Saturday, March 16, 2013

Sembang Sabtu : "Kuasa Perhubungan" manafaatkan untuk kemajuan sekolah



Saya masih teringat satu " kuasa" yang penting untuk digunakan dan dimanafaatkan bagi memajukan sekolah ketika mengikuti Kursus Kepimpanan dan Pengurusan Pendidikan anjuran Institut Aminuddin Baki. Masa itu saya menjadi Guru Besar di salah sebuah sekolah dalam daerah Marang dan kursus itu berlangsung selama dua bulan di IAB, Induk, Seri Layang, Genting Highland. Kuasa itu ialah "Kuasa Perhubungan".

Secara mudah “kuasa” adalah keupayaan seseorang, badan atau agensi untuk melakukan atau bertindak. Setiap orang, badan atau agensi mempunyai kuasanya yang tersendiri, di dalam bidang kuasa dan mengikut had-had kuasa yang ada padanya. Perhubungan merujuk kepada jalinan ataupun jaringan seseorang individu atau institusi dengan individu, badan atau agensi lain yang ada kuasa. Hubungan itu mungkin atas dasar kenalan, persahabatan, persaudaraan, persefahaman dan sebagainya. Di sinilah ujudnya “kuasa perhubungan” antara seseorang dengan pihak lain. Bahkah kadang-kadangnya bila ada yang terperasan atau merasa dekat serta hebat dengan kuasa perhubungan yang diperolehi, ketua jabatan atau bos mereka sendiri mereka perlekehkan.

Tidak sedikit yang kita dengar ada ketua jabatan yang senak kepala bila ada anak buah mereka ada kuasa perhubungan sama ada atas hubungan keluarga atau kawan dan sebagainya dengan bos atasan apalagi dalam institusi yang sama. Mereka sewenang melanggar peraturan  bahkan segaja menunjuk-nunjuk bahawa mereka kebal dan tidak lut oleh hukuman kerana adanya kuasa perhubungan  dan disalahgunakan. Sebagai contoh lihat sahaja pada musim pertukaran guru kita akan menerima  bermacam-macam surat sokongan dari berbagai pihak yang mungkin atas kuasa perhubungan  yang ada untuk guru berkaitan. Ini adalah penyalahgunaan kuasa perhubungan dan bertentangan dengan Tatakelakuan Pegawai Awam 1993.

Sebenarnya umpama pisau yang tajam, jika kita guna untuk memotong cepat dan cekaplah kerja kita. Namun jika pisau yang tajam digunakan untuk membunuh maka buruklah akibatnya. Begitu jugalah kuasa perhubungan ini, kalau pandai dimanafaatkan ia mampu membawa kebaikan dan kemajuan pada diri dan institusi seperti sekolah kita.

Katakan seorang Guru Penolong Kanan atau guru kita ada saudara sebagai  Pengerusi syarikat besar maka dengan kuasa perhubungan atas persaudaraan yang ada mungkin memudahkan sekolah untuk memperolehi apa-apa bantuan untuk pendidikan dengan menggunakan mereka sebagai perantara atau penghubung. Begitu juga jika guru kita ada kawan atau orang besar di kementeriaan yang barangkali kita berkeperluan untuk mendapat maklumat atau apa-apa bantuan yang sewajarnya maka dengan kuasa perhubungan yang ada guru kita itu mampu membantu.

Sebenarnya banyak perkara yang berfaedah mampu kita lakukan melalui kuasa perhubungan ini untuk faedah pengurusan dan pembangunan kecemerlangan pendidikan sekolah kita. Pengalaman berbelas tahun sebagai guru besar salah satu kejayaan atau support yang menjayakan banyak program sekolah ialah memanafaatkan kuasa perhubungan ini. Kadang-kadang kita gagal kerana kekurangan dan kesalahan memahami maklumat namun dengan adanya kalangan anggota kita yang tahu dan faham kita dapat mengatasinya dengan baik dan cemerlang. Pernah dalam satu penganjuran sukan tahunan sekolah, sekolah tidak perlu keluar modal satu sen pun kerana kuasa perhubungan pengurusi PIBG yang merupakan seorang kontraktor telah dimanafaatkan mencari sumber kewangan dengan rakan-rakan strategiknya.

Namun sayang adalah kalangan pengurus sekolah kita kurang senang dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh anak buah mereka. Mereka seakan takut kehilangan populariti dan kehebatan. Pernah pengalaman saya menyaksikan seorang ustaz yang berjaya mendapat peralatan p.a sistem surau sekolah kerana kuasa perhubungan dengan Pegawai Agama Daerah dimarahi Guru Besarnya tanpa sebab sedangkan surat yang diajukan kepada Pejabat Agama Daerah itu Guru Besar sendiri yang tandatangani. Mungkin Guru Besar berkenaan itu merasa ustaz berkenaan mencabar kedudukan dan kehebatannya. 

Sewajarnya salah faham, salah tanggap dan prajudisme tidak patut berlaku justru Guru Besar  telah berada pada kelasnya tersendiri dan tidak ada siapa yang mampu menggugatnya. Sepatutnya bibir mereka basah dengan terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru mereka yang menggunakan kuasa perhubungan dengan betul ini. Bahkan patut diberi aprisiasi tinggi kerana sumbangan dan jasa mereka kepada sekolah. Kita percaya majoriti Guru Besar kita tidak sebegini. Ramai di kalangan mereka tidak “kedekut” dengan penghargaan dan terima kasih serta meraikan dengan belanja makan dan sebagainya.

Mudah-mudahan dengan aprisiasi sedemikian mendorong ramai lagi kalangan anak buah kita untuk berusaha, menyumbang dan berbakti dengan menggunakan kuasa perhubungan yang mereka ada dengan betul dan berfaedah. Kita pasti ramai guru-guru kita mempunyai semangat  untuk berbakti dan memberi sumbangan.


No comments:

Post a Comment