SURUHANJAYA Perkhidmatan Pelajaran
(SPP) sedang melaksanakan Program Penilaian Khas bagi pelantikan tetap graduan
cemerlang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan 2012.
Pengerusi SPP, Tan Sri Dr.
Zulkurnain Awang berkata, ia bertujuan melantik bakal guru yang cemerlang dari
segi akademik dan ikhtisas tanpa melalui proses temuduga secara konvensional.
Menurutnya, pelantikan secara terus
ini adalah bagi mengiktiraf pencapaian akademik dan ikhtisas graduan yang
memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5 dan ke atas, mendapat
sekurang-kurangnya keputusan A- dalam Praktikum serta diperaku oleh Institut
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
"Bilangan graduan tidak
melebihi 30 peratus daripada mana-mana IPTA dan IPGM," katanya dalam
kenyataan akhbar baru-baru ini.
Jelas beliau, usaha tersebut selaras
dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan profesion perguruan dengan melantik
calon guru yang terbaik dari segi akademik dan ikhtisas.
Di samping itu, katanya, ia juga
selaras dengan matlamat kerajaan merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan
2013-2025 iaitu guru dilantik daripada kalangan 30 peratus graduan cemerlang
dalam bidang akademik dan ikhtisas untuk menceburi bidang perguruan.
"SPP juga berharap agar usaha
ini menjadi penggalak kepada pelajar yang masih di peringkat pengajian agar
sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan," katanya.
Beliau memberitahu, Program
Penilaian Khas dijalankan secara berperingkat di seluruh negara bermula pada 19
Mac lalu di Kuching, Sarawak melibatkan seramai 247 orang manakala penilaian
khas kedua berlangsung 21 Mac di Putrajaya.
"Program Penilaian Khas ini
melibatkan sejumlah 2,780 orang graduan cemerlang dari IPTA dan IPGM dan
bilangan itu berdasarkan permohonan Kementerian Pelajaran agar SPP menemuduga
8,200 graduan IPGM dan IPTA di seluruh negara," ujar beliau.
Sementara itu, katanya, bagi Program
Penilaian Khas di Putrajaya, bilangan graduan cemerlang yang dinilai melibatkan
seramai 560 orang.
Zulkurnain memberitahu, bagi Program
Penilaian Khas seterusnya diadakan mengikut taburan calon yang paling ramai
seperti 28 Mac ini di Johor Bharu, Ipoh (2 April), Sungai Petani (4 April),
Kota Bharu (8 April), Kuantan ((11 April) manakala yang terakhir diadakan di
Kota Kinabalu, Sabah pada 17 April depan.
"Pada akhir penilaian graduan
yang layak akan terus diserahkan surat pelantikan oleh SPP manakala baki 5,033
graduan perlu melalui temuduga biasa yang dilaksanakan bermula 19 Februari
hingga 28 Mac ini," katanya.
Artikal lain berkaitan GC. KLIK