Seorang guru adalah insan mulia kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat, mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan lautan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA ;
Maksudnya:"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan".
Sejarah ketamadunan Islam telah mencatatkan bahawa guru atau para ulama adalah golongan yang amat dihormati oleh masyarakat dan pemerintah. Bukan menjadi sesuatu yang menghairankan jika seorang khalifah sanggup berjalan ke rumah seorang ulama, semata-mata untuk menuntut ilmu dan duduk bersama dengan mereka. Diriwayatkan bahawa Imam Malik bin Anas pernah menolak tawaran untuk mengajar di Istana bahkan dengan tegas beliau mengatakan: Ilmu itu didatangi bukan mendatangi.
Kisah Imam Malik yang merupakan contoh sebagai seorang murid yang menghormati guru. Jika ada sesuatu persoalan dikemukakan kepadanya, ia lebih suka merujuk kepada gurunya terlebih dahulu. Beliau pernah berkata: “Aku tidak mahu menjawab permasalahan ini sebelum aku bertanya terlebih dahulu kepada orang yang lebih alim daripadaku. Apakah pendapatku ini lebih bertepatan dengan kebenaran”.
Lihatlah bertapa sikap merendah diri dan rasa hormat seorang Imam dan ulama terbilang seperti Imam Malik.
Begitu juga yang berlaku kepada Imam Shafie yang amat menghormati gurunya. Beliau pernah berkata: “Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Imam Malik dan Ibnu Uyainah, maka hilanglah seluruh ilmu ulama-ulama negeri Hijaz ini.
Saidina Ali RA juga pernah berkata “Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
Demikian tinggi dan mulianya kedudukan guru serta dihormati sehingga Allah SWT berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 11:
Maksudnya:
“ Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diminta memberi lapang dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.”
Anak bangsa yang berkualiti ianya haruslah bermula daripada orang yang mendidik mereka. Keupayaan ini mestilah di dokong bersama antara guru dan masyarakat terutama ibubapa. Jika tidak nescaya harapan negara ke arah melahirkan generasi modal insan kelas pertama yang berjiwa “Ulul Albab” akan sia-sia, seperti kata pepatah “berat sama dipikul ringan sama dijinjing ”.
Firman Allah SWT dalam surah al- Maidah ayat 2:
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan (kebaikan) dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya)”.
Ibu bapa dan masyarakat hendaklah seiring dan bersama-sama dalam memacu pendidikan dengan menginstitusikan keluarga, masyarakat dan persekitaran sebagai sekolah. Disamping ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana pembelajaran di rumah dan persekitaran dengan memberi perhatian yang serius terhadap kehidupan seharian anak-anak. Ibu bapa juga hendaklah peka terhadap perkara-perkara yang boleh merosakkan nilai dan jati diri anak-anak.
Kita percaya hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak guru amat penting agar usaha mengasuh dan mendidik anak-anak berjalan dengan lancar dan sempurna. Persatuan ibu bapa dan guru-guru seharusnya memainkan peranan dalam membina pendidikan anak-anak. Ibu bapa dan masyarakat juga perlu menjalin hubungan yang erat dan berterusan dengan pihak sekolah agar setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh anak-anak dapat diselesaikan secara muhibah.
No comments:
Post a Comment