Tuesday, March 5, 2013

Prestasi Sekolah Kebangsaan Semakin Mendapat Perhatian



SUBANG JAYA, 4 Mac (Bernama) -- Pada zaman pra-Merdeka, sekolah kebangsaan yang ketika itu dikenali sebagai sekolah Melayu dipandang rendah oleh sebahagian anggota masyarakat.

Begitu juga pada tahun-tahun selepas negara baru mencapai kemerdekaan, sekolah-sekolah aliran Melayu tidak begitu mendapat sambutan daripada masyarakat di mana ada yang menganggap sekolah jenis ini 'tidak mempunyai taraf'.

Ketika itu, ramai yang menganggap sekolah aliran Inggeris lebih tinggi taraf pendidikannya berbanding sekolah aliran Bahasa Melayu.

Namun pada era Malaysia sedang mengorak langkah mencapai taraf ekonomi maju dan utuh di mata dunia, 'transformasi' dalam sektor pendidikan sekolah negara turut berlaku.

Semenjak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sektor pendidikan negara berkembang dengan begitu pesat.

Hingga kini Malaysia mencatat sebagai antara negara di dunia yang mengamalkan 'pendidikan percuma' bagi sekolah rendah dan menengah di mana adalah mandatori bagi anak menghabiskan 12 tahun pendidikan di sekolah.

Juga tiada lagi istilah sekolah Melayu. Sekolah-sekolah ini kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan.

Dulu ibu bapa terpaksa membeli buku teks sekolah serta menyelesaikan yuran persekolahan. Sekarang tiada lagi kerana kerajaan menyediakan pendidikan percuma untuk semua sekolah kebangsaan.

"Saya rasa bangga bila seorang lelaki Kuwait memuji sistem pelajaran sekolah rendah dan menengah awam di Malaysia yang mantap dan patut dicontohi negara membangun yang lain".

Itulah kata-kata seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Hazim bila ditemui penulis baru-baru ini. Beliau mempunyai tiga anak yang masih di bangku sekolah.

Abu Hazim bekerja di luar negara dan memilih untuk tidak membawa anak-anaknya bersama.

Malah Abu Hazim dinasihatkan petugas sebuah pejabat kedutaan luar untuk mengekalkan anak-anaknya di sekolah kebangsaan dalam negara sehingga mereka selesai pengajian di tingkatan lima dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, SPM.

"Ada kalangan rakan-rakan saya yang turut bekerja di luar negara, menghantar anak mereka pulang untuk bersekolah di sekolah-sekolah kebangsaan dalam negara setelah beberapa tahun belajar di sekolah swasta di luar negara.

"Mereka bimbangkan masa depan anak mereka yang bukan saja tidak didedahkan kepada mata pelajaran Bahasa Malaysia, tetapi juga kerana kurikulum di sekolah-sekolah luar negara tidak seperti sekolah-sekolah kebangsaan dalam negara selain kosnya yang tinggi untuk orang luar," jelasnya lagi.

Pada dekad-dekad yang lampau, wujud persepsi yang mengatakan sekolah swasta adalah lebih baik berbanding sekolah awam tetapi kini, menurut maklumbalas dari ramai ibu bapa semakin ramai yang yakin terhadap pendidikan di sekolah kebangsaan.

Sekolah kebangsaan yang mempunyai rekod prestasi akademik yang baik saban tahun pasti mendapat perhatian ramai ibu bapa yang mengambil berat tentang pelajaran anak mereka.

Ibu bapa tertarik dengan sekolah yang menghasilkan keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM yang cemerlang.

"Guru-guru yang berkebolehan dengan tahap pencapaian pendidikan yang lebih tinggi semakin ramai di sekolah kebangsaan hari ini.

"Ini menunjukkan satu kemajuan yang sudah pasti akan memanfaatkan pelajar yang menuntut ilmu secara mandatori atau wajib di peringkat sekolah rendah dan kemudian di peringkat menengah".

Itulah pandangan ramai ibu bapa bila ditanya penulis tentang kualiti pendidikan di sekolah-sekolah kerajaan.

"Saya yakin kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk masa depan anak yang masih di bangku sekolah ini," beritahu seorang ibu, Azreena Mazlah, 35, kepada penulis.

Azreena mempunyai dua anak yang masih kecil; seorang anak perempuan yang berusia empat tahun dan seorang lagi anak lelaki yang berusia tujuh tahun yang baru melangkah masuk ke alam persekolahan, di sebuah sekolah kebangsaan di Shah Alam, Selangor.

Terdapat kira-kira 5.5 juta pelajar di sekolah-sekolah pelbagai kategori di seluruh negara dari peringkat tadika sehingga sekolah menengah.

Menurut statistik, terdapat lebih 405,000 guru yang bertanggungjawab untuk mendidik pelajar.

Bajet 2013 yang diumumukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan 15 peratus daripada keseluruhan bajet kepada sektor pendidikan.

Guru-guru pula berpeluang meningkatkan kemahiran mereka dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dengan pemberian bajet tambahan sebanyak RM500 juta.

Dan ini sudah pasti akan menyumbang kepada suatu peningkatan yang dapat dibanggakan dan memberangsangkan bagi rakyat negara ini.

-- BERNAMA
 

No comments:

Post a Comment