Friday, March 22, 2013

Renungan Jumaat : Melatih diri berbudi pekerti tinggi



Kehidupan moden hari ini banyak sekali menghakis nilai-nilai dan pekerti hidup di kalangan umat Islam. Konflik keruntuhan adab dan akal budi melanda semua peringkat umur. Keterbukaan media tradisi dan baru  serta kebebasan atas nama demokrasi kita menyaksi keruntuhan adab dan budi pekerti ummah yang membimbangkan. Kebimbangan itu diterjemahkan melalui pelbagai kempen budi bahasa yang sepatutnya menjadi kurikulum teras dalam insitusi keluarga. Renungan Jumaat kali ini berkongsi manusia-manusia berbudi tinggi dalam sejarah Islam yang boleh dijadikan contoh dalam kemelut kita mencari model ikutan pada zaman kemelut dan keliru ini.
 
Diceritakan bahawa al-Ahnaf bin Qais pernah ditanya oleh orang, katanya: Dari siapa engkau belajar menjadi penyantun? Jawabnya: dari Qais bin ‘Ashim. Orang itu bertanya lagi: Sampai ke darjat manakah penyantunannya? Jawab al-Ahnaf: Pada suatu ketika, sedang ia duduk di rumahnya, maka datanglah jariahnya membawa pacak pemanggang besi yang ada daging panggangnya. Tiba-tiba pacak itu terlepas dari tangan jariah dan jatuh mengenai anak kecil Qais hingga menyebabkan anak itu mati. Jariah terperanjat dan bingung. Kata Qais: Engkau tak usah takut, tetapi kini aku merdekakan engkau kerana Allah Ta’ala.

Diriwayatkan lagi bahawa Saiyidina Ali bin Abu Talib karamallahuwajhah pernah memanggil hamba sahayanya, tetapi hamba itu tidak datang. Dipanggilnya kedua kali dan ketiga kali, ia masih tidak juga datang. Maka Ali pun mendatanginya. Dilihatnya hamba itu sedang baring bersenang-senang. Ali bertanya: Hai, apakah engkau tidak dengar panggilan aku? Hamba itu berkata: Bahkan saya dengar. Ali bertanya lagi: Tapi apa sebabnya engkau tidak menjawab penggilanku? Kata hamba: Saya tahu tuan tidak akan menyiksa saya atas kelakuan saya, maka saya pun malas hendak menjawab. Saiyidina Ali pun berkata lagi: Pergilah dari sini engkau, aku merdekakan kerana Allah Ta’ala.

Sekali peristiwa, pernah seorang wanita memanggil Malik bin Dinar katanya: Wahai orang yang banyak riya’! Maka dijawab oleh Malik bin Dinar: Wahai ibu! Sebenarnya engkau telah mengingatkan aku semula namaku yang telah dilupai oleh seluruh penduduk Basrah.

Demikianlah contoh-contoh jiwa yang telah direndahkan dengan latihan, sehingga menjadi lurus budi pekertinya dan bersih suci kebatinannya dari segala penyakit penipuan, kepalsuan dan hasad dengki. Jiwa yang serupa inilah yang akan menghasilkan keredhaan dengan segala yang ditentukan oleh Takdir Allah Ta’ala dan itulah yang dikatkan setinggi-tinggi keluhuran budi pekerti.

Oleh itu orang yang tiada menemui tanda-tanda ini dalam dirinya, jangan pula ia bermegah diri, sehingga menyangka yang ia bersifat dengan budi pekerti dan akhlak yang luhur. Sebaliknya hendaklah ia bertekun bersungguh-sungguh dalam melatih dirinya, dan berjuang menahan hawa nafsunya, sehingga ia berjaya pula mencapai darjat keluhuran budi pekerti dan akhlak. 

Sesungguhnya yang demikian itu adalah suatu darjat yang paling tinggi, yang tidak akan dicapainya, melainkan setelah ia sampai ke darjat para muttaqin dan shiddiqin.


No comments:

Post a Comment