu untuk merealisasikan matlamat kecemerlangan pendidikan yang dihasratkan kerajaan negeri dan jabatan pelajaran negeri serta sebagai satu organisasi yang sentiasa menyokong.

Sementara itu, Yang Dipertua MGB Terengganu Encik Mohd Radzali Abdullah, berkata pembangunan laman web MGB Terengganu perlu dizahirkan pada era teknologi maklumat dan komujikasi (ICT) supaya setiap ahli dapat melakukan pencarian maklumat dengan lebih cepat dan mudah.

Katanya, dengan adanya laman web itu juga proses penyampaian maklumat dalam kalangan guru besar  dapat berlaku dengan lebih menyeluruh di mana mereka dapat berkomunikasi sesama mereka melalui medium tersebut.

Menurutnya lagi, adalah menjadi hasrat MGB Terengganu untuk muncul sebagai organisasi pertama di negara ini yang memiliki laman web sendiri sekaligus memberi ruang dan peluang kepada setiap ahli untuk berkomunikasi.

" Adalah menjadi hasrat MGB untuk menyediakan ruang kepada kami berkongsi setiap ilmu dan maklumat yang ada melalui sesi forum dan kami ingin menjadi yang terbaik," katanya.

sumber.

 

No comments:

Post a Comment