Saturday, March 23, 2013

Sembang Sabtu : Guru, adakah kita semakin kehilangan roh dan jiwa pendidik

Seminggu lepas banyak catatan dan peristiwa yang menyentuh jiwa pendidik tulen. Pendidik tulen pada perkiraan penulis adalah mereka yang memilih kerjaya guru dengan hati yang bulat tulus. Pendidikan tulen adalah mereka yang mencintai profesionalisme serta menghayati etika sepenuh jiwa raga. Pendidik tulen adalah mereka yang amat mengasihi muridnya seperti anak sendiri. Pendidik tulen tinggi akal budinya. Marahnya dalam senyum. Sindirnya berkias. Tulisnya  beradab.

Namun catatan seorang guru di facebook yang bukan sahaja biadap dan kurang ajar mengenai perjuangan pasukan keselamatan di Lahat Datu tetapi sekaligus mencemar nama baik perkhidmatan perguruan adalah cerminan bahawa guru zaman ini semakin kehilangan roh dan jiwa pendidik. Mereka bukan sahaja semakin hilang jiwa perjuangan dan pengorbanan bahkan menyokong perjuangan dan pengorbanan pun teramat naif dan daif.

Guru-guru yang masih muda dan dilahirkan pada zaman penuh kemewahan dengan gaji dan peluang naik pangkat terbentang luas mempersoalkan macam-macam. Lihat saja dialog yang saya petik dari Bual Bicara blog ini. Ada yang mempersoalkan kewajaran kelas tambahan dalam cuti penggal yang bermula sekarang.
Sedangkan guru besar boleh memanggil guru bertugas satu pertiga daripada cuti sebagaimana pekeliling.

Ada guru merasa sakit hati dan tidak adil bila mana ada rakan sejawat culas dan memberi pelbagai alasan untuk melaksanakan pelbagai tugas persekolahan di dalam dan di luar bilik darjah. Mereka mendakwa semasa latihan di maktab atau universiti semua bakal guru mampu melaksanakan apa sahaja kegiatan tanpa  persoalan dan tanpa mengira gender. Tetapi mengapa dah jadi guru banyak songel. Bahkan ada yang mencadangkan agar gaji guru lelaki dilebihkan berbanding guru wanita justru isu liat alasan berjuta dan kesongelan melampau serta sebagai daya tarikan kepada kaum lelaki untuk terjun dalam bidang perguruan.

Inilah gambaran guru era modenisasi yang serba mudah dan canggih tapi kian tandus dengan semangat perjuangan mendidik anak bangsa.Kita yakin walaupun kuantitinya kecil tapi kita secara mutlak dan bermaruah tidak mahu seorangpun kalangan manusia guru berwatak seperti itu. Kita kalau boleh tidak mahu secalit titik hitam ada dalam perkhidmatan mulia untuk membina dan membangun manusia ini. Justru itu kita mahu mereka yang terkeluar dari etika dan Tatakelakuan Pegawai Awam 1993 dihukum sewajarnya.

Kita tertarik dengan pandangan guru lama dan berpengalaman di mana walaupun waktu mereka mula menjadi guru dan ditempatkan di sekolah SKM jauh di pedalaman dengan gaji permulaan RM380.00 tetapi jiwa perjuangan dan pengorbanan sangat tinggi. Mereka pernah mengajar antara 30 - 35 waktu seminggu dan balik jam 6.00 petang tetapi mereka seronok dan puas. Mereka tidak bersungut dan banyak songel kerana mereka memilih kerjaya sebagai guru dengan jiwa dan mengabdikan diri dengan tulus ikhlas.

Mengapa pada zaman jalan tar sampai ke pintu pagar sekolah, air dalam paip besi dan api menyala dalam kaca serta gaji beribu-ribu, kemudahan ict yang meluas jiwa kependidikan semakin tandus. Apakah kerana terlalu senang dan mewah maka  jiwa kita tidak terasuh dengan semangat, keberanian, kesabaran dan pengorbanan.Mungkin kita tidak ada atau melalui "experiencing learning" atau "pengalamian pembelajaran " hingga kita daif menghayati makna pengalaman. Justru barangkali potensi yang sepatut dipugar untuk keberhasilan dan kemenjadiaan kerjabuat tidak terlaksana dan outcome tidak selaras dengan upah yang kita perolehi.

Marilah kita menjadi guru yang hidup roh dan jiwa kependidikan dalam diri. Jadilah guru sebenar guru yang ada jiwa perjuangan dan pengorbanan. Untuk itu kita perlukan tranformasi diri zahir-batinnya . Bina nilai-nilai positif. Bina sikap seorang guru yang positif. Tingkatkan ilmu dan kemahiran diri. Berfikir di luar kotak atau "think out side the box" dan berfikir secara mendalam dalam kotak atau "think deep in the box" bagi menggali potensi dan kehebatan diri.Manafaatkanlah semaksima mungkin bakat pemikiran dan tenaga yang Allah anugerahkan  untuk anak bangsa biar nanti kita sentiasa dikenang dan dingat sebagai pejuang bangsa walaupun telah tiada di maya pada ini.



No comments:

Post a Comment